Kedua-dua anak lelaki Rabia'ah pemilik dusun anggur di pinggir Taif, dikenali sebagai musuh Islam yang cukup sengit. Mereka pernah mengadakan pertemuan dengan Abu Talib bapa saudara Nabi, bersama delegasi yang mendesak Abu Talib supaya menyekat anak saudaranya, Muhammad bin Abdullah dari meneruskan penyebaran ajaran agama yang bertentangan dengan pegangan nenek moyang mereka. Ataupun menyerahkan anak saudaranya itu kepada mereka untuk diadakan (adu) kekuatan bersenjata, supaya satu di antara dua golongan yang bertentangan ini musnah.
Bagaimanapun ketika Nabi s.a.w. dihambat oleh penduduk Taif, kedua anak lelaki Rabia'ah hanya memerhati gerak-geri Nabi dari jauh. mereka tidak memperlihatkan sikap permusuhan lagi, sebaliknya menyuruh tukang kebunnya bernama Addas menghantarkan beberapa tangkai anggur untuk Nabi dan Zaid yang dalam keletihan. Pertukaran sikap anak-anak Rabi'ah dari permusuhan kepada belas kasihan Nabi s.a.w. merupakan perubahan luar biasa dan reaksi sepontan yang menghiburkan hati Nabi s.a.w..
Perubahan sikap itu menepati dengan tujuan agama diturunkan kepada manusia, iaitu untuk menukar sikap buruk manusia kepada peribadi murni, dari sikap ganas kepada lemah lembut, dari bakhil kepada pemurah, dari permusuhan kepada persaudaraan, dari kejam kepada simpati, dari yang baik kepada yang lebih baik dan seterusnya. Agama membimbing pemikiran manusia kepada pemikiran yang berpandu kepada wahyu Allah, untuk pembinaan tamadun masa depan. Justeru itu masa depan Islam itu terserah kepada pemikiran manusia yang bersumberkan wahyu, dan bukannya terserah kepada naluri manusia.
Di antara iktibar yang boleh diambil dari peristiwa Nabi s.a.w. pergi ke Taif ialah; mengenai tindakan anak angkat Nabi iaitu Zaid bin Haritsah yang sanggup menjadikan dirinya sebagai perisai melindungi Nabi s.a.w. dari serangan lontaran batu oleh kanak-kanak Taif. Zaid bin Haritsah ialah seorang hamba sahaya milik Siti Khadijah yang kemudiannya dihadiahkan kepada Nabi s.a.w., Zaid telah di merdekakan oleh Nabi dan dijadikan anak angkat. Tindakan Zaid yang menjadikan tubuhnya sebagai benteng untuk menjaga tubuh Nabi s.a.w. agar tidak cedera, akibatnya kepala Zaid telah cedera luka berdarah beberapa liang.
Zaid sanggup menjadikan dirinya sebagai benteng bagi menyelamatkan Nabi s.a.w. sedangkan tindakan itu bukan saja mendedahkan diri kepada kecederaan, bahkan ia boleh membawa kepada maut. Apakah yang mendorong Zaid sanggup bertindak demikian, meskipun dia sedar bahawa tindakannya itu membahayakan dirinya? Inilah satu contoh tahap hubungan antara manusia bertaraf sahabat dengan Nabi s.a.w.. Bukan Zaid bin Haritsah seorang sahaja yang bersikap demikian, bahkan boleh dikatakan semua para sahabat Nabi bersikap demikian, sesungguhnya seluruh para sahabat Nabi juga sanggup berbuat apa jua demi keselamatan Nabi s.a.w.. Justeru itu mereka adalah orang yang mendapat pujian dari Allah SWT sebagai: "Wa-Hasuna ula-ika Rafiqa "Mereka adalah sebaik-baik dan semulia-mulia sahabat.
Satu persoalan. Jika Zaid bersedia bermati-matian mempertahankan Nabi s.a.w. dari sebarang kecederaan, bagaimana pula caranya mempertahankan Nabi s.a.w. setelah baginda wafat?
Caranya tidak lain, jangan bakhil anggota tubuh seseorang dari menerima bala dan kesusahan kerana mempertahankan Islam. Jika seseorang itu mendakwa sayangkan Nabi tetapi enggan menggunakan batang tubuh untuk mempertahan sunnah Nabi s.a.w. dan syariat Allah SWT dari sebarang ancaman, maka orang jenis ini sekiranya mereka hidup di zaman Rasulullah s.a.w., nescaya mereka tidak akan menggunakan tubuhnya untuk melindungi Nabi dari sebarang bahaya.
Mempertahankan Nabi bererti mempertahankan sunnahnya dan syariat Islam, untuk itu bukan saja menggunakan tubuh badan bahkan gunalah sikap keberanian, ilmu pengetahuan, kepakaran dan kebijaksanaan, pengaruh dan harta benda untuk berdepan dengan pelbagai halangan (al-mihan) dan kesusahan. Untuk mempertahankan sunnah Nabi s.a.w. dan syariat Islam mesti mempunyai saham, iaitu saham diri bersedia menanggung susah dan penat sebagaimana yang telah ditunjuk oleh Nabi s.a.w..
Selain iktibar dari perubahan sikap anak-anak lelaki Rabia'ah kepada sikap positif terhadap Nabi, terdapat juga peristiwa mengenai satu rombongan "jin" yang telah dipertemukan oleh Allah SWT dengan Nabi s.a.w. yang sedang mendirikan solat malam di suatu tempat bernama Nahlah. Nabi sembahyang malam dengan bacaan jahar, para jin berhenti mendengar ayat-ayat al-Quran yang dibaca oleh Nabi s.a.w..
Peristiwa itu mengesahkan wujudnya makhluk jin yang kedudukan mereka seperti manusia dari segi taklif syarak, iaitu kewajipan beriman dengan al-Quran dan melaksanakan perintah agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.. Terikat dengan peraturan perintah wajib dan tinggalkan yang haram dan terlarang, berkeyakinan terhadap adanya beban dosa dan pahala, seterusnya menempuh hari kebangkitan di mahsyar dan balasan amal sama ada syurga atau neraka. Di kalangan makhluk jin itu ada yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tidak kurang juga yang kufur.
Di dalam al-Quran terdapat kisah jin dengan nas yang jelas, iaitu di dalam surah khas diberi nama "Surah al-Jin", yang mengandungi 28 ayat. Di awal surah tersebut dengan jelas Allah SWT menerangkan dengan jelas tentang sekumpulan jin yang beriman dengan al-Quran yang dibacakan oleh Nabi s.a.w., kerana al-Quran itu memberi petunjuk dan menjadikan mereka yang beriman cerdik. Seterusnya me¬reka berjanji tidak akan menyengutukan-Nya.
Dalam kitab Tarikh Ibnu Ishaq ada dinukilkan kisah jin, Imam Bukhari, Muslim dan Tarmizi juga menyebut kisah jin dalam kitab sahih mereka. Imam Bukhari telah mengambil kisah jin itu dari sepupu Nabi, Abdullah bin Abbas, katanya: Suatu ketika nabi s.a.w. pergi ke pasar Uqaz berhampiran dengan Mina, ketika itu ramai kabilah Arab datang untuk menunaikan haji. Nabi ambil peluang untuk berdakwah ketika orang ramai berhimpun di Mina, ketika itu Nabi menemui satu rahsia mengenai kaum jin yang sedang berdepan dengan satu masalah besar, iaitu jika dulu mereka boleh pergi ke langit untuk mengetahui berita langit, tetapi pada ketika itu mereka sudah tidak boleh berbuat begitu lagi.
Mereka berusaha mencari puncanya dengan mengirim para tokoh-tokoh utama mereka untuk menyiasat di seluruh pelusuk muka bumi. Ketua mereka penuh keyakinan mesti ada sebab-sebab tertentu perkara itu terjadi, mungkin ada perkara baru berlaku di muka dunia dan siasatan secara terperinci mesti dilakukan seberapa segera. Mereka mengembara dari timur ke barat, dari kutub utara ke kutub selatan. Satu kumpulan jin telah pergi ke Tihamah dan di sanalah mereka bertemu dengan Nabi s.a.w. yang sedang mendirikan solat malam di tengah padang pasir, kumpulan jin itu mendengar ayat-ayat Quran dibaca oleh Nabi, sedangkan sebelum itu mereka tidak pernah mendengar bacaan ayat-ayat seumpama itu.
Setelah mendengar firman Allah yang dibaca oleh Nabi s.a.w., lalu mereka pulang mendapatkan ketua mereka untuk melaporkan apa yang telah ditemui itu, lalu mereka berkata sebagaimana yang dinyatakan di awal surah jin itu. Kesimpulannya jika di kalangan manusia ada yang beriman, maka di kalangan makhluk jin juga ada yang beriman dengan keimanan yang sempurna terhadap Allah dan Rasul-Nya.
Oleh TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT
Bookmark this post: |
0 comments:
[+/-]Click to Show or Hide Old Comments[+/-]Show or Hide Comments
Post a Comment