SENARAI ARTIKEL

Wednesday, March 31, 2010

Pengajaran dari kisah Nabi Daud


Pengajaran dari kisah Nabi Daud


NABI Daud a.s pernah mempunyai 99 orang isteri. Pada suatu hari, baginda
yang juga menjadi raja, jatuh hati kepada seorang
wanita yang sudah mempunyai suami.

Ketika hasratnya untuk mengambil wanita itu menjadi isterinya hampir
dilaksanakan, Allah S.W.T mengutuskan dua malaikat yang
menyerupai lelaki, bertemu baginda dengan membawa satu permasalahan untuk
diadili.

Salah seorang `lelaki' itu berkata, dia mempunyai seekor kambing betina
dan rakannya mempunyai 99 ekor kambing betina.
Bagaimanapun, rakannya itu telah memujuk beliau supaya memberikan
kambingnya yang seekor.

Mendengar cerita lelaki itu, Nabi Daud berkata: ``Sesungguhnya dia (lelaki
yang mempunyai 99 kambing) telah berbuat zalim
kepadamu dengan meminta kambingmu itu untuk ditambah kepada kambingnya.
Dan sesungguhnya kebanyakan daripada
orang-orang yang bersyarikat itu sebahagian mereka berbuat zalim kepada
sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang
beriman dan mengerjakan amal soleh.''

Selepas lelaki-lelaki itu beredar, barulah Nabi Daud a.s tersedar bahawa
apa yang disampaikan oleh lelaki berkenaan adalah mesej
daripada Allah mengenai kesalahannya mahu mengambil isteri orang walaupun
sudah mempunyai 99 isteri. (Pada zaman Nabi Daud
belum ada syariat beristeri hanya empat)

Maka Nabi Daud terus menyungkur sujud dan memohon taubat kepada Allah di
atas kesilapannya. Allah mengampuni Nabi Daud
dan berfirman: ``Hai Daud, sesungguhnya kami menjadikan kamu pemerintah di
muka bumi, maka berilah keputusan di antara
manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia
akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya
orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana
mereka melupakan hari perhitungan.''

Kisah Nabi Daud ini terkandung dalam surah Shaad (38) ayat 17 hingga 26.

Pengajaran

Salah satu pengajaran daripada kisah Nabi Daud itu ialah kita dikehendaki
berlaku adil, khususnya bagi mereka yang menjadi
pemimpin. Sesiapa yang tidak berlaku adil pasti akan menerima azab sama
ada di dunia atau akhirat.

Lawan perkataan adil ialah zalim. Sejarah telah membuktikan bahawa sesiapa
yang zalim akhirnya pasti akan menerima azab di dunia
ini. Berdasarkan keterangan ayat-ayat Quran tersebut, Allah memperjelaskan
bahawa manusia tidak dapat berlaku adil jika tunduk
kepada hawa nafsu.

Mualim merujuk kepada ayat-ayat ini kerana secara kebetulan membacanya
ketika dua peristiwa mendapat perhatian media.

Pertama ialah kempen `Satu Suami Satu Isteri' yang dipelopori oleh
kumpulan Sisters In Islam. Mualim tidak mahu mengulas
panjang tentang perkara ini kerana ia sudah mendapat liputan yang meluas,
termasuk kenyataan daripada para mufti.

Cuma yang ingin diperingatkan kepada kaum lelaki yang mahu berpoligami,
berlaku adillah sebagaimana yang Allah tuntut. Jika
tidak adil, tanggunglah azabnya di dunia lagi.

Kepada kaum wanita pula, Mualim teringat kepada satu hadis yang menyatakan
bahawa Rasulullah pernah bersabda bahawa lebih
banyak wanita menjadi penghuni neraka. Ditanya para sahabat apakah
puncanya. Rasulullah menjawab bahawa puncanya ialah
kerana banyak wanita tidak mentaati suami mereka.

Satu lagi perkembangan yang mengingatkan Mualim kepada isu keadilan ialah
serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq sekarang.
Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa apa yang dilakukan oleh Presiden
George W. Bush itu amat zalim.

Dunia dipercayai akan semakin bergolak ekoran perang Amerika dan sekutunya
ke atas Iraq itu. Bush dan Amerika pasti akan
menerima azab di atas kezaliman mereka ini. Cuma lambat atau cepat sahaja.

Sebaliknya jika Saddam juga melakukan kezaliman semasa pemerintahannya,
serangan ke atas Iraq ini merupakan azab ke atasnya.
Mudah-mudahan beliau sudah bertaubat, jika benar beliau melakukan
kezaliman.

Apa yang berlaku wajar menjadi pengajaran kepada kita rakyat Malaysia,
khususnya para pemimpin. Tegakkan keadilan dan
jangan melakukan sesuatu atas dorongan hawa nafsu.

Jika memimpin mengikut hawa nafsu, tanggunglah azab yang akan menimpa.
Dibimbangi azab ini juga akan menimpa orang-orang
yang dipimpin kerana mereka turut membiarkan kezaliman.

Mudah-mudahan negara kita terpelihara daripada pemimpin yang tidak adil
dan zalim. Semoga Malaysia terus aman dan makmur.
Terpulanglah kepada kita.
Bookmark this post:
StumpleUpon Ma.gnolia DiggIt! Del.icio.us Blinklist Yahoo Furl Technorati Simpy Spurl Reddit Google


Followers

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Magazine 4 column themes by One 4 All