SENARAI ARTIKEL

Tuesday, March 30, 2010

Jalinan kasih sayang Nabi dan sahabat


Jalinan kasih sayang Nabi dan sahabat
Rasulullah s.a.w. meninggalkan kota Makkah dalam suasana dihambat oleh rasa kebencian dan permusuhan sebahagian besar penduduknya. Berbeza dengan ketibaan Nabi s.a.w. di Madinah, baginda disambut oleh penduduknya yang ramah mesra dengan perasaan kasih sayang. sifat mahabbah penduduk Madinah menjadi penawar hati baginda yang tercalar oleh sikap permusuhan dan kebencian penduduk Makkah terhadap baginda.
Sayang dan benci, dua sifat perasaan yang bertentangan, kedua-duanya merupakan naluri insan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sekalipun ia bertentangan antara keduanya, namun ia tetap memberi manfaat kepada manusia. Ada sayang yang memberi manfaat dan boleh mendatangkan pahala atau dosa, kebencian juga begitu, memberi manfaat kepada manusia dan kadangkala mendatangkan bencana dan dosa. Sayang kena pada tempatnya akan mendatangkan kebajikan dan pahala, sebaliknya kebencian yang kena pada tempatnya juga mendatangkan kebajikan dan pahala.
Kebencian penduduk Makkah terhadap Nabi s.a.w. merupakan tindakan yang tidak kena dan melampaui batas, lebih-lebih lagi terhadap insan yang sebaik Muhammad s.a.w., seorang yang dilantik oleh Allah SWT sebagai Nabi dan utusan-Nya di muka bumi ini. Kebencian penduduk Makkah terhadap Nabi s.a.w. sememangnya tidak berasas, ia bukan saja mendatangkan kesukaran terhadap mangsanya malah bagaikan menempa petaka dalam kehidupan mereka di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.
Penduduk Madinah telah meletakkan rasa hormat dan kasih sayang tepat pada tempatnya, iaitu terhadap Nabi dan Rasulullah. Seorang yang dipilih dan di asuh secara langsung oleh Allah SWT, untuk memikul tanggungjawab memimpin manusia ke arah kebenaran yang bersumberkan wahyu Ilahi.
Justeru itu, apabila penduduk Madinah mendapat tahu bahawa Nabi s.a.w. yang paling mereka sayangi telah tiba di Madinah, maka mereka keluar beramai-ramai menyambut ketibaan seorang yang paling dimuliakan dengan nasyid-nasyid dan syair-syair yang memuji-muji Nabi s.a.w.. "Tola'al Badru 'Alaina, Min tsaniyyatil Wada'ei, Wajabasy Syukru 'Alaina, Mada'a Lillahi Da'ei" Mereka menyifatkan Nabi s.a.w. ibarat bulan purnama yang menerangi kehidupan mereka di Madinah, justeru itu wajiblah mereka bersyukur ke atas Allah SWT yang memperkenankan harapan mereka.
Puji-pujian yang terbit dari hati murni penduduk Madinah, bukanlah suatu lakonan, seperti lakonan umat di zaman mutakhir yang mengadakan perarakan menyambut perayaan Maulidur Rasul, pada ketika yang sama mereka tidak menghargai langsung syariat dan hukum-hakam yang dibawa oleh Nabi s.a.w.. Lidah mereka memuji Nabi s.a.w., pada masa yang sama mereka tetap mengagungkan undang-undang Barat. Bernasyid di majlis sambutan Maulidur Rasul sekadar tradisi atau budaya, bukan sebagaimana penduduk Madinah yang merasa amat bersyukur dengan ketibaan Nabi s.a.w. yang menerangi hidup mereka dengan syariat Islam.
Sikap yang ditunjukkan oleh penduduk Madinah yang dikenali sebagai kaum 'Ansar', mendedahkan kasih sayang mereka terhadap Nabi s.a.w. begitu mendalam, melimpah dari hati penduduk Madinah sama ada lelaki atau perempuan semua peringkat umur. Mereka sanggup menunggu ketibaan Nabi s.a.w. sejak pagi hingga di tengah panas terik tengah hari. Selepas itu mereka pulang dan berazam untuk berdiri semula di tepi jalan pada keesokan harinya, bagi menunggu lagi ketibaan orang yang dikasihi Nabi Muhammad s.a.w..
Sebaik saja mereka melihat dari kejauhan ketibaan Nabi s.a.w. yang ditemani oleh Abu Bakar, maka kata-kata sanjungan terhambur dari lidah mereka bergema memenuhi ruang angkasa Madinah kerana terlalu gembira dapat menatap wajah Nabi s.a.w.. Sebaliknya Nabi s.a.w. juga sangat menyayangi kaum Ansar Madinah, seimbang dengan kasih sayang yang telah ditunjukkan oleh mereka.
Banyak bukti yang menunjukkan para sahabat dari kalangan Ansar sangat menyayangi Nabi s.a.w., ia dapat dilihat sejak pertama kali penduduk Madinah menemui Nabi s.a.w. semasa menunaikan haji. Mereka telah mengadakan bai'ah untuk mengikat kesetiaan, untuk mempertahankan Nabi s.a.w. sekiranya terdapat ancaman dari musuh, ketika Nabi s.a.w. telah sampai ke Madinah kelak. Mereka akan pertahankan Nabi sebagaimana mereka mempertahan kaum keluarga mereka sendiri dari ancaman musuh.
Sebaik saja Nabi s.a.w. sampai ke Quba, penduduk madinah berebut-rebut mempelawa Nabi singgah dan menginap di rumah mereka. Seorang sahabat dari kalangan Ansar iaitu Abu Ayub yang merasa amat bertuah apabila unta Nabi berhenti didepan rumahnya. Abu Ayub dan isterinya amat bersyukur kepada Allah SWT yang telah menganugerahkan tetamu ke rumahnya seorang Nabi yang agung. Rasa sayang dan hormat Abu Ayub sekeluarga terhadap tetamu agungnya itu dapat dilihat melalui cara Abu Ayub meraikannya. Beliau memiliki rumah dua tingkat, Nabi s.a.w. tetamu agungnya itu ditempatkan ditingkat atas. Beliau berbuat demikian kerana merasa tidak wajar tetamu yang mulia itu seolah-olah ditempatkan di bawah tapak kakinya.
Abu Ayub dan keluarganya makan lebihan makanan yang dihidangkan kepada Nabi s.a.w.. Selain ingin mendapatkan keberkatan dari baki makanan yang telah disentuh oleh Nabi s.a.w., tetapi Abu Ayub juga melakukannya atas dorongan perasaan kasih terhadap Nabi s.a.w. yang sangat dimuliakan.
Banyak riwayat mengenai para sahabat yang berebut-rebut mendapatkan air dari basuhan wudhuk Nabi s.a.w., sehingga tiada air wudhuk baginda titis ke bumi kerana tangan para sahabat begitu rapat menyambutnya.
Ketika Nabi bermalam di rumah seorang muslimah bernama Ummi Sulaim, cuaca agak panas menyebabkan keringat baginda mengalir ke tikar yang dibuat dari kulit. Ummu Sulaim telah mengambil keringat baginda dan disapu ke tubuhnya untuk mendapat keberkatan di samping dorongan kasih sayang terhadap Nabi s.a.w..
Kalau begitulah keadaannya bertawasul dengan kesannya yang berbentuk benda, sedangkan Nabi s.a.w. tidak menghalangnya, maka yang demikian itu bererti mengambil berkat dari Nabi s.a.w., adalah suatu yang tidak bercanggah dengan Islam. Bagaimanapun untuk mendapatkan suatu keberkatan selain dari Nabi s.a.w., maka perlulah diperhati dan diteliti benar-benar keadaan orang yang diambil keberkatannya itu seorang yang soleh dan warak. Jika tidak, dikhuatiri ia akan menjadi suatu budaya yang berbentuk khurafat, atau kemungkinan terpedaya dengan orang yang berlagak soleh dan warak. Ada pihak yang mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh para sahabat itu hanya bersifat 'tabarruk' (mengambil berkat) semata-mata, dan bukannya 'tawasul'. Sebenarnya tabarruk dan tawasul itu dua kalimah yang berbeza tetapi dari segi istilahnya adalah sama. Di mana ada keharusan bertawasul atas perkara-perkara yang berhubung dengan Nabi s.a.w., maka di sana terdapat tabarruk iaitu keberkatan.
Sama ada tawasul dengan kebesaran Nabi s.a.w. atau dengan kesan-kesan Nabi (seperti air wudhuk dan peluh Nabi dan kain baju Nabi), ini adalah merupakan bahagian-bahagian tertentu yang termasuk dalam erti kata tawasul. Justeru tabarruk atau tawasul terhadap Nabi suatu yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam, dalilnya Nabi s.a.w. tidak melarang apa yang dilakukan oleh para sahabat, sedangkan ia berlaku di depan mata Nabi s.a.w. sendiri.
Oleh TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT
Bookmark this post:
StumpleUpon Ma.gnolia DiggIt! Del.icio.us Blinklist Yahoo Furl Technorati Simpy Spurl Reddit Google


Followers

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Magazine 4 column themes by One 4 All