SENARAI ARTIKEL

Wednesday, March 31, 2010

mukjizat al quran meluas dr bacaan ke penghayatan


AL-QURAN adalah kata-kata Allah yang suci. Setiap huruf dan kalimatnya memiliki hikmah dan makna yang tidak mungkin ditiru oleh jin dan manusia. Hal ini dirakamkan dalam firman Allah bermaksud: ?Katakanlah, apabila berhimpun seluruh jin dan manusia untuk membuat kitab seumpama al-Quran, maka mereka tidak akan mampu. Walaupun sebahagian mereka menolong yang lainnya.? ? (Surah al-Isra?, ayat 88).

Jangankan membuat kitab seperti al-Quran, manusia sebenarnya juga tidak mempunyai kesanggupan untuk meniru atau mencipta satu surah pun daripada al-Quran. Inilah yang dikatakan Allah dalam firman-Nya bermaksud: ?Jika kamu ragu terhadap apa yang kami turunkan kepada (Nabi) Muhammad saw, maka cuba kamu buat satu surah seumpamanya. Lalu kamu carilah saksi selain Allah jika kamu orang yang benar. Kamu tidak mampu dan tidak akan mampu untuk membuat satu surah pun seumpamanya.? ? (Surah al-Baqarah, ayat 23 dan 24).

Inilah yang dikatakan i?jaz atau keajaiban al-Quran yang menjadi mukjizat terbesar diberikan Allah kepada rasul-Nya, Muhammad sebagai pedoman hidup untuk manusia dalam mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Oleh kerana al-Quran adalah kata-kata Allah, ia wajib dibaca dengan betul mengikut makhraj dan tajwidnya.

Di samping itu, al-Quran mesti dibaca dengan meresapi satu demi satu keistimewaan kalimat demi kalimatnya. Maka adalah sesuatu yang wajar apabila Rasulullah bersabda bermaksud: ?Apabila kamu membaca al-Quran cubalah menangis.? Menangis dalam hadis ini bermakna menghayatinya sehingga kita benar-benar merasakan ketika membaca al-Quran itu seakan-akan Allah yang sedang berbicara di hadapan kita.

Perkara ini yang dikatakan Baginda dalam hadisnya yang lain: ?Apabila umatku solat, maka dia sedang bertemu dengan Tuhan-Nya. Apabila mereka membaca al-Quran, maka Tuhannya sedang berbicara di hadapannya.?

Orang yang dapat menghayati bacaan al-Quran, akan merasakan seolah-olah al-Quran itu ditujukan kepadanya. Apabila dia sedang membaca ayat mengenai azab, dia seakan-akan membayangkan kalau azab Tuhan itu sedang berada di depan matanya. Apabila sedang membaca ayat mengenai syurga, maka seakan-akan syurga itu juga berada di hadapannya.

Apabila ayat itu berbicara berkenaan dengan masalah solat, zakat, puasa, haji, jihad dan perintah lainnya, maka seakan-akan Allah sendiri yang sedang memerintahkan itu kepadanya.

Begitu pula jika ayat itu menegah daripada perbuatan keji dan mungkar seperti riba, zina, melarang arak dan judi. Maka, dia merasakan bahawa seakan-akan Allah sedang berada di hadapannya menegahnya daripada semua perbuatan maksiat itu.

Inilah makna menghayati bacaan itu, yang mana seseorang seakan-akan merasakan al-Quran itu bukan lagi susunan huruf demi huruf, kalimah demi kalimah, tetapi suara Allah yang langsung datang memasuki sanubarinya.

Apabila sampai kepada peringkat ini, maka akan terasa keindahan dan keajaiban al-Quran itu. Oleh itu, dengan membacanya, peribadi yang keras akan menjadi lembut. Orang yang takut akan menjadi berani. Manusia yang lemah akan menjadi kuat. Maka, wajar apabila pejuang Islam dulu menjadikan al-Quran sebagai api pembakar semangat perjuangan mereka.

Keajaiban al-Quran juga dapat dilihat dalam sejarah Umar bin Khattab memeluk Islam. Sebelum Islam, Umar ialah seorang lelaki bengis, kasar dan kejam. Dia pernah berniat untuk membunuh Nabi Muhammad dengan tangannya sendiri.

Dalam sejarah dikisahkan bahawa pada suatu hari Umar menaiki kudanya ingin mencari Baginda untuk membunuhnya. Pada pertengahan perjalanan, dia bertemu seorang sahabat yang menyembunyikan keimanannya.

Sahabat tadi bertanya: ?Hendak ke manakah engkau wahai Umar??

Dengan sinis Umar menjawab: ?Saya hendak mencari Muhammad yang membawa ajaran sesat dan ingin merosakkan kepercayaan nenek moyang kita. Dia telah merobohkan perpaduan di kalangan suku Quraisy. Saya ingin membunuhnya.?

Sahabat tadi terkejut. Namun, dengan tenang dia berkata: ?Wahai Umar, bagaimana engkau akan membunuh Muhammad, sementara adikmu, Fatimah dan iparmu, Sa?id bin Zaid telah menjadi pengikutnya.?

Wajah Umar merah membara. Dia terkejut kerana ajaran Muhammad yang dibencinya ternyata telah memasuki rumahnya sendiri.

Dengan tidak membuang masa, dialihkannya perjalanannya daripada mencari Muhammad kepada menemui adik kandungnya, Fatimah.

Setibanya di rumah Fatimah, Khabbab bin al-Arat sedang mengajarkan Fatimah dan suaminya Sa?id membaca al-Quran. Mereka sedang membaca beberapa ayat dalam Surah Taha.

Dari luar, Umar mendengar bacaan ayat itu. Dia mendengar dengan tenang, tekun dan saksama. Pada saat itu, dia seakan-akan berada dalam pusaran badai yang dahsyat, gulungan ombak kuat.

Umar seorang manusia keras hati dan cerdas. Dia dapat menghayati dan merenungi bacaan itu.

Setelah mendengar ayat demi ayat yang dibaca itu, Umar berkeyakinan bahawa apa yang didengarnya itu bukan syair Arab. Kata-katanya sangat indah, yang tiada tolak bandingnya.

Bacaan al-Quran itu, seakan-akan mencairkan bungkahan ais kekafiran dalam jiwa Umar dan menggantikannya dengan cahaya keislaman. Pada hari itu juga, Umar memeluk agama Islam.

Demikian besarnya pengaruh mendengar bacaan al-Quran sehingga dapat mengubah peribadi Umar, daripada seorang yang kafir kepada insan yang beriman kepada Allah.

Sungguh benar apa yang dijanjikan Allah, bahawa orang yang mendengar bacaan al-Quran dengan khusyuk dan menghayati setiap bacaan itu pasti akan mendapat rahmat. Perkara ini seperti dijanjikan Allah dalam firman-Nya bermaksud: ?Apabila sedang dibacakan al-Quran, maka dengar dan diamlah, agar kamu mendapat rahmat.? ? (Surah al-A?raf, ayat 204).

Rahmat dalam ayat ini memiliki makna yang banyak. Adakalanya setiap ayat yang dibaca itu akan menyejukkan hati dan menambah keimanan. Hal itu dirakamkan dalam firman Allah bermaksud: ?Sesungguhnya orang yang beriman itu, apabila disebutkan nama Allah, akan bergetar hati mereka. Apabila dibacakan ayat-ayatnya (al-Quran), maka akan bertambah keimanannya.? ? (Surah al-Anfal, ayat 2).

Al-Quran juga berfungsi sebagai ubat yang menyembuhkan segala penyakit jiwa manusia. Perkara ini dijanjikan Allah, seperti firman-Nya bermaksud: ?Dan Kami turunkan al-Quran itu sebagai ubat yang menyembuhkan dan rahmat bagi orang yang beriman.? ? (Surah al-Isra?, ayat 82).

Al-Quran juga mampu memberi inspirasi kepada sesiapa pun tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur. Al-Quran dapat dihayati oleh pakar sastera kerana di dalamnya banyak unsur sastera.

Al-Quran sesuai dibaca oleh pakar ilmu pengetahuan, sebab kitab suci ini banyak menceritakan dasar seluruh ilmu pengetahuan. Orang dewasa dapat merasakan kenikmatan membaca al-Quran berdasarkan pemahaman orang dewasa. Anak-anak juga dapat meresapi bacaan al-Quran berdasarkan keterbatasan akal mereka.

Perkara ini tentu berbeza dengan buku ciptaan manusia. Buku yang digunakan di universiti tidak akan dibaca anak-anak sekolah rendah. Buku fizik dan kimia tidak akan dibaca pelajar sastera. Buku perubatan jarang dibaca pengkaji undang-undang kerana mereka tidak memahaminya.

Namun al-Quran dapat diterima semua golongan, peringkat umur dan manusia. Perkara ini disebabkan al-Quran adalah perkataan Tuhan, pencipta semua manusia.
Bookmark this post:
StumpleUpon Ma.gnolia DiggIt! Del.icio.us Blinklist Yahoo Furl Technorati Simpy Spurl Reddit Google


Followers

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Magazine 4 column themes by One 4 All