SENARAI ARTIKEL

Wednesday, March 31, 2010

NASYID DAN KONTROVERSI


Kita semua telah tahu bagaimana kumpulan-kumpulan nasyid telah mewarnai dunia hiburan di negara kita. Saya mengakui bahawa kemunculan kumpulan-kumpulan tersebut membawa kesan baik sama ada sedikit atau banyak kepada masyarakat. Terdapat muda-mudi yang tersentuh hati mereka dan kembali ke pangkal jalan disebabkan mereka mendengar lirik-lirik nasyid yang menyentuh hati mereka dan menyamai pengalaman yang mereka lalui.




Tapi perlu diingat bahawa penasyid tidak maksum (terpelihara daripada dosa dan kesilapan) dan lagu-lagu nasyid juga tidak maksum. Sesekali saya mendapati lirik-lirik nasyid yang tidak sesuai dan perlukan kepada teguran agar kita dapat memperbaiki satu cabang daripada cabang-cabang hiburan Islam.

Sesetengah lirik lagu nasyid mengandungi kesalahan seperti berikut (saya tidak sebutkan contoh dengan tepat agar tidak menyentuh mana-mana penasyid) :

a) Lirik yang mengandungi hadith dhaif atau palsu.

b) Lirik yang mengandungi kisah-kisah israiliyyat (kisah-kisah umat terdahulu bersumberkan daripada Ahli Kitab) yang belum dipastikan kesahihannya.

c) Lirik yang mengandungi maksud cinta muda-mudi yang boleh disalah anggap dan menyerupai cinta dalam lagu-lagu moden yang bukan nasyid.

di) Lirik yang terlalu memuja dan mengagungkan tokoh-tokoh Islam sehingga membawa maksud mereka adalah insan yang sempurna.

e) Lirik-lirik dalam bahasa arab yang dilagukan (sama ada ayat Al Quran, hadith atau kata-kata ulama) sehingga berubah barisnya dan panjang atau pendeknya. Ini sudah pasti mengubah maksud seperti yang telah sedia diketahui oleh mereka yang mempelajari Bahasa Arab.

f) Lirik yang mengandungi maksud keinsafan tetapi tidak dipadankan dengan rentak yang sesuai seperti dilagukan dengan rentak rancak. Adakah lagu berbentuk memohon keampunan sesuai dilagukan dengan rentak rancak?

pergi) Lirik yang terlalu puitis sehingga kita merasakan bahawa ia hanya difahami oleh penulis liriknya sahaja.

h) Lirik yang membawa fahaman melampau seperti tidak mahu kepada dunia, mementingkan akhirat semata-mata, menolak cinta kepada manusia, membandingkan cinta manusia dengan cinta kepada Tuhan, mentafsirkan cinta kepada Tuhan dengan maksud rindu seperti kekasih rindukan kekasih dan sebagainya.

i) Lirik selawat atau zikir yang dilagukan dengan cara yang tidak sepatutnya seperti salah barisnya atau panjang pada tempat yang sepatutnya pendek. Atau dilagukan dengan rentak yang rancak.

j) Lirik yang mengandungi pengakuan yang dibimbangi menjadi pengakuan yang tidak jujur seperti mengaku bahawa di dalam hatinya hanya ada cinta pada Allah, mengaku bahawa dirinya telah bertaubat sebenar-benarnya atau mengakui bahawa dia menangis di tengah malam dan sebagainya.

k) Lirik (dan juga lagu) yang tidak membangkitkan semangat ke arah mentaati Allah SWT. Sedangkan lagu-lagu yang dilagukan sepatutnya membangkitkan semangat, bukan sentiasa mendayu-dayu (sesekali tidak mengapa) sehingga hilang semangatnya.



Penasyid Perlu Tambahkan Ilmu

Sekiranya para penasyid menganggap bahawa diri mereka mewakili golongan pendakwah, mereka perlu membanyakkan ilmu di dada dan melakukan banyak pembacaan dan kajian. Saya pernah hadir di beberapa konsert nasyid dan saya mendengar huraian atau ceramah yang dibuat oleh penasyid. Pernah ada penasyid yang menggunakan hadith palsu dan pernah juga penasyid menghuraikan maksud yang melampau seperti yang ada di dalam beberapa tarekat kesufian (sila lihat ruangan dalam al-ahkam.net : ‘Kekeliruan dalam Tasauf dan Sufi’). Penasyid perlu menambah ilmu tentang Islam sebelum membuat kenyataan atau dakwah kerana ramai peminat mereka yang menantikan kata-kata mereka untuk diikuti kerana orang yang mencintai akan mengikut kata sesiapa yang dicintainya.

Saya sendiri meminati nasyid dan mempunyai kenalan yang terlibat dalam industri nasyid. Janganlah menganggap tulisan ini seperti pisau yang menghiris hati para penasyid. Anggaplah tulisan ini sebagai satu nasihat daripada seorang yang mengambil berat tentang perkembangan nasyid di Malaysia. Wallahu a’lam.

posted by: alitantawi
Bookmark this post:
StumpleUpon Ma.gnolia DiggIt! Del.icio.us Blinklist Yahoo Furl Technorati Simpy Spurl Reddit Google


Followers

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Magazine 4 column themes by One 4 All