Thursday, April 1, 2010

SUARA PEREMPUAN DAN FATWA MENGENAIBERTELEFON DENGAN PEREMPUAN


SUARA PEREMPUAN DAN FATWA MENGENAIBERTELEFON DENGAN PEREMPUAN
Fatwa-fatwa as-Syeikh Soleh bin Fauzan jilid 3

Untuk menjaga syariat ini pada semua tujuannya, syariat Islam telah
mengharamkan zina yang boleh menuju ke kemuncak kerosakan sesuatu
kehormatan, sehingga syariat Islam telah melarang dan menutup semua
punca yang akan mendorong kepada perzinaan dan menegah semua
perantaraan yang mengajak kepada perbuatan maksiat.

Untuk tujuan itu, syariat Islam telah mengharamkan kepada setiap
perempuan melembutkan suaranya bila berbicara dengan lelaki ajnabi
sekalipun kerana hajat yang disyarakkkan seperti berjual beli,
meminta fatwa, menjawab soalan lelaki ajnabi dari sebalik pintu,
menjawab percakapan lelaki ajnabi melalui telefon dan seumpamanya.
Perempuan tidak boleh berbicara kecuali dengan kadar yang diperlukan
dan menggunakan suara yang bersikap takut serta sopan.

Mahram ialah setiap lelaki yang diharamkan berkahwin dengan seseorang
perempuan dengan hukum haramnya yang selama-lamanya seperti bapa,
anak lelaki, saudara lelaki, bapa saudara dan seterusnya. Oleh itu,
lelaki yang dihalalkan berkahwin dengan seseorang perempuan itu
(melainkan suami) adalah dianggap sebagai lelaki ajnabi sekalipun
lelaki itu ada hubungan kekeluargaan dengan perempuan itu seperti
sepupu lelaki, suami saudara perempuan (ipar lelaki) dan lainnya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 32,
"Maka janganlah kamu tunduk (berbicara dengan sikap yang menimbulkan
keberanian orang bertindak yang tidak baik terhadap seseorang
perempuan) dalam berbicara sehingga orang yang ada penyakit di dalam
hatinya ada berkeinginan (orang yang mempunyai niat berbuat serong
dengan seseorang perempuan). Dan ucapkanlah perkataan yang baik."

1) Imam Ibnu Jarir at-Tabari RA dalam tafsirnya mengatakan, seseorang
perempuan itu janganlah melembutkan suaranya kepada seseorang lelaki
yang boleh mendorong orang yang mempunyai niat tidak baik melakukan
perbuatan serong kepada perempuan itu. Kemudian, beliau menukilkan
hadis dengan sanad yang bersambung kepada Ibnu Abbas RA berkata,
"Seseorang perempuan janganlah menurunkan bicaranya dan melembutkan
ungkapannya."

Beliau juga menukilkan hadis yang sanadnya bersambung kepada Ibnu
Zaid berkata,
"Menundukkan suara ialah suara yang dibenci yang diluahkan oleh
seseorang perempuan kepada lelaki ajnabi, yang boleh menusuk ke dalam
jiwa lelaki."

Perkataan yang makruf ialah ungkapan yang sopan, baik dan terkenal
dengan kebaikan.

2) Imam Qadhi Abu Bakar ibnu al-Arabi berkata di dalam kitabnya
Akamul Qur'an mengenai firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 32
itu, Allah SWT telah memerintahkan kepada seseorang perempuan agar
ungkapannya keras dan perkataannya terbatas. Tidak boleh menurutkan
gaya perbicaraan di dalam hati dihubungkan dengan apa yang diluahkan
menggunakan suara lembut, di mana pendengar lelaki boleh berkeinginan
untuk berbicara lebih panjang. Seseorang sewajarnya memulakan
bicaranya dengan baik dan keras. Seseorang perempuan diperintahkan
mendatarkan perkataannya. Dimaksudkan dengan makruf ialah
dikembalikan kepada syarak menurut apa yang diperintahkan untuk
menyampaikannya atau sekadar hajat yang diperlukan oleh manusia.

3) Imam al-Qurtubi berkata di dalam tafsirnya al-Jamik Li Ahkam al-
Qur'an, "seseorang perempuan tidak boleh melembutkan suaranya. Allah
memerintahkan kepada seseorang perempuan agar perkataannya keras dan
perkataannya terbatas. Mereka tidak boleh meluahkan bicaranya
menurutkan gaya seperti yang ada di dalam hatinya yang lembut.
Sebagaimana halnya perempuan Arab yang bercakap dengan orang lelaki
menggunakan suara yang halus dan lembut seperti ungkapan orang yang
meragukan dan menggodakan. Syarak melarang perempuan melakukan
seperti itu. Ibnu Abbas berkata, seseorang perempuan hendaklah
menyuruh perkara kebaikan dan melarang perkara kejahatan. Seseorang
perempuan, bila bercakap-cakap dengan lelaki ajnabi, begitu juga
dengan lelaki yang mempunyai hubungan kekeluargaan melalui
persemendaan dengannya seperti suami saudara perempuannya (ipar
lelaki) dan sepupu lelaki, hendaklah mengeraskan perkataannya tanpa
mengangkat suaranya. Seseorang perempuan diperintahkan mendatarkan
suaranya. Oleh itu, ungkapan yang makruf ialah perkataan yang tidak
diingkari oleh syarak dan jiwa."

4) Imam Abu Bakar ar-Razi yang dikenali dengan al-Jasas berkata di
dalam kitabnya Ahkam al-Qur'an, seseorang perempuan tidak boleh
melembutkan suaranya kepada lelaki-lelaki ajnabi dengan gaya yang
boleh diingini oleh lelaki yang meragukan niatnya. Ini menunjukkan
bahawa hukum itu diumumkan kepada semua perempuan dalam tegahannya
berbicara dengan lelaki ajnabi. Adalah lebih baik, seseorang
perempuan tidak mengangkat suaranya yang boleh didengari oleh lelaki
ajnabi.

5) Imam Ibnu Kathir berkata di dalam tafsirnya, menukilkan perkataan
as-Sudi, maksud firman Allah Taala, seseorang perempuan tidak boleh
menundukkan suarannya ialah menggunakan suara yang halus, lembut dan
lunak ketika berbicara dengan lelaki ajnabi.
Ibnu Zaid berkata, perkataan baik, sopan dan terkenal dengan kebaikan
bermakna seseorang perempuan ketika berbicara dengan lelaki ajnabi
tidak menggunakan perkataan yang halus dan merdu, iaitu seseorang
perempuan tidak berbicara dengan lelaki ajnabi seperti dia berbicara
dengan suaminya.

6) Imam al-Baidhawi berkata, seseorang perempuan tidak boleh
meluahkan bicaranya dengan lembut dan halus seperti ungkapan
perempuan yang meragukan. Berkatalah dengan perkataan yang makruf
ialah perkataan yang baik dan tidak meragukan.

7) Asy-Syahid Sayyed Qutub berkata di dalam kitabnya Fi Zilal al-
Qur'an, syarak Islam melarang seseorang perempuan ketika mereka
bercakap-cakap dengan lelaki ajnabi dengan menggunakan suara yang
nyaring, menundukkan suara dan lembut. Gaya ini boleh membangkitkan
nafsu syahwat lelaki, menggetarkan keinginannya, lelaki yang tidak
baik naitnya akan teringin dan menggerakkan kehendaknya.

Siapakah yang telah dilarang oleh Allah dengan tegahan ini? Mereka
adalah para isteri Nabi SAW dan Ummahatul Mukminin yang tidak
diinginkan oleh lelaki yang jahat, yang tidak menggoyangkan bayangan
lelaki yang tidak baik, apa yang jelas oleh pemikiran kita sekali
imbas. Pada zaman bilakah larangan ini disuarakan? ianya adalah pada
zaman Nabi SAW, pada zaman manusia yang baik-baik dan terpilih dari
semua zaman. Tetapi, Allah yang menjadikan lelaki dan perempuan Maha
Mengetahui bahawa suara perempuan ketika ditundukkan ungkapannya dan
dilunakkan lafaznya akan membangkitkan syahwat lelaki yang tidak baik
dan menggerakkan godaan di dalam hati lelaki. Hati-hati lelaki yang
tidak baik sentiasa wujud pada setiap zaman dan pada setiap suasana.
Mereka sentiasa memberikan tumpuannya kepada setiap perempuan
sekalipun perempuan itu para isteri Nabi SAW dan Ummul Mukminin.
Setiap masa tidak akan bersih dari kekotoran dan tidak akan hilang
najisnya sehinggakan tertegah beberapa sebab yang mendorong dari
dasarnya.
Itu pada zaman kenabian.

Bagaimana dengan masyarakat kita yang kita hidup pada hari ini, pada
masa kita ini yang dipenuhi dengan kekotoran yang melemahkan, yang
sentiasa membangkitkan fitnah, di dalamnya sentiasa memberontakkan
syahwat dan di dalamnya sentiasa menggerakkan keinginan nafsu?!
Bagaimana dengan kita pada suasana ini yang pada setiap detik
membangkitkan fitnah, menggerakkan nafsu syahwat, melonjakkan
kemahuan jiwa dan membangkitkan gerakan seks yang beracun?? Bagaimana
dengan kita dalam masyarakat ini, dalam masa ini, dalam suasana ini,
perempuan-perempuannya yang melenggangkan suara mereka, melemahkan
suara mereka, mengumpulkan semua godaan mereka, setiap getaran seks,
setiap kemuncaknya syahwat, kemudian mereka meluahkannya dalam
gegaran suaranya dan dendangannya. Seperti inikah mereka dianggap
sebagai perempuan yang suci?? Bagaimana mungkin kesucian boleh
terbayang dalam suasana yang mengotorkan, sedangkan diri-diri
perempuan-perempuannya, gerakan lenggangnya dan getaran suaranya
membisikkan bicara keji yang Allah sendiri hendak menghapuskannya
dari para hambaNya yang terpilih??!!

Berkatalah dengan ungkapan yang baik. Sebelumnya, Allah sentiasa
melarang seseorang perempuan dari nyaringan suara lembut dan gaya
bahasa yang melemahkan jiwa lelaki. Dalam masalah ini, Allah
memerintahkan kepada mereka agar perbicaraan mereka dalam perkara
yang diketahui, bukannya jarang berlaku. Tajuk perbicaraan kadang-
kadang menggerakkan syahwat seperti juga gaya bahasa yang diluahkan
oleh mereka. Oleh itu, antara perempuan ajnabiah dan lelaki ajnabi
tidak sewajarnya mengungkapkan bicara yang bergetar, tidak bersenda
gurau, tidak meluahkan ungkapan yang mentertawakan, tidak bermain-
main, berjenaka agar segala ungkapan ini tidak dijadikan sebagai
jalan masuk kepada perkara lain di sebaliknya sama ada dalam masa
terdekat atau dalam jangka masa panjang.

FATWA
[Fatwa as-Syeikh Soleh bin Fauzan bin Abdullah al-Fauzan dalam kitab
Pilihan Daripada Fatwa-fatwa as-Syeikh Soleh bin Fauzan jilid 3
halaman 163-164].

HUKUM BERBUAL-BUAL ANTARA LELAKI DAN WANITA YANG SUDAH BERTUNANG
MELALUI TELEFON

Soalan:

Seorang lelaki berbual-bual dengan tunangnya melalui telefon, adakah
perbuatan itu diharuskan menurut syarak ataupun tidak?

Jawapan:

Perbualan lelaki kepada tunangnya melalui telefon adalah tidak
mengapa bila keadaan perhubungan mereka selepas lamaran lelaki itu
diterima. Keadaan perbualan itu adalah untuk saling faham memahami
dengan kadar yang diperlukan dan tidak akan menimbulkan sebarang
fitnah. Perbuatan itu adalah melalui walinya dan melakukan
perbualannya tidak menimbulkan sebarang keraguan.

Adapun perbualan yang berlaku antara lelaki ajnabi bersama wanita
ajnabiah dan antara pemuda ajnabi bersama pemudi ajnabiah, sedangkan
tidak adanya antara mereka ini hubungan pertunangan, hanya semata-
mata untuk berkenal-kenalan sebagaimana yang mereka istilahkannya,
maka perbuatan ini adalah termasuk kemungkaran, perkara yang
diharamkan, mendorong kepada perbuatan fitnah dan akhirnya akan
terjerumus kepada perbuatan kemaksiatan.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 32,
"Maka seseorang wanita itu janganlah melembutkan suaranya kerana
menyebabkan hati orang lelaki yang ada penyakit akan menaruh harapan.
Seseorang wanita hendaklah mengucapkan perkataan yang sopan." (Ayat
ini mengajar supaya wanita-wanita tidak bercakap-cakap dengan lemah
lembut kepada lelaki ajnabi. Sekiranya ada keperluan, mereka
hendaklah bercakap dengan tegas, tegap tetapi sopan kerana lelaki
ajnabi seringkali menaruh harapan kepada wanita-wanita yang bersikap
lemah lembut).

Seseorang wanita ajnabiah tidak boleh bercakap dengan lelaki ajnabi
melainkan sekadar keperluan, dengan percakapan sopan yang tidak
adanya fitnah dan tidak ada keraguan. Malah, ulamak memberikan
keterangan bahawa seseorang wanita yang sedang berihram pun ketika
hendak bertalbiah tidak boleh mengangkatkan suaranya. Di dalam sebuah
hadis yang bermaksud, "Sekiranya kamu hendak memberikan sesuatu
peringatan di dalam sembahyang kamu, hendaklah mengucapkan tasbih
bagi lelaki dan menepukkan belakang tapak tangan bagi wanita." Hadis
ini menunjukkan bahawa seseorang wanita ajnabiah tidak boleh
memperdengarkan suaranya kepada lelaki ajnabi melainkan pada situasi-
situasi yang dihajatkan untuk bercakap dengan lelaki ajnabi dengan
syarat melakukannya dalam keadaan malu dan sopan. Wallahu A'lam.


HUKUM MENDENGAR SUARA WANITA MELALUI TELEFON
[Fatwa as-Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Jubairin. Dinukil dari
kitab Fatawa Wanita Muslimah jilid 1 halaman 434 cetakan Adhwaus
Salaf].

Soalan:

Apakah hukumnya seseorang lelaki ajnabi mendengar suara wanita
ajnabiah melalui talian telefon atau melalui peralatan talian
perhubungan lain?

Jawapan:

Suara seseorang wanita ajnabiah ketika beliau berada berhampiran
dengan lelaki ajnabi adalah dianggap sebagai aurat menurut pendapat
yang sahih. Oleh itu, seseorang wanita tidak dibolehkan mengucapkan
tasbih di dalam sembahyang mereka ketika mereka menegur sesuatu
perbuatan imam yang salah sebagaimana lelaki mengucapkan tasbih.
Bahkan, seseorang wanita hanya memadai menepuk belakang tangannya.
Begitulah seterusnya, seseorang wanita tidak dibolehkan meninggikan
suaranya ketika mengucapkan talbiah semasa mereka berihram kecuali
menurut kadar yang boleh didengar oleh teman wanitanya.

Tetapi, sebahagian ulamak mengharuskan seseorang wanita ajnabiah
bercakap dengan lelaki ajnabi dengan kadar keperluan seperti menjawab
persoalan. Sebahagian isteri-isteri para Sahabat RA pun meriwayatkan
beberapa buah hadis dan sebilangan lelaki telah mendengar
periwayatannya tetapi perbuatan tersebut dengan syarat tidak adanya
sebarang keraguan dan tidak ada pengaruh yang boleh menimbulkan
gerakan syahwat.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud, "Maka
seseorang wanita itu janganlah melembutkan suaranya kerana
menyebabkan hati orang lelaki yang ada penyakit akan menaruh harapan.
Seseorang wanita hendaklah mengucapkan perkataan yang sopan."

Penyakit syahwat adalah dianggap sebagai zina yang boleh berlaku
dalam hati ketika seseorang wanita melembutkan atau merendahkan
suaranya. Berdasarkan kepada permasalahan ini, seseorang wanita
sewajarnya menjawab persoalan menurut kadar keperluan bila bercakap
melalui telefon sama ada wanita itu memulakan perbualan atau membalas
percakapan kepada lelaki ajnabi yang menghubunginya melalui talian
telefon. Dalam keadaan ini, perbuatan mereka adalah di dalam hal yang
sangat diperlukan untuk melakukannya, percakapan mereka akan
menghasilkan faedah syarak bagi kedua-dua belah pihak, bukan berada
di tempat yang meragukan, tidak mengeluarkan suara yang lembut lagi
tidak mempunyai faedah, tidak akan menyebabkan kepada pengaruh
syahwat dari salah seorang dari keduanya. Yang lebih utama, mereka
hendaklah meninggalkan perbualan itu melainkan ketika tersangat
perlu.

WANITA NAIK TEKSI KESEORANGAN BERSAMA PEMANDUNYA
[Kumpulan Fatwa dan Risalah as-Syeikh Muhammad bin Ibrahim Ali as-
Syeikh jilid 10 halaman 52-54].

Soalan:

Apakah hukumnya seorang wanita menaiki teksi bersama tuan punya teksi
itu tanpa bersamanya mahramnya?

Jawapannya:

Tidak ada sebarang keraguan lagi bahawa seorang wanita ajnabiah yang
menaiki teksi bersama dengan pemandu teksi itu keseorangan tanpa ada
mahramnya yang menyertainya adalah satu kemungkaran yang amat nyata.
Perbuatan itu akan menyebabkan kepada pelbagai kemaksiatan yang tidak
boleh dipandang remeh sama ada wanita itu seorang yang pemalu atau
yang agak berani. Lelaki yang merasa redha terhadap perbuatan yang
dilakukan oleh mahramnya ini adalah dianggap sebagai lemah agamanya,
tidak sempurna kelelakiannya dan tidak cemburukan terhadap mahramnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Seseorang lelaki tidak
bersunyi-sunyian dengan seorang wanita melainkan keadaan syaitan
adalah yang ketiganya."

Seseorang wanita menaiki teksi bersama dengan pemandunya adalah
dianggap lebih bahaya dari mereka bersunyi-sunyian di dalam sebuah
rumah dan sebagainya kerana pemandunya boleh membawa wanita itu pergi
bersamanya ke mana dia suka sama ada di kawasan berdekatan ataupun
jauh di luar bandar, sama ada wanita itu suka ataupun bencikannya.
Perbuatan tersebut akan menyebabkan kepada kemaksiatan yang lebih
besar daripada yang disifatkan sebagai bersunyi-sunyian semata-mata.

Tidak tersembunyi lagi, perkara itu timbul kerana terdapatnya
pengaruh fitnah wanita dan kemaksiatan yang akan bakal terjadi kepada
wanita tersebut. Dalam sebuah hadis yang bermaksud, "Aku tidak
meninggalkan selepas zaman aku ini sebuah fitnah terhadap seseorang
lelaki yang lebih berbahaya yang berpunca daripada wanita."

Dalam sebuah hadis lain yang bermaksud, "Hendaklah kamu takutkan
terhadap situasi dunia dan takutkanlah kepada kerenah para wanita.
Sesungguhnya fitnah terawal yang terjadi pada Bani Israel adalah
berpunca dari wanita."

Kerana inilah dan lainnya yang terjadi di dalam permasalahan ini dan
untuk mengambil apa yang dimaksudkan sebagai satu kemaslahatan umum
serta satu kemestian yang bersifat wajib di segi agama, maka kita
semua diwajibkan menetapkan untuk melarang mana-mana wanita ajnabiah
menaiki teksi bersama dengan pemandunya secara berseorangan tanpa
orang yang menemaninya sama ada mahramnya, orang yang dapat mewakili
tempat mahramnya atau penjaganya yang mempunyai sifat amanah serta
dikenali sifat baiknya.

Orang yang bertanggungjawab hendaklah memastikan terhadap
permasalahan ini dengan serius dan tegas. Kalau boleh, hendaklah
membentuk satu lajnah dan menentukan hukuman yang sesuai mengikut
kesesuaian orang yang melanggar ketentuan larangan ini. Sesiapa
sahaja yang melanggar ketentuan hukum ini, hendaklah dijalankan hak
balasan hukumnya yang telah ditetapkan, contohnya pemandu teksi
dikenakan denda yang berbentuk wang. Sekiranya pemandu itu mengulangi
perbuatannya buat kali kedua, maka denda itu digandakan sebanyak 2
kali ganda dan dipenjara sebanyak tempoh yang ditentukan serta
ditakzir menggunakan cemeti. Sekiranya pemandu itu mengulangi
perbuatannya sebanyak 3 kali, digandakan dendanya, tempoh penjaranya
ditambah, bilangan takzir dan ditarik semula lesen pemandunya kerana
mempermain-mainkan tugas pekerjaan sebagai pemandu teksi. Wanita yang
menaiki teksi seorang diri itu juga dikenakan hukuman takzir. Walinya
yang merasa redha terhadap perbuatan anak wanitanya juga dikenakan
hukuman takzir juga.

Sebelum itu, pihak yang bertanggungjawab terhadap permasalahan ini
hendaklah mengiklankan hukuman itu di dalam suratkhabar dan siaran
radio untuk memperingatkan orang ramai terlebih dahulu. Ketua Polis,
Ketua Lalulintas dan Askar-askar penyelamat juga hendaklah sentiasa
mengawasi permasalahan ini. Begitu juga dengan Pusat-pusat Pemerhati
bersama dengan peranan mereka masing-masing dan anggota bertindak.
Mereka yang bertanggungjawab hendaklah menasihati kepada para wanita
dan orang-orang yang berada di bawah jagaannya terhadap segala urusan
yang mereka lakukan, mengingatkan mereka segala apa yang diperbuat
dan menakut-nakutkan mereka lantaran kurangnya ketaatan mereka.
Diriwayatkan di dalam sebuah hadis yang bermaksud, "Para lelaki akan
binasa sekiranya mereka taatkan terhadap arahan wanita."

Di dalam sebuah hadis lain yang bermaksud, "Aku tidak pernah melihat
wanita-wanita yang kurang berfikirnya dan agamanya itu lebih berjaya
jika dibandingkan dengan wanita yang mempunyai akal untuk berfikir."

PERHUBUNGAN INTIM SEBELUM BERKAHWIN
[Fatwa as-Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin].

Soalan:

Apakah pandangan agama tentang perhubungan wanita dengan lelaki
sebelum berkahwin?

Jawapan:

Soalan orang yang bertanya adalah mengenai mereka yang belum
berkahwin. Jika seseorang wanita itu mempunyai niat hendak berkahwin,
kemudian melakukan akad nikah dan dia belum melakukan persetubuhan
dengan suaminya, maka perbuatan perhubungan dengan suaminya itu tidak
mengapa. Dengan sebab adanya akad nikah, wanita itu sudah menjadi
seorang isteri sekalipun belum berlakunya perlakuan persetubuhan.

Adapun keadaan seseorang yang belum berakad nikah, lebih-lebih lagi
bagi mereka yang belum bertunang lagi, perkara itu adalah diharamkan
dan tidak diharuskan. Seseorang lelaki ajnabi tidak diharuskan untuk
berseronok-seronok bersama seseorang wanita ajnabiah. Lelaki ajnabi
dan wanita ajnabiah tidak boleh berbual-bual, tidak boleh saling
pandang-memandang dan tidak boleh berdua-duaan. Sesungguhnya sudah
pasti daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda yang
bermaksud, "Seseorang lelaki sungguh tidak boleh bersunyi-sunyian
dengan seorang wanita kecuali bersama dengan mahram. Seseorang wanita
tidak boleh bermusafir melainkan bersama mahramnya."

Kesimpulannya, sekiranya keadaan perlakuan mereka ini selepas mereka
melakukan akad nikah, maka tidak mengapa. Seseorang lelaki masih lagi
diharamkan untuk berinteraksi secara bebas dengan wanita yang masih
lagi ajnabiah baginya.


LELAKI MELIHAT WANITA TUNANGANNYA

Soalan:

Sebahagian daripada sebab berlakunya perceraian ialah bakal suami
tidak pernah melihat kepada bakal isterinya sebelum mereka bernikah
sedangkan agama Islam kita mengharuskan perbuatan tersebut. Apakah
ulasan ustaz mengenai tajuk ini?

Jawapan:

Tidak diragukan lagi bahawa bakal suami yang tidak pernah melihat
bakal isterinya sebelum bernikah kadang-kadang boleh menyebabkan
kepada perceraian kerana kemungkinan bakal suaminya mendapati sifat-
sifat yang ada pada bakal isterinya itu tidak sesuai dengan
nalurinya. Kerana sebab inilah, Allah SWT telah mensyarakkan kepada
bakal suami agar melihat kepada bakal isterinya sebelum bernikah
mengikut syarat-syarat yang dibolehkan. Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud, "Apabila seorang lelaki dari kamu sudah melamar seorang
wanita, jika mampu lelaki itu hendaklah melihat kepada wanita
tunangannya sehingga boleh mendorong lelaki itu untuk menikahi wanita
tunangannya maka perbuatlah. Melihat bakal isterinya adalah lebih
baik agar kehidupan antara keduanya akan sentiasa berkekalan." [Hadis
diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud dengan isnad yang baik.
Hadis ini disahihkan oleh al-Hakim dari hadis Jabir RA].

Hadis diriwayatkan oleh Ahmad, at-Termizi, an-Nasa'ie dan Ibnu Majah
dari Mughirah bin Syu'bah RA bahawa beliau telah melamar seorang
wanita. Rasulullah SAW bertanya kepadanya, "Hendaklah kamu lihat
kepadanya kerana ianya adalah lebih baik untuk mengekalkan kehidupan
antara kamu berdua."
Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya dari Abi Hurairah
RA bahawa seorang lelaki menceritakan kepada Rasulullah SAW bahawa
beliau telah melamar seorang wanita. Rasulullah SAW bertanya
kepadanya, "Adakah kamu sudah melihat kepadanya?" Lelaki itu
menjawab, "Belum." Rasulullah menganjurkan, "Pergilah dan lihatlah
kepada wanita itu."

Hadis-hadis ini dan semua keterangan yang menunjukkan kepada maksud
tersebut memaksudkan diperintahkan seseorang bakal suami itu melihat
kepada bakal isterinya sebelum berlangsungnya akad pernikahan kerana
pandang-memandang itu menghampirkan kepada persesuaian dan matlamat
yang baik. Perkara ini adalah sebahagian daripada wahyu syariat yang
cantik di mana ianya mempunyai tujuan memperbaiki akhlak hamba-
hambaNya, kebahagiaan masyarakat sama ada pada masa ini mahupun pada
masa akan datang. Maha Suci Allah yang telah memerintahkan perbuatan
itu dan menetapkan hukumnya serta menjadikannya seperti kapal Nabi
Nuh. Sesiapa sahaja yang menaiki ke dalam kapal itu, dia akan
terselamat dan sesiapa sahaja yang keluar daripadanya, dia akan
tenggelam.

DOKTOR MEMERIKSA AURAT WANITA UNTUK PENGUBATAN DAN MEREKA BERDUAAN
[Dinukil dari kitab Kumpulan Fatwa dan Risalah as-Syeikh Muhammad bin
Ibrahim Ali as-Syeikh jilid 10 halaman 12-13].

Soalan:

Apakah hukumnya seorang doktor yang memeriksa aurat seorang wanita
untuk mengubati satu penyakit yang berada di kawasan aurat itu,
ditambah lagi mereka berduaan di dalam sebuah bilik rawatan?

Jawapan:

Badan seseorang wanita adalah dianggap sebagai aurat (menurut
pendapat sebahagian ulamak) dan tempat tumpuan kepada para lelaki
ajnabi pada semua halnya. Kerana inilah, bagi seseorang wanita itu
tidak sewajarnya membenarkan seorang lelaki ajnabi memeriksa badannya
atau mengubatinya.

Jika seorang doktor wanita tidak boleh didapati, maka tidak mengapa
doktor lelaki mengubati pesakit wanita. Perkara ini diserupakan
dengan hal keadaan yang dharurat tetapi dikaitkan dengan syarat-
syarat yang diketahui. Kerana inilah, para ahli feqh
berkata, "Sesuatu keperluan itu ditentukan dengan kadar yang
diperlukan sahaja." Doktor lelaki itu tidak dihalalkan melihat
sebahagian aurat wanita pesakitnya atau menyentuh badannya sekiranya
sesuatu hajat tidak memerlukannya untuk melihatnya atau menyentuhnya.
Pesakit wanita wajib menutup semua anggota tubuh badannya yang tidak
dihajatkan untuk diperiksa ketika pengubatan sedang dijalankan.

Sekalipun semua tubuh badan wanita itu dianggap sebagai aurat
(menurut pendapat sebahagian ulamak), aurat itu sendiri berbeza-beza.
Sebahagiannya dinamakan sebagai aurat yang lebih berat (mughallazah)
dan sebahagiannya yang lain dinamakannya aurat yang lebih ringan
(muhaffafah). Sebagaimana juga dengan jenis penyakit yang diubati,
kadang-kadang penyakit itu berbahaya yang tidak sepatutnya
pengubatannya itu dilambatkan, kadang-kadang penyakit itu disebabkan
perkara yang sedikit yang tidak merbahaya sekiranya dilambatkan
pengubatannya sehingga mahramnya dapat hadir sama dan tidak
menyebabkan kepada bahaya. Sebagaimana juga dengan wanita itu sendiri
adalah berbeza-beza keadaannya Sebahagiannya adalah wanita yang sudah
lanjut usianya, sebahagiannya anak gadis yang cantik, setengahnya
adalah wanita yang pertengahan, sebahagiannya wanita itu datang dalam
keadaan terseksa dengan sebab penyakitnya, sebahagian wanita datang
ke hospital tanpa terlihat padanya kesan-kesan penyakit, sebahagian
wanita datang seolah-olahnya dalam keadaan separuh mabuk atau tidak
sedarkan diri, sebahagiannya hanya memadai dengan diberikan pil dan
sebagainya. Setiap wanita itu mempunyai hukumnya yang tersendiri.

Berdasarkan kepada semua hal, berdua-duaan dengan wanita ajnabiah
adalah diharamkan di segi syarak sekalipun kepada doktor yang
mengubatinya kerana terdapatnya sebuah hadis yang
bermaksud, "Seseorang lelaki dan seorang wanita itu tidak berdua-
duaan melainkan keadaan syaitan adalah yang ketiganya." Sewajarnya
terdapatnya seseorang bersama dengan wanita pesakit itu sama ada
suaminya atau salah seorang mahramnya yang lelaki. Sekiranya tidak
ada, sekalipun daripada kaum kerabatnya yang perempuan. Sekiranya
tidak ada seorang pun seperti yang disebutkan, sedangkan pesakit
wanita itu dalam keadaan bahaya dan tidak boleh ditangguhkan
pengubatannya, maka sekurang-kurangnya jururawat wanita atau
seumpamanya ada hadir bersama dengan pesakit wanita itu untuk
mengelakkan daripada berlakunya situasi berdua-duaan yang dilarang.

HUKUM WANITA MEMAKAI PAKAIAN SEMPIT DI HADAPAN WANITA LAIN
[Kumpulan Fatwa dan Risalah as-Syeikh Muhammad bin Ibrahim Ali as-
Syeikh jilid 10 halaman 52-54].

Soalan:

Adakah seseorang wanita yang memakai pakaian sempit ketika beliau
berada di hadapan wanita lain termasuk di dalam hadis Rasulullah SAW
yang bermaksud, "Wanita-wanita yang berpakaian tetapi seolah-olahnya
bertelanjang..."?

Jawapan:

Tidak syak lagi bahawa seseorang wanita yang memakai sesuatu pakaian
sempit yang boleh menjelmakan susuk tubuh badannya adalah tidak
diharuskan melainkan ketika beliau berada di sisi suaminya sahaja.
Adapun, ketika seseorang wanita itu berada dekat dengan orang lain,
beliau tidak diharuskan memakai pakaian yang sempit sekalipun beliau
pada ketika itu berada di hadapan wanita lain kerana perbuatan beliau
itu adalah dianggap sebagai contoh yang tidak baik kepada orang yang
memandangnya. Sekiranya seseorang wanita memakai pakaian seperti ini,
kemungkinan wanita lain yang melihatnya akan terikut sama untuk
memakainya juga sedangkan beliau diperintahkan untuk menutup auratnya
menggunakan pakaian labuh dan sebarang penutup dari pandangan semua
orang kecuali ketika berada di sisi suaminya. Seseorang wanita
hendaklah menutup auratnya dari pandangan wanita lain sebagaimana
beliau menutup auratnya ketika berada di hadapan lelaki ajnabi. Semua
anggota seseorang wanita hendaklah ditutup kecuali anggota yang pada
kebiasaannya boleh dibuka ketika berada di hadapan wanita lain
seperti muka, dua tangannya dan kedua kakinya kerana ianya termasuk
dari anggota yang diperlukan untuk membukanya.

HUKUM WANITA BERCAKAP-CAKAP DENGAN PENJUAL PAKAIAN
[Dinukil dari kitab Pilihan dari Fatwa-fatwa as-Syeikh Soleh bin
Fauzan jilid 3 halaman 156-157].

Soalan:

Apakah hukumnya seorang wanita bercakap-cakap dengan tuan punya kedai
pakaian atau tukang jahit? Diharapkan ustaz dapat memberikan sedikit
kalimah taujihat yang sempurna kepada para wanita

Jawapan:

Seseorang wanita bercakap-cakap dengan peniaga sebagai perbualan yang
dikadarkan dengan keperluannya dan tidak ada padanya sebarang fitnah
adalah tidak mengapa. Keadaan percakapan wanita dengan lelaki itu
dianggap sebahagian daripada keperluan dan urusan yang tidak ada
fitnah padanya dan berlakunya di dalam batasan-batasan yang
diperlukan. Sekiranya perbualan itu disertai dengan ketawa, senyuman
atau suara yang menggoda, maka perkara ini diharamkan dan tidak
diharuskan.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 33 kepada isteri-isteri
Nabi SAW yang bermaksud, "Maka janganlah kamu bercakap dengan lemah
lembut. Perkara itu akan menyebabkan lelaki ajnabi yang mempunyai
penyakit di dalam hatinya akan menaruh harapan. Berkatalah dengan
perkataan yang sopan." Perkataan yang sopan adalah apa yang diketahui
oleh orang ramai dengan sekadar keperluannya. Adapun perkataan yang
melebihi dari itu, iaitu dengan cara ketawa, senyuman, dengan
mengeluarkan suara yang menggoda dan selainnya, atau membuka aurat di
hadapannya, membuka lengannya atau lainnya, semua ini adalah
diharamkan, kemungkaran, perkara yang menyebabkan kepada fitnah dan
daripada sebab-sebab terjadinya kemaksiatan.

Seseorang wanita Muslimah yang dianggap sebagai takutkan azab Allah
SWT hendaklah beliau bertaqwa kepada Allah SWT, tidak bercakap dengan
lelaki ajnabi dengan percakapan yang boleh menarik perhatian mereka
dan menggoda hati mereka. Jauhkanlah perkara ini. Sekiranya
berhajatkan juga pergi ke kedai peniaga lelaki atau ke mana-mana
tempat pun yang ada lelaki ajnabi, maka hendaklah dengan keadaan
kesopanan, menutup aurat dan berkelakuan dengan adab-adab Islam.
Apabila terpaksa bercakap dengan lelaki ajnabi, bercakaplah dengan
perkataan yang sopan yang tidak menggoda dan tidak ada keraguan.
Bookmark this post:
StumpleUpon Ma.gnolia DiggIt! Del.icio.us Blinklist Yahoo Furl Technorati Simpy Spurl Reddit Google


Followers

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Magazine 4 column themes by One 4 All