SENARAI ARTIKEL

Tuesday, March 30, 2010

LELAKI PEMIMPIN WANITA


LELAKI PEMIMPIN WANITA

Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud: "Kaum lelaki adalah pemimpin
kaum wanita". Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kepimpinan
adalah diterajui oleh kaum lelaki; manakala kaum perempuan adalah
golongan yang dipimpin. Inilah fitrah atau sunnatullah yang berkuatkuasa
dalam kehidupan manusia di dunia ini sepanjang zaman. Dalam ayat lain pula
Allah berfirman, bermaksud "Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari
api neraka." Perintah ini ditujukan kepada kaum lelaki yang menjadi
ketua sesebuah keluarga.

Pengaruh barat yang menular ke negara Islam berjaya menyerapkan
ideologi persamaan hak wanita-lelaki dan akhirnya diterima umum. Akibatnya
konsep kepemimpinan lelaki terhakis. Kaum wanita yang dahulunya berperanan
mentadbir anak-anak dan rumahtangga si-suami kini sudah mengabaikan
tanggungjawab. Anak-anak sebaliknya dipelihara oleh orang gaji.

Apabila ramai wanita sudah memandang tanggungjawab di rumah sebagai
kolot dan tidak ekonomikal, maka institusi keluarga akan tercemar dan
terjejas. Anak-anak kehilangan kasih-sayang ibu. Ibu hanya sempat melihat
anak waktu petang atau malam. Ketika itu badannya sudah keletihan dan
tidak berdaya untuk mengasuh anak lagi. Anak-anak membesar tanpa menerima
kasih-sayang ibu. Apabila ibu tidak menyayangi anak, semasa dewasanya
nanti, sudah tentu anak tidak akan mengasihi ibunya. Jadilah mereka anak
yang kasar dari segi tutur-kata dan tingkahlaku.

Walaupun kesilapan ini seolah-olah berpunca daripada wanita tetapi
sebenarnya adalah berpunca daripada lelaki yang tidak berjaya mentarbiah
wanita yang diamanahkan kepadanya.

Kegagalan mentarbiah anak dan isteri menyebabkan ramai anak-anak gadis
keluar beramai-ramai memburu kerja di mana-mana saja. Kilang-kilang
perindustrian yang menawarkan insentif dan gaji lumayan menjadi alternatif
utama berbanding profesion perguruan dan perkeranian. Bahkan ramai juga
wanita yang menjadi doktor, jurutera, polis, askar dan sebagainya.
Kuantiti wanita yang ramai bekerja menyebabkan berlakunya satu kekosongan
yang ketara di dalam institusi keluarga. Keadaan ini digawatkan lagi
dengan sikap pelajar lelaki yang tidak secemerlang pelajar perempuan.
Kecemerlangan pelajar perempuan di dalam peperiksaan awam berbanding
pelajar lelaki menjadi satu faktor ramainya wanita melibatkan diri di dalam
pasaran tenaga kerja.

Penglibatan wanita yang ramai di dalam sektor pekerjaan menyebabkan
berlakunya pengangguran di kalangan kaum lelaki. Mereka akhirnya terjebak
dengan penyalahgunaan dadah. Wanita bekerja terutama yang berpendapatan
tinggi bertambah ramai yang hidup membujang. Pemuda yang menganggur
sukar mencari wang untuk berkahwin. Akhirnya berlakulah pelbagai gejala
keruntuhan akhlak di kalangan muda-mudi.

Walaupun banyak faktor dikaitkan dengan gejala keruntuhan akhlak yang
berlaku sekarang, namun faktor yang jelas ialah kurang berkesannya
peranan yang dimainkan oleh kaum lelaki sebagai ketua yang memimpin
ahli-ahli keluarganya. Sebagai penutup sayugianya kita kembali kepada dasar
Islam untuk mengembalikan martabat lelaki sebagai ketua yang diamanahkan
untuk memimpin ahli-ahli keluarga dan kaum wanita amnya. Wallahualam.
Bookmark this post:
StumpleUpon Ma.gnolia DiggIt! Del.icio.us Blinklist Yahoo Furl Technorati Simpy Spurl Reddit Google


Followers

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Magazine 4 column themes by One 4 All