Pada tahun ke tujuh Hijrah, Nabi s.a.w dan rombongannya pergi melakukan ibadah "Umrah Qadha". Pemergian kali ini adalah untuk mengganti Umrah yang disekat oleh puak Quraisy di Hudaibiyah pada tahun sebelumnya. Meskipun sekatan itu telah mengagalkan hasrat Nabi dan rombongannya untuk pertama kali melakukan Umrah selepas berhijrah ke Madinah, namun hikmah disebalik kegagalan itu telah menghasilkan satu perjanjian damai antara Nabi s.a.w dan pihak kerajaan Musyrikin Quraisy Makkah, dikenali dengan "Perjanjian Hudaibiyah".
Hasil dari perjanjian itu bukan saja membolehkan Nabi sa.w dan para sahabt memasuki Makkah tanpa sebarang halangan dari [ihak Quraisy, malah memberikan kebaikan kepada dakwah Nabi s.a.w. Nabi s.a.w menunaikan Umrah Qadha pada bulan Zulkaedah sebagaimana Nabi pergi menunaikan umrah yang terhalang pada tahun sebelumnya juda pada bulan Zul-Qa'idah. Umrah qadha itu disertai oleh semua "ahli hudaibiyah "(mereka yang bersama Nabi semasa perjanjian Hudaibiyah). Tidak seorang pun tidak turut serta dari kalangan ahli Hudaibiyah mengerjakan Umrah pada tahun ketujuh itu kecuali mereka yang telah meninggal dunia ataupun yang gugur syahid semasa perang Khaibar.
Menurut Ibnu Ishaq seorang ahli sejarah Islam yang terkenal; bahawa sebelum Nabi s.a.w dan ahli rombongannya pergi ke Makkah untuk menunaikan Umrah Qadha, puak Musyrikin Quraisy telah menjalankan kempen memburuk-burukkan Nabi s.a.w dan kaum Muslimin Madinah. Pelbagai cerita buruk telah direka oleh puak Musyrikin bagi menggambarkan kehidupan Nabi Muhammad dan para pengikutnya yang daif,hidup dalam keadaan sengsara, kebuluran, tidak bermaya untuk melakukan sebarang pekerjaan. Ditimpa pelbagai penyakit, hidup dalam cengkaman kemiskinan dan kemelaratan.
Tujuan kempen negatif itu ialah supaya terpadam keinginan orang-orang Makkah yang bercita-cita hendak ke Madinah untuk memeluk Islam. Apa gunanya menyertai Nabi s.a.w dan para sahabatnya, jika kehidupan mereka dalam azab sengsara. Demikian hasrat dengki puak Musyrikin Quraisy. Namun ketika kempen negatif puak Musyrikin sedang rancak dijalankan oleh para pemimpinnya, tiba-tiba Kota Makkah digemparkan oleh kehadiran Nabi s.a.w dan ribuan kaum Muslimin, memasuki kota Makkah untuk melaksanakan ibadah Umrah
Kehadiran Nabi s.a.w dan ahli rombongannya yang begitu ramai, menimbulkan tanda tanya dalam fikiran kebanyakan penduduk Makkah. Apa yang mereka saksikan adalah bercanggah dengan berita-berita yang sedang tersebar. Seluruh mata penduduk Makkah tertumpu sepenuhnya kepada ribuan kaum Muslimin yang melakukan Umrah. Mereka menyaksikan orang Islam mengerjakan tawaf dan sa'ei dengan gerak cergas dan penuh semangat. Sebelum menjejakkan kaki di Kota Makkah, sebenarnya Nabi s.a.w telah mendengar khabar tentang kempen negatif puak Musyrikin itu. Justeru itu telah berpesan kepada seluruh kaum Muslimin yang mengerjakan tawaf dan sa'ei dengan penuh semangat dengan cergas dan berlari-lari anak.
Nabi juga mengajar para sahabat memakai selendang ihram, supaya menutup bahu kiri dengan kain ihram dan membuka bahu kanannya ketika melakukan tawaf di Ka'bah. Nabi s.a.w berdoa kepada Allah SWT supaya memberikan rahmat kepada orang-orang mukmin yang tunjuk gagah ketika mengerjakan umrah pada hari tersebut. Kerana apabila orang-orang Islam kelihatan gagah maka akan tertutup mulut musuh-musuh Islam yang menjalankan kempen buruk terhadap Nabi s.a.w dan kaum Muslimin. Justeru itu Nabi s.a.w memakai selendang ihram dengan menutup bahu kiri dan membuka bahu kanan, diikuti oleh para sahabat yang mengerjakan umrah. Nabi s.a.w bukan saja ia menunjukkan cara yang betul dalam berpakaian ihran, tetapi juga mempunyai tujuan disebaliknya.
Mengapa bahu kanan tidak ditutup semasa mengerjakan tawaf dan sa'ei? Sebenarnya ia ada kaitan dengan usaha hendak menunjuk gagah terhadap musuh Islam pada ketika itu, bagi , menyanggah kempen memburuk-burukkan kaum Muslimin yang didakwa lemah oleh pihak Musyrikin. Rahsia disebalik mendedahkan bahu dan lengan tangan kanan lebih kuat berbanding dengan tangan kiri. Kebanyakan orang bekerja kuat dengan tenaga tangan. Dengan kegiatan harian yang lebih tertumpu kekuatan tangan kanan, menyebabkan otot-otot lengan tangan lebih pejal dan sasa.
Mendedahkan bahu dan lengan kanan yang sasa, kegagahan fizikal kaum Muslimin tampak terserlah. Apabila fenomina tersebut disaksikan oleh penduduk Makkah, ia menjadi bukti bahawa Nabi s.a.w dan kaum Muslimin tidak sebagaimana yang digembargemburkan dalam kempen negatif puak Musyrikin Quraisy. Dalam kempen negatif itu mengatakan Nabi s.a.w dan kaum Muslimin kebuluran, lemah tidak bermaya, berpenyakit dan sebagainya. Tetapi realiti kaum Muslimin yang mereka lihat dengan mata kepala menunjukkan kaum Muslimin yang mereka saksikan adalah disebaliknya.
Kempen negatif tajaan Musyrikin Quraisy terpadam dengan sendirinya kerana bukti yang mereka lihat dengan mata kepala menunjukkan umat Islam tidak lemah. Setelah tiga hari Nabi s.a.w dan kaum Muslimin berada di Makkah, puak Musyrikin merasa bimbang penduduk akan terpengaruh dengan Nabi s.a.w. Untuk itu pemimpin Quraisy Makkah telah menemui Saidina Ali Bin Abu Talib, menggesa supaya Nabi dan kaum muslimin segera meninggalkan Makkah. Mereka tidak membenarkan Nabi dan kaum Muslimin berada di Makkah tidak lebih dari tiga hari. Kebetulan ia sebagaimana yang disyaratkan dalam perjanjian Hudaibiyah bahawa pada tahun berikutnya Nabi s.a.w dibenarkan memasuki Makkah tidak lebih dari tiga hari
Pemimpin Quraisy Makkah tidak menemui Nabi s.a.w, boleh jadi mereka merasa mal terhadap kempen negatif yang mereka lakukan terhadap Nabi. Penyelesaiannya mereka memilih untuk bertemu dengan Saidina Ali bagi menyampaikan hasrat mereka itu. Sebagai seorang Nabi, baginda s.a.w menepati janjinya kerana janji adalah amanah. Nabi s.a.w dan rombongannya meninggalkan kota Makkah selepas melakukan ibadah Umrah Qadha. Ketika Nabi s.a.w terpaksa pulang ke Madinah semula setelah dihalang oleh pihak Quraisy pada tahun keenam Hijrah. Pernah Saiyidina Umar bertanya kepada Nabi s.a.w tentang janji Nabi bahawa orang Islam akan dapat memasuki semula kota Makkah dan melakukan Ibadah Umrah. Tetapi mengapakah Nabi terpaksa pulang tanpa dapat melakukannya seperti yang dijanjikan?
Nabi telah menjelaskan kepada Umar bahawa baginda tidak menyatakan tahun bila kaum Muslimin dapat memasuki Makkah. Akhirnya pemergian Nabi dan rombongan pada tahun ketujuh, berjaya memasuki kota Makkah dan melakukan ibadah Umrah Qadha. Maka terbuktilah kebenaran janji Nabi s.a.w seperti yang difirmankan Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah telah membuktikan kepada Rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya
(iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjid al-Haram , insya Allah dalam keadaan aman dengan mencukur rambut, kepala dan mengguntingnya sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah Maha Mengetahui apa yang tidak kamu ketahui dan Dia berikan sebelum itu kemenangan yang dekat."( surah al-fath ayat 27 )
Selang beberapa lama sebelum terjadi "Perdamaian Hudaibiyah".Nabi s.a.w bermimpi bahawa beliau bersama para sahabatnya pasti dapat memasuki kota Makkah dan Masjid al-Haram. Sesungguhnya peristiwa pada tahun ketujuh Hijrah itu menjadi bukti bahawa mimpi Nabi s.a.w telah menjadi kenyataan. Kejayaan Nabi s.a.w dan para sahabat memasuki kota Makkah dan Masjid al-Haram itu disifatkan oleh Allah SWT sebagai suatu kemenangan yang dekat. Kerana selepas satu tahun Perjanjian Damai Hudaibiyah. Berhubung dengan Umrah Qadha yang dilakukan oleh Nabi s.a.w dan para sahabat itu, tiada siapa pun tahu makna-makna yang tersirat disebaliknya. Sedangkan Allah SWT telah mentakdirkan bahawa ia menjadi mukadimah kepada kemenangan Islam yang lebih besar.
Ketika Nabi s.a.w meninggalkan kota Makkah dalam suasana kepungan dan ancaman dari puak Musyrikin Quraisy . Baginda s.a.w hanya ditemani oleh Abu Bakar As-Siddik, seorang sahabat karib dan bapa mertuanya sendiri. Sebahagian yang lain berhijrah ke Madinah secara senyap dan menyelinap keluar ketika malam gelap gelita, dalam suasana kebimbangan dan ketakutan kerana ancaman Musyrikin Quraisy. Tujuh tahun kemudian Nabi memasuki semula Makkah bersama kira-kira dua ribu orang sahabatnya dalam keadaan sihat dan cergas tanpa rasa gentar dan bimbang. Semuanya di luar jangkaan fikiran puak Musyrikin yang telah menjalankan kempen meremehkan Nabi dan kaum Muslimin setelah melakukan pelbagai penentangan peperangan sejak bertahun-tahun.
Puak Musyrikin juga tidak terfikir bahawa sekatan terhadap Nabi s.a.w semasa di Hudaibiyah pada tahun keenam itu menjadi punca kembalinya semula ke bumi Makkah orang yang paling yang dibencinya. Kehadiran Nabi tanpa disekat kerana terikat dengan perjanjian Hudaibiyah. Malah ketika perjanjian Hudaibiyah ditandatangani, ramai juga para sahabat yang meragui tindakan Nabi. Mereka menganggap perjanjian itu lebih menguntungkan puak Musyrikin Quraisy. Semuanya tidak dapat menduga pada akhirnya puak Musyrikin tidak upaya menyekat kehadiran kaum Muslimin bersama Nabinya s.a.w menjejakkan kaki semula ke kota suci Makkah. Sedangkan bertahun -tahun Musyrikin telah memerangi Nabi s.a.w secara besar-besaran.
Semuanya bermula dari rancangan Nabi s.a.w untuk melakukan Umrah pada tahun keenam Hijrah, berdasarkan mimpi baginda yang menyatakan bahawa orang-orang Islam akan dapat memasuki semula Makkah dan Masjid al-Haram.
Bookmark this post: |
0 comments:
[+/-]Click to Show or Hide Old Comments[+/-]Show or Hide Comments
Post a Comment