SENARAI ARTIKEL

Wednesday, March 31, 2010

Mengatasi Masalah Umrah Yang Terhalang


Mengatasi Masalah Umrah Yang Terhalang

Segala peristiwa yang berlaku di Hudaibiyah adalah cetusan dari tindakan “al-hisyar” atau kepungan oleh pihak Musyrikin Quraisy terhadap rombongan Umrah yang dipimpin oleh Nabi s.a.w.
Akibat dari kepungan itu hasrat Nabi s.a.w dan para sahabat untuk melakukan Ibadah Umrah telah terhalang. Kerinduan Nabi sejak sekian lama untuk bertemu Kaabah pada tahun itu tidak tertunai. Meskipun Nabi s.a.w berjaya mengadakan rundingan damai dengan pihak Quraisy, tetapi Nabi s.a.w terpaksa pulang semula ke Madinah tanpa dapat menjejakkan kaki ke kota Makkah.
Nabi s.a.w terpaksa menerima hakikat sekatan yang diterimanya. Sebagai seorang yang pernah diburu dan diusir oleh Quraisy Makkah tidaklah mudah bagi Nabi s.a.w untuk menjejakkan kaki semula ke kota tempat tumpah darahnya itu. Bagaimanapun Nabi s.a.w tetap berpuas hati dengan kejayaan mengadakan rundingan dengan Quraisy Makkah. Sekalipun tidak membenarkan Nabi memasuki kota Makkah, namun dibenarkan melakukan Umrah pada tahun berikutnya.
Nabi s.a.w terpaksa akur dengan halangan tersebut dan tidak merasa kecewa dan hampa sekalipun terpaksa pulang tanpa melakukan Umrah. Nabi tidak terkilan dengan halangan yang sementara. Pada tahun berikutnya pihak Musyrikin Quraisy tidak boleh melakukan sekatan lagi kerana segalanya telah termeterai di dalam perjanjian Hudaibiyah yang telah ditandatangani bersama.
Bukan sahaja Musyrikin Quraisy terpaksa membenarkan Nabi s.a.w dan para sahabat memasuki Makkah pada tahun berikutnya malah perjanjian damai Hudaibiyah juga telah mengikat tangan pihak Quraisy dari mengganggu perjalanan dakwah Nabi s.a.w di bumi Makkah, sekurang-kurangnya dalam tempoh perjanjian iaitu sepuluh tahun. Bagaimanapun kepungan oleh pihak Quraisy itu telah menggagalkan niat Nabi s.a.w dan para sahabat untuk mengerjakan Umrah untuk kali pertama selepas peristiwa hijrah.
Yang menjadi persoalan di sini ialah mengenai Nabi s.a.w dan para sahabat yang berniat ihram dan Umrah. Nabi s.a.w dan para sahabat sedang berada dalam keadaan ihram semasa sekatan itu. Suasana ihram akan berterusan selagi tahalul tidak dilakukan bererti Nabi s.a.w dan para sahabat masih dalam keadaan berihram. Justeru Ibadat Umrah dan juga Haji, sama juga seperti ibadat solat. Apabila sudah memulakan ibadat solat dengan “Takbiratul Ihram” seolah-olah mereka sudah berada dalam majlis Tuhan. Mereka tetap berada di dalam majlis tersebut selagi belum mengucap salam. Mereka tidak boleh melakukan aktiviti lain kerana mereka masih berada di dalam majlis Tuhan.
Untuk mengakhiri ibadah Umrah ialah dengan tahalul iaitu dengan menyembelih binatang korban dan mengunting rambut atau bercukur. Tetapi bagaimanakah tahalul itu hendak dilaksanakan dalam keadaan Nabi s.a.w telah dihalang oleh puak Quraisy untuk memasuki Makkah? Sedangkan tahalul semestinya dilakukan selepas melakukan Sa’ei di tempat tertentu. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan sempurnakanlah ibadah Haji dan Umrah kerana Allah. Jika kamu terkepung (terhalang oleh musuh atau kerana sakit), maka (sembelihlah binatang) korban yang mudah didapati. Dan jangan kamu bercukur kepalamu sebelum korban sampai ditempat penyembelihannya.”
( Surah al-Baqarah ayat 196 ).
Ayat tersebut menyatakan dengan jelas, bagaimana melaksanakan tahalul bagi orang-orang yang sudah berniat Haji atau Umrah serta Ihram, dalam keadaan terkepung yang menyebabkan terhalang menyempurnakan ibadah Umrah. Mereka dikehendaki menyembelih binatang korban yang mudah diperolehi, selepas itu barulah bercukur atau menggunting rambut. Setelah selesai mengadakan perjanjian damai Hudaibiyah dengan dengan pihak Musyrikin Quraisy, Nabi s.a.w mengarahkan para sahabat supaya menyembelih binatang korban dan bercukur sebelum mereka pulang ke Madinah. Ini bermakna tahalul itu dilakukan di mana jua orang-orang Islam dihalang, untuk membolehkan mereka menamatkan ihram dan kembali kepada keadaan biasa.
Melalui peristiwa “Hishar” atau sekatan itu, kebanyakan para ulama berpendapat bahawa orang-orang Islam yang tersekat dari menunaikan Haji dan Umrah sunat tidak wajib untuk menqadhanya semula. Bagaimanapun Imam Hanafi berpendapat wajib qadha walaupun Haji atau Umrah sunat. Dalilnya ialah para sahabat yang terhalang bersama Nabi dari melakukan Umrah sunat, mereka telah pergi bersama Nabi s.a.w untuk mengulang Umrah sunat pada tahun berikutnya.
Oleh kerana tiada seorang pun di antara mereka yang tertinggal dari menunaikan Umrah bersama Nabi kecuali orang-orang yang mati syahid dalam perang Khaibar. Maka ia menjadi dalil pada Imam Hanafi bahawa menqadha Umrah sunat yang terhalang itu dihukumkan wajib.
Bookmark this post:
StumpleUpon Ma.gnolia DiggIt! Del.icio.us Blinklist Yahoo Furl Technorati Simpy Spurl Reddit Google


Followers

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Magazine 4 column themes by One 4 All