Sesungguhnya sehingga hari ini dunia menyaksikan kegagalan kerja-kerja syirik, kerja-kerja menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Allah Taala mendedahkan betapa kerja-kerja syirik itu kerja sia-sia dan firman Allah Taala yang bermaksud:
"Maka jangan kamu jadikan sekutu-sekutu bagi Allah sedangkan kamu mengetahui."
(Surah al-Baqarah ayat 22).
Ini sama ada berupa agama-agama karut dengan membuat patung-patung dan berhala-berhala yang dipahat daripada batu-batu atau kayu-kayu dan kemudian disembah dan dipersucikan. Ini menunjukkan betapa bodohnya manusia walaupun ada di kalangan mereka yang bergelar ahli falsafah dan ahli-ahli fikir. Perbuatan ini merendah-rendahlah martabat manusia yang diciptakan oleh Allah Taala. Allah menjadikan makhluk-makhluk selain daripada manusia sebagai khadam kepada manusia untuk memudahkan mereka melaksanakan kewajipan khalifah di muka bumi. Mereka melantik makhluk-makhluk sebagai perantaraan Allah Taala sedangkan mereka tidak sedar bahawa Allah tidak perlu kepada perantaraan makhluk-makhluk kerana Allah Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Mengetahui setiap perbuatan dan gerak hati manusia.
Kegagalan juga berlaku akibat penyelewengan terhadap ajaran Islam yang dibawa oleh para nabi dan Rasul termasuklah penyelewengan terhadap ajaran Nabi Musa dan Nabi Isa a.s. yang lahir daripadanya agama Yahudi dan agama Kristian hasil daripada ada ulama'-ulama' Yahudi yang berlagak menjadi Tuhan dan meminda hukum-hukum Allah Taala. Firman Allah yang maksudnya:
"Mereka mengambil paderi-paderi mereka dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan selain daripada Allah." (Surah At-Taubah ayat 31).
Ajaran yang bernama Yahudi dan Kristian ini membawa pengikutnya ke arah kesesatan dan penderitaan hasil kerja-kerja ahli ilmu di kalangan mereka yang menyeleweng kerana mengejar kesenangan dunia sehingga sanggup menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal serta meminda dan mengubah-ngubah hukum yang tidak mendapat izin daripada Allah Taala. Demikian juga kegagalan pemimpin-pemimpin yang berlagak menjadi Tuhan dengan mengadakan undang-undang syariat selain daripada syariat Islam kononnya untuk menjamin keamanan dan keselamatan. Hasilnya berlakulah kejahatan-kejahatan dan maksiat yang tidak dapat dibendung lagi oleh hukum-hukum yang direkacipta oleh mereka itu. Firman-Nya lagi yang bermaksud:
"Adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu di dalam membuat peraturan syariat agama di dalam perkara yang tidak dibenarkan oleh Allah?" (Surah Asy-Syura ayat 21).
Kegagalan syirik baru yang dapat dilihat sekarang ialah syirik ekonomi yang menjadikan ekonomi sebagai tuhan-tuhan baru sebagai berhala yang dipuja. Fahaman ini melahirkan dua ideologi lain iaitu kapitalis dan komunis. Kapitalis memberi kebebasan kepada setiap orang mengumpul harta kekayan tanpa had dan menggunakan berbagai-bagai cara, sedangkan komunis pula lahir untuk menentang kapitalis dan membela masyarakat dengan memiliki negara akan harta orang yang kaya.
Perkataan ekonomi sudah menjadi zikir, wirid dan menjadi ucapan pengikut-pengikut fahaman ideologi-ideologi tersebut, dan ekonomi dianggap satu-satunya landasan untuk mencapai kebahagiaan sehingga fahaman ini berjaya menyerap masuk ke dalam negara-negara umat Islam sendiri. Umat Islam dan pemimpin-pemimpin negara umat Islam menjaja dan menjunjung perkataan ekonomi dan mejadikan janji untuk memberi kebahagiaan bukanlah dijadikan alat di dalam melaksanakan tugas khalifah Allah di atas mukabumi ini. Sikap seperti ini seolah-olah mengaku ekonomi sebagai Tuhan yang berkuasa walaupun mulut-mulut mereka tidak mengucapkan bahawa ekonomilah Tuhan yang disembah selain daripada Allah Taala.
Fahaman ini berjaya mempengaruhi ulama'-ulama' jahat sehingga sanggup meminda hukum-hukum Allah Taala, menghalalkan riba, menghalalkan amanah-amanah saham yang tidak mengikut hukum syara', menghalalkan muamalat yang tidak berdasarkan Islam dan juga mempertahankan pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Allah Taala dengan cara mengelirukan nas-nas al-Quran dan Sunnah sekadar untuk menjaga ekonomi sendiri dan menjaga kuasa pemerintah.
Fahaman ini mempengaruhi pemikiran rakyat yang mana mereka memberi nilai betul atau salah berpandukan kepada apa yang dapat memberi kesenangan dari sudut ekonomi. Jika sesuatu itu memberi kesenangan dari sudut ekonomi maka itulah yang hak dan jika sebaliknya tidak memberi apa-apa keuntungan ekonomi dan kesenangan maka batillah ia. Jadilah ukuran dalam menentukan hak dan batil ditentukan oleh ekonomi bukan lagi petunjuk Allah Taala dan ajaran Rasulullah s.a.w.
Tiba-tiba Allah Taala menunjukkan kegagalan semua fahaman tersebut pada hari ini. Melihat kegagalan ideologi komunis yang melahirkan fahaman sosialis kononnya bertujuan membela masyarakat berdasarkan pembahagian kekayaan secara adil. Ideologi komunis dan sosialis telah hancur di mana Russia dan negara-negara yang beramal dengan fahaman tersebut mula mengamalkan cara yang lebih bebas walaupun mereka tidak mengaku bahawa ideologi yang telah diamalkan mengalami kegagalan.
Telah tiba masanya umat Islam kembali semula kepada Islam, yakin kepada keberkatan yang dijanjikan oleh Allah Taala. Firman-Nya yang bermaksud:
"Sekiranya penduduk negeri tersebut beriman dan bertaqwa nescaya Kami bukakan keberkatan kepada mereka daripada langit dan bumi.
Marilah kita tinggalkan kedegilan kita dan tunduk dan bertaubat kepada Allah Taala sehingga kita diberikan keberkatan oleh Allah Taala, di mana perkataan berkat ini tidak ada di dalam mana-mana ideologi dan fahaman ciptaan manusia, yang hanya dikurniakan oleh Allah kepada orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepadaNya. Firman Allah yang bermaksud:
"Mereka mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, melainkan Allah (terus) menyempurnakan cahayaNya walaupun dibenci oleh orang kafir."
(Surah As-Shaf ayat 8).
Oleh TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Bookmark this post: |
0 comments:
[+/-]Click to Show or Hide Old Comments[+/-]Show or Hide Comments
Post a Comment