Satu peristiwa besar berlaku dalam sejarah Nabi s.a.w ialah mengenai “Fat-hu Makkah.” Kejatuhan kota Makkah kepada pihak Nabi s.a.w dan Islam telah berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke lapan Hijrah.
Fat-hu Makkah berpunca dari peristiwa sekatan oleh Musyrikin Quraisy terhadap rombongan Nabi s.a.w dan para sahabat yang hendak menunaikan Umrah untuk kali pertama selepas Hijrah. Halangan itu berlaku pada tahun ke lima Hijrah. Hikmah disebalik sekatan itu telah membolehkan satu perjanjian damai antara Nabi s.a.w dipihak kaum Muslimin Madinah dengan pihak Musyrikin Quraisy Makkah. Perjanjian damai Hudaibiyah itu telah memeteraikan beberapa syarat perdamaian yang mesti dipatuhi oleh kedua belah pihak dalam tempoh sepuluh tahun .
Perjanjian iu menguatkuasakan persetujuan untuk tidak melakukan peperangan atau serangan dalam tempoh yang telah ditetapkan. Perjanjian itu juga membenarkan Nabi dan kaum Muslimin menunaikan umrah walaupun pada tahun tersebut Nabi s.a.w dan para sahabat terpaksa pulang ke Madinah tanpa mengerjakan Umrah. Meskipun terdapat pelbagai puak di Makkah, namun puak-puak itu telah bergabung menjadi dua pihak sahaja iaitu pihak Musyrikin Quraisy dan satu lagi ialah pihak kaum Muslimin di bawah pimpinan Rasullah s.a.w.
Ada puak yang bergabung dengan Musyrikin Quraisy, tetapi ada juga yang bergabung dengan Nabi s.a.w. meskipun puak tersebut belum Islam lagi. Puak yang memilih untuk bergabung dengan Nabi s.a.w berpendapat bahawa Muhammad adalah seorang yang baik. Mereka mengenalinya dari sejak dari zaman kanak-kanak sebagai seorang individu yang jujur, amanah dan berpekerti mulia. Antara puak yang menggabungkan diri dengan Nabi s.a.w dan kaum Muslimin ialah puak Huzaah.
Sementara puak-puak yang lain memilih untuk terus bergabung dengan Musyrikin Quraisy yang memegang tampuk kekuasaan dan pemerintahan Kota Makkah antara kelompok itu ialah puak Bani Bakar. Puak Bani Bakar mempunyai sejarah persengketaannya dengan puak Huzaah sejak beberapa dekad yang lalu, hingga membawa perasaan dendam yang tidak kunjung padam. Suatu ketika beberapa orang puak Bani Bakar pergi menemui peminpin Quraisy, mereka menyatakan hasrat untuk membalas dendam terhadap puak Huzaah. Justeru itu puak Bani Bakar pergi meminta bantuan senjata dan juga tenaga manusia dari pihak Quraisy bagi tujuan tersebut.
Pada mulanya pihak Quraisy enggan memenuhi permohonan puak Bani Bakar. Mereka sedar bahawa tindakan itu bererti mencabul perjanjian damai Hudaibiyah. Huzaah adalah puak yang telah bergabung dengan Nabi s.a.w, sudah tentu Quraisy tidak boleh berperang dengan puak yang sudah berada di pihak Nabi. Tetapi dengan perbincangan dan tawar menawar dalam rundingan yang panjang, akhirnya pihak Quraisy bersedia memenuhi permintaan puak Bani Bakar untuk membalas dendam terhadap puak Huzaah.
Oleh kerana pihak Quraisy sedar bahawa tindakan membantu Bani Bakar untuk menyerang puak Huzaah itu bertentangan dengan perjanjian damai Hudaibiyah lalu mereka memberi bantuan dengan tidak secara terang-terangan. Dari kalangan Quraisy terdapat beberapa orang tokoh yang menyertai serangan itu yang terdiri dari Shafwan bin Umaiyah, Ghaitib bin Abdul Uzza dan Maqra’ bin Khattar. Mereka bertemu dengan puak Bani Bakar di sebuah tempat bernama Al-Watir secara rahsia, dengan menyamar dan menutup muka masing-masing supaya tidak dikenali.
Oleh kerana kehidupan di Makkah dalam suasana damai selepas perjanjian Hudaibiyah, puak Huzaah menjalani kehidupan masyarakatnya seperti biasa, dalam suasana damai tanpa sebarang perasaan curiga. Masing-masing tidur lena seperti malam-malam sebelumnya, sedikitpun mereka tidak terfikir akan tragedi hitam pada malam tersebut. Tetapi inilah sikap sebenarnya manusia Musyrikin yang kufur terhadap Allah S.W.T. perjanjian yang dimeterai boleh diabaikan apabila mereka memikirkan sesuatu kepentingan yang lain.
Berbeza dengan sikap dan pendirian orang-orang mukmin. Bagi mereka perjanjian itu suatu amanah Allah S.W.T. Ia wajib dipatuhi kerana Allah S.W.T menghendakki orang-orang yang beriman jujur dan setia dengan janji. Pada suatu malam yang kelam, tiba-tiba saja perkampungan Huzaah telah digemparkan dengan satu serangan mengejut oleh puak Bani Bakar yang dibantu oleh kaum Quraisy. Dalam tragedi yang tidak diduga itu dua puluh orang penduduk Huzaah terkorban.
Tragedi berdarah itu merupakan pencabulan pertama terhadap perjanjian damai Hudaibiyah setelah ianya berjalan hampir tiga tahun dalam keadaan aman. Puak Huzaah yang terkejut dengan tragedi berdarah itu. Meskipun serangan itu dilakukan pada waktu malam, namun tidak sukar bagi pihak Huzaah untuk menjejaki pihak mana yang melakukannya kerana sejarah persengketaan antara puak Huzaah dengan puak Bani Bakar tercatat dalam sejarah hidup mereka.
Puak Huzaah telah menjalankan siasatan dan kaji selidik. Akhirnya puak Huzaah mendapat tahu bahawa serangan itu sebenarnya dilakukan oleh puak Bani Bakar dengan dibantu oleh puak Quraisy. Ekoran dari tragedi tersebut, puak Huzaah telah menghantar rombongan terdiri empat puluh orang menemui Nabi s.a.w sebagai pihak yang bertanggungjawab mewujudkan perjanjian damai Hudaibiyah. Mereka mengadukan tindakan keji puak Bani Bakar yang menyebabkan dua puluh orang dari kaum keluarga mereka terkorban.
Sebagai seorang bertanggungjawab terhadap perjanjian damai Hudaibiyah, Nabi s.a.w merasa sedih terhadap peristiwa yang menimpa puak Huzaah. Baginda bingkas bangun dan memberikan jaminan kepada puak Huzaah bahawa pencabulan perjanjian damai itu dipandang serius oleh Nabi s.a.w.. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan menolong aku jika aku tidak menolong kamu wahai Bani Kaab. Aku akan menolong kamu sebagaimana aku menolong kaum keluargaku sendiri. Langit akan turun hujan sekiranya aku menolong Bani Kaab.” (Nabi s.a.w menyebut Bani Kaab kerana puak Huzaah juga dikenali sebagai “Bani Kaab”
Nabi s.a.w membuat pengakuan demikian kepada puak Huzaah kerana mereka telah dianiayai oleh pihak yang mencabuli perjanjian damai. Menurut ajaran Islam, menjadi kewajipan membantu orang atau pihak yang dizalimi selain untuk menjaga kehormatan perjanjian damai Hudaibiyah.
Setelah puak Quraisy pulang dari membantu Bani Bakar menyerang puak Huzaah lalu terbit rasa sesal di hati mereka. Kekesalan itu akibat dari perbuatan mereka yang telah mencabul perjanjian damai Hudaibiyah. Sesungguhnya mencabuli perjanjian adalah suatu perbuatan hina yang dikutuk oleh Allah S.W.T dan manusia sendiri. Hasil dari rasa sesal itu, pihak Quraisy terpaksa menghantar tokoh utama mereka iaitu Abu Sufian untuk menemui Nabi s.a.w. Pemilihan Abu Sufian berdasarkan kedudukan beliau sebagai bapa mertua Nabi s.a.w sendiri. Mereka berharap dengan hubungan kekeluargaan itu, akan mendapat pertimbangan yang baik dari Nabi s.a.w.
Abu Sufian menemui Nabi s.a.w di Madinah dengan tujuan untuk meminta maaf atas keterlanjuran segelintir orang-orang Quraisy bersama puak Bani Bakar yang telah menyerang puak Huzaah. Beliau berharap perjanjian damai dapat diteruskan seperti sediakala. Beliau bagi pihak puak yang mencetuskan serangan itu sanggup membayar ganti rugi, sekiranya pihak kaum keluarga yang terkorban itu menuntut bayaran.
Nabi s.a.w tidak menjawab walau sepatah kata pun terhadap permintaan Abu Sufian. Dengan diamnya Nabi s.a.w itu, fahamlah Abu Sufian bahawa mesej yang disampaikan itu tidak bersambut. Bererti gagallah misi Abu Sufian untuk mendapatkan kemaafan dari Nabi s.a.w.. Abu Sufian tidak berputus asa, dia pergi berjumpa Saiyidina Abu Bakar untuk mendapatkan sokongannya supaya membawanya berjumpa Nabi s.a.w sekali lagi. Mudah mudahan dengan kerja sama Abu Bakar itu, akan mendapat belas kasihan dari Nabi s.a.w..
Usaha kedua Abu Sufian juga menemui kegagalan kerana Abu Bakar as-Siddik enggan memenuhi hajat Abu Sufian itu. Setelah itu Abu Sufian pergi menemui Saiyidina Umar Al Khattab dengan maksud yang sama. Jika dengan Abu Bakar yang lembut itu, Abu Sufian tidak mendapat apa yang dihajati, inikan pula dengan Saiyidina Umar yang berwatak keras. Kata Saiyidina Umar kepada Abu Sufian:
“Adakah orang seperti aku ini, engkau hendak jadikan jambatan untuk berjumpa Rasulullah s.a.w ? Demi Allah, aku akan lawan kamu. Jika tiada orang yang hendak menyokong aku, nescaya aku akan kerah semut-semut bisa untuk bersama-sama melawan kamu.”
Setelah segala usaha dilakukan menemui kegagalan, maka Abu Sufian pun pulang ke Makkah dengan rasa hampa. Ekoran dari peristiwa pencabulan terhadap perjanjian damai Hudaibiyah oleh pihak Quraisy, Nabi s.a.w tidak mengumumkan sebarang bentuk tindakan yang hendak dilakukan, kecuali sekadar menyuruh para sahabat bersiap sedia. Dalam pada itu Nabi s.a.w sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T dalam solat hajatnya, meminta Allah Taala merahsiakan segala persiapan untuk bertindak dari diketahui oleh Musyrikin Quraisy Makkah yang khianat itu, sehingga satu tindakan mengejut dilakukan sebagai balasan terhadap kaum yang mengingkari janji.
Bookmark this post: |
0 comments:
[+/-]Click to Show or Hide Old Comments[+/-]Show or Hide Comments
Post a Comment