SENARAI ARTIKEL

Tuesday, March 30, 2010

Islam supaya beri kesejahteraan dan keamanan


Islam supaya beri kesejahteraan dan keamanan
Suatu berita terbaru menggentarkan dunia apabila satu kuasa dunia yang masih ada lagi iaitu Amerika telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas dua buah negara Islam iaitu Sudan dan Afghanistan. Berita ini suatu berita yang menggemparkan seolah-olah sebiji batu besar dilemparkan ke dalam satu lubuk yang dalam, maka ia menghasilkan suatu kocakan dan gelombang yang besar yang akhirnya dapat diketahui adanya ikan-ikan yang kecil mahupun yang besar yang boleh dimakan atau buaya yang ganas.
Serangan yang mengejutkan dunia Islam seluruhnya itu sepatutnya menyedarkan umat Islam betapa Islam dan umatnya hari ini boleh dipermain-mainkan dan diperlakukan oleh musuh-musuh Islam apabila hilangnya khalifah Islamiyyah dengan berakhirnya khulafah Uthmaniyyah pada tahun 1924.
Khilafah Islamiyah yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. kemudiannya diteruskan oleh Khalifah Ar-Rasyidin dan oleh kerajaan-kerajaan Islam selepasnya walaupun di dalamnya terdapat kelemahan-kelemahan tetapi boleh menjadi pelindung kepada umat Islam seluruhnya. Kewajipan jihad dilaksanakan oleh umat Islam pada masa itu dengan diadakan persediaan ketenteraan yang lengkap di dalam melaksanakan perintah Allah Taala yang bermaksud:
"Bersiaplah kamu untuk menghadapi mereka (musuh-musuh kamu) semampu kamu daripada kekuatan dan pasukan berkuda untuk menggerunkan musuh-musuh Allah dan musuh kamu dan orang-orang yang lain yang kamu tidak mengenali mereka sedangkan Allah mengenali mereka." (Surah al-Aifal ayat 60).
Persediaan dengan kekuatan tentera pada masa itu bukan bertujuan melakukan kezaliman tetapi untuk menjaga keamanan bila kuasa besar dunia, Parsi dan Rom ditumbangkan pada zaman Khalifah Umar Ibnu Al-Khattab r.a. Jika ada peperangan pun, ia bertujuan untuk menghapuskan pemerintah-pemerintah yang zalim tetapi, mereka tidak dipaksa memeluk agama Islam dan mereka bebas menganut agama masing-masing.
Islam benar-benar mengawal keamanan, tidak menceroboh negara-negara lain secara membuta tuli malah Islam mengajar umatnya berlaku adil dan rela menghukum diri sendiri sekiranya melakukan kesalahan.
Semasa pemerintahan khilafah Uthmaniyyah negara Islam dapat mengadakan armada perang yang dapat menguasai Lautan Hindi dan Laut Merah sehingga musuh-musuh Islam gerun dan tidak dapat melakukan apa-apa kezaliman ke atas umat Islam. Bagaimana kehebatan tentera Turki Uthmaniyyah semasa berperang digambarkan oleh ahli Sejarah sebagai: Malam bertukar menjadi siang (kerana kilatan senjata dan peluru-peluru senapang dan meriam) dan siang bertukar menjadi malam (kerana debu-debu dan asap berterbangan menjulang ke langit).
Sejarah ini akan berulang sekiranya umat Islam melaksanakan perintah jihad dengan sepenuhnya. Benarlah ucapan Abu Bakar As-Siddiq r.a. bahawa Allah akan menimpakan ke atas umat Islam kehinaan sekiranya kewajipan jihad dilupakan dengan katanya:
Tidak meninggalkan jihad oleh suatu kaum itu melainkan Allah akan menimpakan ke atas mereka kehinaan dan kemusnahan.
Kini umat Islam telah meninggalkan jihad, mereka telah melakukan khianat ke atas Islam dan umat Islam dengan menjatuhkan khilafah Islamiayyah secara memberi pertolongan kepada musuh-musuh Islam kerana semangat kebangsaan dan serangan fahaman sekular sama yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam. Akibat kejatuhan khilafah Uthmaniyyah , negara Islam dibahagi-bahagikan kuasa-kuasa penjajah tanahair umat Islam.
Walaupun negara dan tanahair umat Islam telah merdeka tetapi kemerdekaan yang diperolehi itu masih belum berjaya membebaskan pemikiran mereka, iman mereka, roh mereka dan cara hidup mereka kerana walaupun penjajah telah kembali ke negara-negara mereka tetapi umat Islam masih beramal dengan undang-undang penjajah, ideologi penjajah, pakaian penjajah dan cara hidup mereka. Sebahagian besar pemimpin-pemimpin negara umat Islam masih menjadi alat dan perkakas kepada musuh-musuh Islam.
Kita lihat serangan yang dilakukan ke atas Sudan dan Afghanistan dilancarkan dari perairan negara umat Islam sendiri bukannya daripada negara Amerika. Negeri dan tanahair umat Islam sendiri boleh menjadi pengkalan-pengkalan kepada tentera musuh-musuh Islam.
Ini menunjukkan betapa rapuhnya iman umat Islam dan betapa rapuh persaudaraan sesama umat Islam sehingga kekayaan negara umat Islam terdiri daripada minyak, gas, bijih besi, getah dan sebagainya digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk membunuh umat Islam sendiri.
Di manakah kesilapannya, marilah kita menghisab diri kita dan menghukum diri kita sendiri dan kembali kepada Islam dan mencari jalan. Tidak ada jalan untuk umat Islam kembali kepada kemuliaan melainkan dengan kembali kepada Islam dan tinggalkan ideologi-ideologi dan fahaman-fahaman yang karut-marut yang tidak ada kena mengena dengan ajaran Islam yang diamalkan di dalam negeri-negeri umat Islam.
Sesungguhnya kemuliaan dan' izzah' umat Islam terletak kepada sejauh manakah berpegangnya mereka dengan Islam bukannya terletak kepada kekayaan, kemasyhuran dan dikenali ramai, alat-alat senjata yang banyak serta dengan gaya-gaya dan promosi-promosi yang berlebihan tetapi jauh daripada Allah Taala dan jauh daripada pertolongannya.
Sekarang tiadalah masanya umat Islam kembali kepada Islam terutamanya para pemimpin umat Islam. Sekiranya para pemimpin negara-negara umat Islam tidak mahu kembali kepada Islam maka berkewajipanlah ke atas umat Islam membuat perubahan negara masing-masing supaya berdaulatnya Islam dan syariat Islam, itulah cara untuk kembali kepada kemuliaan.
Janganlah kita terpengaruh dengan kekayaan, kekuatan dan kemewahan musuh dan menganggapnya itulah sumber kekuatan yang sebenar, tetapi perlu diingat walaupun kekuatan lahiriyyah seperti kekayaan dan sebagainya adalah perlu tetapi terasnya ialah keimanan yang sebenar kepada Allah dan ajarannya. Kemajuan yang dicapai oleh Barat hanyalah kemajuan yang akan membawa diri mereka sendiri kerana tidak ada mana-mana kuasa yang dapat mengekalkan kekuasaan mereka, yang kekal ialah kuasa Allah SWT.
Marilah kita membuat perubahan diri dalam diri kita sendiri dengan Islam kerana Allah Taala berfirman yang bermaksud:"Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah Ar-Ra'du ayat 11).
Marilah kita menghisab nasib kita dengan tidak bersekongkol dengan cara-cara hidup jahiliyyah dengan menyingkirkannya daripada cara hidup kita dan kembali kepada Islam. Itulah rahsianya dan rahsia untuk mendapat pertolongan Allah Taala, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
"Dan sekiranya Allah tidak menolak kejahatan manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid yang banyak disebutkan nama Allah di dalamnya. Dan Allah akan menolong orang-orang yang menolong agama-Nya, sesungguhnyaAllah Maha Kuat lagi Maha Perkasa."
"Orang-orang yang jika Kami perkukuhkan kedudukan mereka dimuka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menyuruh perkara yang baik dan mencegah kemungkaran dan kepada Allah kembali segala urusan." (Surah al-Haj ayat 40-41).

Oleh TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Bookmark this post:
StumpleUpon Ma.gnolia DiggIt! Del.icio.us Blinklist Yahoo Furl Technorati Simpy Spurl Reddit Google


Followers

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Magazine 4 column themes by One 4 All