SENARAI ARTIKEL

Tuesday, March 30, 2010

Isyarat dari Nabi terlalu jelas


Isyarat dari Nabi terlalu jelas
DENGAN selamatnya agama dan aqidah bagi kaum muslimin, maka terkawallah tanah air, harta kekayaan dan semua yang bersifat benda. Meskipun apabila Nabi s.a.w. meninggalkan Makkah dan berhijrah ke Madinah, pada zahirnya kelihatan musnah semua harta kepunyaan kaum muslimin yang ditinggalkan di Makkah. Kerana kaum muhajir tidak dapat membawa harta mereka, terutamanya harta kekal. Yang terbawasekadar perlu. Namun Hijrah Nabi s.a.w. yang bertujuan menyelamatkan agama dan aqidah, pada hakikatnya telah menyelamatkan segala-galanya. Kerana hijrah Nabi s.a.w. bukan untuk meninggalkan terus Makkah sebagai kota yang terpenting untuk Islam dan kaum muslimin. Kerana Ka'bah terletak di Makkah, tempat melontar jumrah di Mina dan Arafah. Tempat bagi umat muslimin melaksanakan ibadah haji.
Justeru itu Nabi s.a.w. telah kembali semula ke Makkah pada ketika yang lain, bagi menyelamatkan kota suci itu dari cengkaman kuffar Quraisy. Kota Makkah kembali semula ke dalam kekuasan Nabi s.a.w. dan kaum muslimin, tidak dengan kekerasan seperti yang dijangkakan oleh puak musyrikin Quraisy sendiri. Sebaliknya Nabi datang dengan damai dalam peristiwa bersejarah yang dikenali sebagai "Fat-hu Makkah" (Pembukaan kota Makkah).
Pembukaan kota Makkah bererti membuka semula gelanggang pertama yang telah tertutup bagi Islam suatu ketika dahulu, ia dibuka semula dengan kekuatan aqidah kaum muslimin di bawah pimpinan Nabi s.a.w. yang berjaya menyelamatkan agama dan aqidah mereka dari ancaman kafir Quraisy. Dengan agama dan aqidah yang begitu sempurna, memberikan suatu kekuatan yang amat digeruni oleh musyrikin Makkah. Dengan berlakunya peristiwa "Fat-hu Makkah", kota Makkah kembali ke pangkuan kekuasaan Islam tanpa menumpahkan darah.
Berbagai ancaman ketika Nabi s.a.w. berada di Makkah, hingga pada saat akhir hendak berhijrah baginda terus menjadi buruan serta menghadapi ancaman bunuh. Nabi meninggalkan Makkah secara yang amat rahsia, berdua bersama Abu Bakar As-Siddiq. Tetapi kedatangan semula Nabi melalui peristiwa 'pembukaan kota Makkah' dengan sokongan kuat ribuan kaum muslimin Madinah.
Namun kehadiran semula Nabi s.a.w. ke kota Makkah amat digeruni oleh kaum musyrikin Quraisy, kerana Nabi mendapat sokongan padu dari ribuan kaum muslimin Madinah. Tiada seorangpun dari kalangan kafir Quraisy yang berani mencabar ketibaan Nabi di bumi Makkah, walaupun hanya dengan kata cemuhan, kerana mereka telah patah semangat. Tokoh-tokoh Quraisy Makkah kehilangan wibawa di kalangan pengikutnya, disebabkan kehebatan Rasulullah s.a.w. dengan ribuan penyokongnya dari Madinah.
Sokongan padu penduduk Madinah terhadap Nabi s.a.w. menyebabkan musyrikin Makkah patah semangat dan tidak berani menentang Nabi s.a.w.. Mereka sedar sokongan penduduk Madinah adalah disebabkan ajaran yang dibawa oleh Nabi adalah benar. Semestinya mereka tidak mampu untuk 'menongkah arus', akibatnya puak musyrikin yang akan lemas dan tewas oleh rempuhan arus kebenaran Islam. Itulah faktor utama yang menyebabkan kafir Quraisy tidak terdaya untuk angkat muka menghadapi kebangkitan umat muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w..
Banyak iktibar yang diperolihi dari hijrah Rasulullah s.a.w., pertamanya mengenai Saidina Abu Bakar yang dipilih oleh Nabi menjadi sahabat seperjalanan ketika berhijrah ke Madinah. Sedangkan ramai di kalangan sahabat yang lain, terutamanya sepupu Nabi iaitu Saidina Ali bin Abi Talib yang sedia untuk berbakti bagi mengiringi dan menjaga keselamatan Nabi untuk tujuan tersebut.
Para ulama telah meneliti dengan mendalam bahawa hasil dari pemilihan Abu Bakar oleh Nabi s.a.w. sebagai orang kawan atau teman yang kerap di dampingi semasa susah dan senang ketika di Makkah, serta menjadi teman dalam perjalanan hijrah yang sungguh dramatik dan mencemaskan itu, menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. terlalu menyayangi Abu bakar Ash-Shiddik. Pemilihan Nabi terhadap Abu bakar sememangnya tepat, kerana terbukti kesetiaan dalam masa yang begitu genting ketika diburu oleh Quraisy Makkah semasa hendak meninggalkan Makkah.
Seseorang itu tidak tahu kejujuran dan kesetiaan seorang rakan, kecuali apabila telah teruji bersama menghadapi kesusahan.
Lazimnya bagi manusia berkawan ketika senang, tetapi berkongsi kesusahan adalah bukti keikhlasan dalam mengharung persahabatan. Siapakah yang sudi mendampingi seseorang ketika orang itu susah, walaupun tidak dipinta. Sesungguhnya Abu bakar As-Siddiq telah membuktikan keikhlasan dan kejujurannya terhadap usaha dakwah Nabi yang menghadapi penentangan berterusan dari kuffar Quraisy Makkah, sehingga terpaksa mengharungi bahaya buruan yang mengancam nyawa mereka berdua.
Pengalaman hidup Nabi s.a.w. ketika di Makkah, maka baginda mengambil Abu Bakar sebagai sahabat dan rakan ketika menempuh saat-saat kritikal dan genting.
Selain Abu Bakar seorang sahabat yang paling disayangi oleh Nabi s.a.w., ia juga membuktikan hubungan erat Nabi s.a.w. dengan para sahabatnya di Makkah seramai kira-kira tiga ratus orang itu, maka paling akrab persahabatan Nabi s.a.w. ialah Abu Bakar.
Keakraban antara Nabi s.a.w. dan saidina Abu Bakar adalah menjadi isyarat bahawa Abu Bakar adalah orang yang paling layak mengganti Nabi s.a.w. setelah ketiadaanya. Walaupun Nabi s.a.w. tidak pernah menyebutnya secara jelas, namun isyarat itu terlalu jelas untuk difahami oleh para sahabat yang lain.
Oleh TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT
Bookmark this post:
StumpleUpon Ma.gnolia DiggIt! Del.icio.us Blinklist Yahoo Furl Technorati Simpy Spurl Reddit Google


Followers

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Magazine 4 column themes by One 4 All