MUQADDIMAH
Allah berfirman dalam surah at Taubah ayat 111 bermaksud:
إِنَّ اللهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإِنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.
Allah telah menyebut dan menyatakan dalam al Quran perihal jihad sebagai satu jual beli yang punyai pengertian yang sangat mendalam. Juga telah disebut di dalam kitab-kitab sebelum daripada al Quran sama ada at Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa a.s ataupun al Injil yang diturunkan kepada nabi Isa a.s. Semuanya menyeru kepada satu bentuk jual beli yang dinamakan jihad menggunakan harta atau nyawa. Allah akan membeli kedua-duanya dengan harga yang sangat mahal iaitu syurga.
SYAHID DAN ISTISYHADIAH
Sebab dinamakan syahid
Sebelum kita melihat pengertian syahid maka eloklah kita mengetahui punca dinamakan syahid. Dalam hal ini Ibnu Hajar telah menyebut sebanyak empat belas pendapat manakala Imam Nawawi menyatakan sebanyak tujuh pendapat.
Al Anbari mengatakan dinamakan syahid kerana Allah dan malaikatNya menjadi saksi kemasukannya ke dalam syurga. Dikatakan juga kerana seseorang syahid itu hidup dan seolah-olah ruhnya menyaksikan. Ada juga pendapat lain yang mengatakan sebabnya ialah tiada yang menyaksikan saat kematiannya melainkan malaikat Rahmat dan banyak lagi pendapat-pendapat lain.
Namun, yang dikehendaki dengan syahid di sini ialah yang terbunuh fi sabilillah, kerana para syuhada’ itu pelbagai jenis sebagaimana yang dijelaskan dalam hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam Sohih Bukhari:
الشهداء خمسة ؛ المطعون والمبطون والغرق وصاحب الهدم, والشهيد فى سبيل الله
Pengertian Syahid
Syahid berasal daripada kalimah (شهد ) bermaksud orang yang terbunuh atau dibunuh fi sabilillah (dijalan Allah). Dikatakan seseorang itu mati syahid. Kata jama’nya ialah syuhada’. Mazhab yang empat juga telah menta’rifkan pengertian syahid ini berdasarkan hujjah masing-masing, tetapi semuanya sepakat dalam menyifatkan seseorang yang dibunuh atau mati fi sabilillah.
Manakala istisyhadiah pula ialah perihal meminta syahid dengan mendedahkan dirinya untuk dibunuh atau terbunuh fi sabilillah. Kaedah Bahasa Arab menyatakan, sesuatu kalimah yang ditambah dengan huruf sin membawa maksud permintaan dan kehendak.
Oleh itu, timbul perdebatan yang hangat di kalangan para ulama’ dan ilmuan Islam tentang perkara ini khususnya yang berlaku di kalangan rakyat Palestin yang telah meletupkan tubuh badan mereka di tengah-tengah Yahudi. Sebahagian mereka mengatakan ia adalah istisyhadiah dan sebahagian yang lain pula mengatakan ia adalah intihariah (bunuh diri). Pendapat yang kedua diperkuatkan dengan firman Allah yang berbunyi:
وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللهِ وَلاَ تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.
Oleh hal demikian, kita ingin melihat dengan ilmiah dalam menilai perkara ini berdasarkan sumber Ilahi bukannya mengikut hawa nafsu dan kedangkalan hati.
HUKUM DAN SYARAT
Daripada perbincangan dan pengertian di atas dapatlah kita faham bahawa wujudnya perbezaan di antara istisyhadiah dan intihariah (bunuh diri). Oleh itu kita akan simpulkan kepada beberapa noktah penting untuk kita menghukum sesuatu perbuatan itu termasuk dalam kategori intihariah atau pun jihad iaitu istisyhadiah sebagaimana berikut:
Perkara pertama:
a) Islam menegah seseorang bercita-cita untuk mati dengan sebab keduniaan daripada kesusahan dan kecelakaan, namun Islam menggesa umatnya supaya berazam untuk mati syahid di jalan Allah sebagaimana hadith Rasulullah s.a.w dalam Sohih Muslim yang berbunyi:
من سأل الله الشهادة بصدق بلغه الله منازل الشهداء وإن مات على فراشه
b) Tidak boleh bagi seorang manusia mendedahkan dirinya kepada kebinasaan dengan sebab-sebab keduniaan seperti membenarkan orang lain membunuhnya, bahkan Imam al Qurtubi dalam tafsirnya mengkategorikan ia sebagai bunuh diri, kecuali jihad melawan musuh-musuh agama Islam. Walaupun ia juga mendedahkan diri kepada kebinasaan tetapi ia merupakan suruhan Allah dan RasulNya.
Perkara kedua:
Perbuatan yang mendedahkan diri kepada kehancuran untuk menakutkan dan menyerang musuh dengan niat untuk meninggikan kalimatullah tidak dianggap sebagai bunuh diri mengikut kebanyakan ulama’ empat mazhab. Para ulama’ sebelum ini hanya membincangkan tasabbub sahaja dan meninggalkan zat dalam perkara pembunuhan serta meyerang musuh, namun pada hari ini zat diri manusia itu sendiri sudah perlu untuk dijadikan senjata pula bagi mencapai maksud menakutkan dan menyerang musuh.
ISTISYHADIAH SEPANJANG SEJARAH
Pertama: Kisah Ashab al Ukhdud
Firman Allah taala dalam surah al Buruj ayat keempat hingga kesembilan menceritakan satu kisah yang berlaku sebelum kebangkitan nabi Muhammad s.a.w. Ia juga telah tafsirkan berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w yang agak panjang dalam kitab Riyadh as Solihin karangan Imam Nawawi riwayat Suhaib yang dikeluarkan oleh Imam Muslim. Kisah ini masyhur dengan nama Ashab al Ukhdud (parit).
Seorang ghulam yang telah menyebabkan kemasukan masyarakat pada zaman itu ke dalam agama Islam secara beramai-ramai setelah dihukum mati oleh raja. Hukuman yang dijatuhkan gagal mematikan ghulam ini melainkan dengan menyebut nama tuhan ghulam tersebut. Ia telah disaksikan oleh rakyat jelata dan mereka semua telah memeluk Islam. Lalu digali parit dan dinyalakan api dengan maraknya bagi dimasukkan sesiapa sahaja yang masih beriman dan enggan kembali kepada ajaran lama mereka. Seorang demi seorang terjun dan masuk ke dalam parit api tersebut sehinggalh giliran seorang ibu bersama anaknya yang masih kecil. Timbul ragu-ragu dihati ibu ini dan dengan takdir Allah bayi itu berkata: wahai ibuku, ibu bersama orang-orang yang benar. Lalu terjunlah ibu bersama bayinya ke dalam api.
Jadi persoalannya sekarang adakah yang berlaku kepada orang yang beriman bahkan ibu bersama bayinya yang terjun ke dalam api tersebut dikira bunuh diri?
Kedua: Peristiwa peperangan Badar
Rasulullah s.a.w bersabda ketika perang Badar yang berlaku pada hari Jumaat, 17 Ramadhan tahun kedua hijrah :
والذى نفس محمد بيده فإنه لا يقاتل اليوم رجل مقبل غير مدبر إلا أن يدخله الله الجنة
Maksudnya : Dan demi diri Muhammad yang berada di tangannya, tiadalah seorang lelaki yang berperang pada hari ini mara tanpa berundur melainkan Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.
Apabila seorang sahabat yang sedang makan buah kurma mendengar hadith ini, dia pun berkata maksudnya : tak ada yang menghalang aku daripada masuk syurga melainkan buah kurma yang masih ada ditanganku. Lantas dia mengambil senjata dan masuk ke dalam kumpulan musuh seorang diri sahaja dan akhirnya dia telah dibunuh.
Peristiwa ini berlaku di hadapan Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang lain tanpa ada seorang pun yang mengingkarinya. Ini menunjukkan perbuatan sahabat tersebut bukanlah perbuatan membunuh diri bahkan istisyhadiah yang Allah akan mengganjarinya dengan syurga kelak.
Ketiga: Khalifah Abu Bakar memerangi murtad
Khalid al Walid (pedang Allah dan RasulNya) yang ditugaskan mengepalai tentera Islam pada waktu itu untuk memerangi golongan murtad telah mengarahkan supaya membuat kepungan dan sekatan makanan. Golongan ini dipimpin oleh Musailamah al Kazzab dengan bantuan Sijah berada dalam sebuah kota.
Muncul seorang pemuda bernama Thabit bin Qis bin Syamas membuat tawaran kepada Khalid bin al Walid untuk dipergunakan dirinya dalam peperangan tersebut. Mengikut sejarah, pemuda ini pernah menderakan dirinya dengan mengurung diri dalam rumah kerana telah meninggikan suaranya di hadapan Rasulullah s.a.w. Dia menganggap dirinya akan masuk neraka selepas turunnya ayat dalam surah al Hujurat ayat kedua. Lalu Rasulullah pun memanggil pemuda ini dan bersabda:
أ ما ترضى أن تعيش حميدا وتقتل شهيدا وتدخل الجنة وأنت من أهل الجنة
Maksudnya: Apakah kamu tidak redha hidup dalam keadaan baik, dan mati dalam keadaan syahid dan kamu akan masuk syurga dan kamu adalah ahli syurga.
Selepas itu dia sentiasa berulang-alik ke masjid menunaikan ibadah. Dan dalam memerangi golongan murtad ini dia telah membuktikan kata-kata Rasulullah dengan mengorbankan dirinya untuk Islam lalu berkata kepada Khalid membuat tawaran: letakkan diri saya dalam minjanik (alat untuk membidas dan melontar), untuk saya buka pintu kota dari dalam, lontarkan diri saya dan saya akan mengamuk di dalam kota sehingga saya buka pintu kota. Dalam kejadian ini, Thabit mengalami cedera parah dan telah dibunuh mati syahid. Dia juga sempat membuka pintu kota sehingga tentera Islam berjaya masuk ke dalam kota dan Musailamah telah dapat ditawan dan dibunuh. Jadi adakah boleh kita katakan perbuatan Thabit ini sebagai bunuh diri?
Keempat: Khalifah Umar berhadapan dengan Rom
Saidina Umar ketika menjadi khalifah telah melantik Abu Ubaidah ‘Amir bin Jarah (aminul ummah) sebagai panglima perang yang baru menggantikan Khalid bin al Walid. Tentera Islam akan berhadapan dengan tentera Rom yang ramai jumlahnya iaitu di antara 400 hingga 500 ribu orang.
Apabila pasukan hadapan tentera Islam yang disusun oleh Khalid al Walid pecah dan kucar kacir, Ikrimah Abu Jahal (telah masuk Islam) telah melemparkan perisai dan sarung pedang yang ada di tangannya. Lalu ditegur oleh Khalid al Walid: bukan begitu wahai Ikrimah!. Ikrimah pun berkata: jangan larang aku! Siapa yang sanggup mati bersama aku? Lebih kurang 400 tentera Islam telah memegang tangan Ikrimah untuk berbai’ah. Lalu mereka pun mara ke hadapan masuk ke tengah-tengah musuh. Melihat keadaan ini, tentera Rom menjadi gerun dan takut lalu mereka berundur dengan sebab 400 orang ini. Ikrimah dan 400 tentera Islam yang lain telah terkorban dan mati syahid dalam peristiwa tersebut.
Persoalan juga timbul di sini, adakah perbuatan Ikrimah dan tentera Islam yang berbai’ah dengannya dianggap bunuh diri?
Kelima: Pembukaan Kostantinopal
Setelah Bizantin jatuh ke tangan umat Islam pada zaman Khalifah Umar al Khattab, Kostantinopal (sekarang Istanbul) telah dijadikan pusat Rom timur yang baru. Khalifah Uthman telah menubuhkan tentera laut pada zamannya dan mengarahkan tentera Islam yang dipimpin oleh Abu Ayyub al Ansari untuk membuka Kostantinopal. Ini kerana percaya kepada sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير هو الأمير ولنعم الجيش ذلك الجيش
Maksudnya: akan dibuka Kostantinopal, sebaik-baik raja adalah raja pada waktu itu dan sebaik-baik tentera ialah tentera tersebut.
Menurut riwayat daripada Tirmizi dalam peperangan ini ada seorang tentera yang yang berada di tengah-tengah musuh seorang diri berlawan dengan mereka. Tentera Islam yang lain pun mengatakan : maha suci Allah, dia telah mencampakkan dirinya kepada kebinasaan!. Ini berdasarkan firman Allah yang berbunyi:
وَلاَ تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Mendengar kata-kata ini Abu Ayyub al Ansari pun bangun dan berkata maksudnya: wahai manusia, kamu telah menta’wilkan ayat ini sedangkan ayat ini diturunkan kepada kami golongan ansar, apabila Allah telah memuliakan Islam dan ramai pendokongnya maka berkata umat Islam sesama mereka: harta benda kita telah hilang dan Allah sekarang telah memuliakan Islam serta ramai yang mendokongnya, jadi kalau kita tidak menjaga dan menyimpan harta kita nescaya akan hilanglah sekali lagi. Maka turunlah ayat ini kepada Rasulullah s.a.w sebagai menjawab perbualan sahabat tadi. Jadi maksud kebinasaan yang sebenar di dalam ayat ini ialah sibuk menjaga harta dan meninggalkan peperangan.
Abu Ayyub sendiri sentiasa berada dalam medan peperangan fi sabilillah sehingga dia dikebumikan di Kostantinopal. Jadi dapatlah kita nyatakan perbuatan seorang sahabat tadi yang masuk ke tengah-tengah musuh seorang diri bukanlah perbuatan membunuh diri sebagaimana yang disalahtafsirkan.
PENDAPAT DAN FATWA ULAMA’
Dalam merujuk pandangan dan fatwa para ulama’ berkaitan perbincangan ini, kita dapati terdapat pelabagai persepsi yang memerlukan huraian yang lebih panjang terutamanya syarat-syarat yang diletakkan oleh mereka. Hal ini demikian berikutan keanjalan hukum feqah itu sendiri yang berbeza-beza dari satu tempat ke tempat yang lain dan dari seseorang dengan seseorang yan lain yang melambangkan kesesuaian hukum Islam di semua tempat dan zaman.
Oleh itu, kita hanya mengambil beberapa tokoh ulama’ yang terkenal sahaja sebagai asas dan bahan rujukan kita di sini. Menurut Dr Wahbah Zuhaili yang merupakan Ketua Jabatan Feqah dan Usulnya di Fakulti Syariah Universiti Damsyiq bahawa ia merupakan satu keharusan dengan izin Allah kerana perbuatan seumpama ini menjadi satu keperluan syara’ pada hari ini.
Manakala Dr Muhammad Sa’id Ramadhan al Buthi Ketua Jabatan Aqidah dan Adyan Fakulti Syariah Universiti Damsyiq pula mengatakan bahawa kerja ini dibenarkan dalam Islam seratus peratus dengan syarat berniat untuk mengahapuskan musuh.
Dr Yusof al Qorodhowi menyebut kerja ini dikira sebagai sebesar-besar jihad di jalan Allah dan ia merupakan perbuatan menakutkan musuh yang dijelaskan dalam al Quran. Manakala Syeikhul Azhar Dr Muhammad Said Tantawi pula (selepas merujuk fatwa yang lama) mengatakan bahawa jangan kita kata kepada seseorang yang meletupkan dirinya adalah bunuh diri tetapi dia adalah syahid kerana telah meyerahkan jiwa raganya di jalan Allah.
PENUTUP
Kesimpulannya dapatlah kita nyatakan bahawa konsep istisyhadiah perlu kita fahami dengan sedalamnya kerana ia bukan suatu perkara yang baru dalam Islam tetapi telah berlaku dalam lipatan sejarah umat Islam terdahulu. Kekeliruan kita dalam memahami perkara ini akan menyebabkan kesilapan dalam menilai dan kecelaruan dalam memberikan kenyataan.
Bookmark this post: |
0 comments:
[+/-]Click to Show or Hide Old Comments[+/-]Show or Hide Comments
Post a Comment