SENARAI ARTIKEL

Tuesday, March 30, 2010

Kabilah Pertama Beriman Dengan Nabi


Kabilah Pertama Beriman Dengan Nabi

Nabi Muhammad s.a.w. telah mendedahkan dirinya kepada orang ramai di Makkah setiap musim haji, baginda merebut peluang untuk membacakan Kitab Allah (al-Quran) di khalayak ramai dengan maksud mengajak manusia mentauhidkan Allah SWT. Tetapi dukacita tidak ada orang yang sudi menyahut seruan Nabi s.a.w.. Arab jahiliyyah menolak ajaran Nabi bukan kerana salah atau benar, sebaliknya mereka mendakwa ajaran tersebut bercanggah dengan kepercayaan yang mereka anuti dari nenek moyang mereka sejak beribu-ribu tahun.
Al-Imam Ibnu Sa'ad, seorang tokoh sejarah menyatakan dalam kitabnya berjudul Tobaqat Ibnu Sa'ad katanya; bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah melepaskan peluang pada setiap kali musim haji bagi menyampaikan dakwah Islam, Nabi s.a.w. sentiasa mengikuti para hujjaj hingga ke tempat penginapan masing-masing. Tidak ketinggalan dipasar Uqaz di mana diadakan pertandingan syair di antara kabilah-kabilah di kalangan para hujjaj, bagi mendapatkan syair-syair yang terbaik dan terindah pada tahun itu.
Di pasar Uqaz itu Nabi s.a.w. mengambil peluang berucap, merayu kepada orang ramai agar sudi membantu untuk menyekat dari sebarang gangguan, agar Nabi s.a.w. dapat menyampaikan risalah Allah SWT. Kepada mereka yang menghalang dakwah Nabi s.a.w.. Sekiranya para hujjaj itu sudi membantu Nabi maka Allah SWT menjanjikan kepada mereka balasan syurga di akhirat kelak.
Malangnya Nabi s.a.w. tidak menemui walau seorang pun dari kalangan mereka yang bersedia membantu, dan mereka tidak tertarik hati terhadap tawaran syurga. Kerana mereka tidak pernah dengar dan tidak tahu setakat mana keindahan dan kebahagiaan hidup di dalam syurga, menyebabkan mereka memandang remeh kata-kata Nabi s.a.w. itu.
Sabda Nabi s.a.w.: "Wahai manusia, katakanlah; tiada tuhan melainkan Allah, nescaya kamu sekalian akan mendapat kejayaan hidup, dengan demikian kamu semua akan dapat menguasai sekalian bangsa Arab. Sekiranya anda semua beriman dengan apa yang saya katakan ini, nescaya anda akan menjadi raja di dalam syurga.”
Abu Lahab yang sentiasa mengekori Nabi s.a.w. telah mendengar semua ucapan tersebut, lantas Abu Lahab menyeru orang ramai supaya jangan mempercayai kata-kata Muhammad, kerana dia adalah seorang yang sesat dan pendusta. Demikian ujar Abu Lahab. Sesungguhnya orang ramai ketika itu bukan saja telah menolak dakwah Nabi s.a.w. secara total, bahkan mereka telah menimpakan pelbagai kesusahan kepada diri Nabi. mereka melontarkan kata-kata menghina kepada Nabi, sebagaimana Abu Lahab kata kepada Nabi s.a.w. sebagai "sesat dan pendusta." Demikianlah Imam Ibnu Saad mencatatkan dalam kitabnya Tobaqat Ibnu Saad mengenai dakwah Nabi s.a.w. di Makkah.
Selain itu, seorang tokoh sejarawan Islam, bernama Ibnu Ishaq telah menukilkan riwayat dari Zuhri katanya: Nabi s.a.w. telah pergi bertemu kaum kerabat Amir bin Sha'shaah, Nabi telah mengajak keluarga tersebut supaya kembali kepada Allah, kembali mengikuti ajaran Allah dalam setiap lapangan hidup. Nabi s.a.w. memperkenalkan dirinya sebagai seorang Rasul Allah, di samping berharap keluarga besar dari Amir bin Sha'shaah supaya dapat menjadi pelindung agar Nabi dapat melaksanakan tugas dakwah dengan lebih lancar.
Seorang dari anak cucu Amir bin Sha'shaah bernama Baikharah bin Firaz adalah orang yang mempunyai cita-cita untuk menjadi pemimpin Arab, pada pendapatnya, jika dia berbai'ah dengan Muhammad, maka peluang untuk menjadi pemimpin Arab selepas Mauhammad adalah cerah, dia telah bangun dalam majlis tersebut lalu bertanya kepada Nabi s.a.w.: Wahai Muhammad, jika aku berjanji-setia denganmu, apabila kita menang, semestinya engkau yang menjadi pemimpin. Tetapi setelah engkau tiada lagi siapakah yang akan menjadi penggantimu? Jawab Nabi s.a.w.: " Sesungguhnya perkara tersebut adalah urusan Allah.".
Demikian jawab Nabi dengan tegas, walaupun dalam saat-saat baginda memerlukan kerjasama dan bantuan dari kaum kerabat Amir bin Sha'shaah, namun Nabi tetap memberikan jawapan tegas. Apa-apa yang menjadi urusan Allah SWT, Nabi tidak akan mencampurinya. Sekiranya sokongan diberikan oleh Baikharah kepada Nabi dengan tujuan tertentu, maka Nabi s.a.w. mesti bercakap benar bahawa dia tidak akan melantik Baikharah sebagai pengganti sekalipun dia telah memberikan bai'ah kepada Nabi.
Kata Bakhairah lagi: "Jika aku membantumu ketika orang-orang Arab memusuhimu, tetapi apabila engkau menjadi orang ternama lalu jawatan penggantimu diserah kepada orang lain? Kalau begitu aku tidak berhajat untuk membantu kamu," ujar Baikharah yang memutuskan untuk tidak akan menolong Nabi s.a.w. setelah keinginan untuk menjadi orang ternama tidak tercapai.
Nabi s.a.w. sejak tahun pertama selepas menerima wahyu, sentiasa mengambil peluang untuk bertemu dengan para jamaah haji pada setiap datangnya musim haji, meskipun dakwahnya tidak pernah mendapat perhatian dari jamaah haji itu. Nabi s.a.w. tetap berbuat demikian selama satu dekad.
Pada tahun ke sebelas, Nabi s.a.w. mengorak langkah baru dengan menemui kabilah-kabilah di desa-desa dan perkampungan, pada lazimnya setiap lembah yang menjadi perkampungan itu akan dihuni oleh satu keluarga dari suku tertentu Arab.
Pada tahun ke sebelas ketika musim haji, Nabi s.a.w. pergi ke Aqabah dan telah bertemu dengan rombongan haji dari kalangan kaum Hazraj Madinah. Nabi s.a.w. bertemu dan saling berkenalan dengan mereka. Nabi juga mendapat tahu bahawa suku kaum Hazraj di Madinah terbahagi kepada dua puak, satu puak menentang Yahudi, yang bertemu dengan Nabi s.a.w. adalah mereka yang berkawan rapat dengan Yahudi.
Nabi s.a.w. duduk semajlis dengan mereka dalam keadaan ramah mesra, dan sebagaimana biasa Nabi s.a.w. mengambil peluang menyeru mereka supaya kembali kepada Allah SWT, kemudian Nabi s.a.w. membacakan ayat-ayat al-Quran yang telah diwahyukan kepada Nabi sepanjang sebelas tahun itu. Kaum Hazraj telah terbuka hati menerima seruan Nabi s.a.w. dan beriman dengan al-Quran yang dibacakan oleh Nabi s.a.w. dalam pertemuan itu.
Antara faktor yang memudahkan kaum Hazraj beriman dengan Nabi s.a.w. dan beriman dengan kitab al-Quran, ialah disebabkan pengalaman mereka bergaul dan berguru dengan orang-orang alim Yahudi ahli Kitab di Madinah. Dalam pengajian yang dihadiri oleh puak Arab suku Hazraj itu telah diberitahu tentang munculnya Nabi akhir zaman, maklumat mengenainya di dalam kitab Taurat yang diwahyukan Allah kepada Nabi Musa a.s.. Masanya telah tiba bagi kelahiran Nabi akhir zaman itu, ulama' Yahudi memberi tahu puak Hazraj, bahawa mereka akan bersama Nabi akhir zaman itu.
Puak Hazraj telah mendapat penjelasan yang sangat nyata tentang Nabi akhir zaman itu, justeru itu apabila mereka bertemu secara bersemuka dengan orang yang dimaksudkan di Aqabah itu, mereka penuh keyakinan bahawa mereka telah bertemu dengan Nabi akhir zaman seperti yang diajar oleh ulama' Yahudi di Madinah itu. Inilah kesempatan yang sebaiknya bagi mereka untuk menyatakan keimanannya yang tidak berbelah bagi kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan juga dengan kitab al-Quran yang telah dibacakan kepadanya.
Oleh TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT
Bookmark this post:
StumpleUpon Ma.gnolia DiggIt! Del.icio.us Blinklist Yahoo Furl Technorati Simpy Spurl Reddit Google


Followers

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Magazine 4 column themes by One 4 All