SENARAI ARTIKEL

Monday, March 29, 2010

Berjuang Di Makkah Dapat Sokongan Di Madinah


Berjuang Di Makkah Dapat Sokongan Di Madinah
Sebelas tahun Nabi s.a.w. dalam keadaan jihad, dengan kesabaran yang sambung-menyambung khusus untuk Allah SWT semata-mata. Merintis laluan menuju kepada gerakan Islam yang begitu besar, yang tersebar ke Asia, Eropah dan Barat. Menyebabkan rebahnya kekuatan Empayar Rom dan gugurnya keangkuhan kerajaan Parsi, serta hancur musnahnya segala tamadun ciptaan manusia dan nilai-nilai kebendaan yang dibangunkan oleh manusia sebelumnya.
Sepanjang sebelas tahun itu Nabi s.a.w. seolah-olah keseorangan memikul beban berat yang dibebankan oleh Allah SWT sebelum daripada peristiwa hijrah ke Madinah. Ia merupakan harga yang mesti dibayar oleh Baginda dan para sahabatnya yang setia, sampai ke peringkat boleh memimpin kerajaan Islam pertama di Madinah al-Munawwarah. Hasil daripada jihad Nabi s.a.w. yang begitu jerih dan meletihkan, terpaksa merempuh pelbagai halangan.
Sedangkan amat mudah bagi Allah SWT sekiranya hendak menjadikan masyarakat Islam tertegak dengan tidak payah Nabi s.a.w. menanggung susah dan bala penderitaan. Tetapi Allah SWT hendak mengajar kepada manusia bahawa jika Nabi sebagai kekasih-Nya, di kelilingi oleh para malaikat bumi dan langit yang sentiasa memberikan sokongan. Namun Nabi terpaksa menghadapi berbagai-bagai ancaman dan halangan, setelah itu barulah Islam itu berkembang hingga ke merata pelosok dunia.
Sekiranya berlaku juga halangan dan rintangan di hadapan umat Islam yang menyambung tugas dakwah Islam, maka sememangnya demikian sunnah yang Allah SWT tentukan terhadap para pejuang dan pendukung Islam di muka bumi ini. Di antara sunnah Nabi yang mesti difahami oleh umatnya; ialah bahawa Nabi telah mencurahkan sepenuh tenaga yang ada demi mengembangkan agama Allah di muka bumi, pelbagai kesengsaraan dan penghinaan bahkan kecederaan telah ditimpakan oleh penentangnya. Dari hari ke hari dan tahun ke tahun kadar penenatangan semakin meningkat, menyebabkan kehidupan Nabi sentiasa diselimuti keletihan tanpa kerehatan.
Namun ia tidak pernah mengecewakan dan tidak mematahkan semangatnya untuk berjihad, itulah sunnah seorang Rasulullah sebenarnya yang sentiasa menagih pengorbanan. Ada sunnah Nabi yang di amalkan oleh umat Muhammad, tetapi jenis sunnah yang tidak menagih pengorbanan, seperti memakai serban dan yang sebanding dengannya. Sememangnya apapun jenis sunnah yang diamalkan ia tetap murni, tetapi apakah pengorbanan yang mereka lakukan selain hanya mengeluarkan sedikit wang untuk membeli serban.
Sedangkan Nabi telah mengorbankan seluruh kehidupan untuk jihad, sehingga tidak pernah merasai erti kerehatan, jauh sekali kesenangan atau kemewahan. Dengan perit jerih yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. hingga terbentuknya sebuah negara Islam yang pertama di Madinah, tidak mudah melahirkan dan memimpin sebuah negara di tengah-tengah masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama seperti di Madinah itu. Nabi yang menjadi sumber sunnah telah memberikan contoh sunnah yang mesti diteladani oleh umatnya, bukan memilih sunnah yang mudah tetapi menghindari sunnah yang memerlukan pengorbanan besar sama ada pengorbanan harta, masa, tenaga bahkan nyawa sekalipun.
Jika sekadar mengamalkan sunnah yang kecil-kecil dan mudah seperti bersugi, berserban dan seumpamanya, janganlah mendabik dada mendakwa sudah mengamalkan sunnah Nabi s.a.w. Pengamal sunnah Nabi yang sebenarnya adalah mereka yang mewarisi perjuangan Nabi serta bersedia menanggung segala kesengsaraan dan penderitaan akibat menegakkan kebenaran Allah SWT. Bukan dikatakan mengamalkan sunnah bagi mereka yang tidak berani mempertahankan kebenaran Allah SWT disebabkan hendak menjaga kepentingan diri, sekalipun orang itu mengekalkan amalan sunnah yang ringan-ringan (yang tidak memerlukan pengorbanan) seperti berserban, bersugi dan yang sebanding dengannya.
Sebelas tahun yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. di Makkah, ibarat satu penerokaan hutan untuk menjadikannya tempat tinggal manusia bagi menjalani kehidupan yang aman, di samping menjadikan ladang bagi mendapatkan hasil bagi menampung sara hidup dan juga membina kemakmuran. Sudah pasti kerja penerokaan hutan itu menghadapi pelbagai kesukaran, malah mungkin ancaman dari berbagai jenis binatang buas.
Tetapi segala perit dan getir yang dilalui oleh Nabi s.a.w. itu pasti akan menghasilkan buah, sememangnya usaha Nabi yang tidak mengenal lelah itu telah menghasilkan buah. Tetapi malangnya hasil permulaan yang dituai itu tidak dapat dinikmati oleh penduduk Makkah, kerana buah yang akan dituai itu berupa buah iman, persaudaraan, kasih sayang, kelazatan ibadat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sebaliknya penduduk Madinah yang lebih awal dapat menikmati hasil perjuangan Nabi s.a.w. itu kerana mereka memiliki hati yang lurus, penduduk Madinah ibarat lembah yang subur untuk Islam tumbuh dan cepat merendang serta menghasilkan buahnya.
Sesungguhnya Allah SWT menghidupkan Islam di muka bumi ini sukar diduga oleh makhluk-Nya, manusia mengagak berdasarkan lojik pemikiran, tetapi Allah SWT menentukannya mengikut apa yang dikehendaki supaya manusia menerima Islam atas dasar bahawa Islam adalah semurni-murni agama. Apabila seorang yang 'ummi' (tidak tahu membaca dan menulis) dilantik menjadi Nabi akhir zaman, ia bukanlah suatu kebetulan. Sebaliknya ia adalah perancangan Allah SWT sejak dari zaman azali lagi, kerana sifat ummi itulah yang menyelamatkan Nabi akhir zaman dari tuduhan musuh-musuhnya yang cuba menuduh bahawa wahyu yang dibacanya itu adalah ciptaannya.
Justeru itu Allah SWT melantik Muhammad s.a.w. sebagai Nabi dan Rasul untuk menjadi contoh ditengah-tengah masyarakat yang bejat, kerana Nabi s.a.w. sejak dari zaman kanak-kanak sudah dikenali sebagai orang yang berpekerti tinggi, bangsa Arab khususnya penduduk Makkah tahu bahawa Muhammad tidak berdusta, tidap pernah khianat, tidak minum arak, jauh sekali dari tingkah laku keji seperti berzina dan sebarang perangai yang buruk.
Di tengah-tengah kemelut masyarakat Arab yang rosak akhlak, tiba-tiba muncul seorang Nabi yang paling baik budi pekertinya, maka jika umat Arab mengikut Nabi Muhammad bererti mereka menurut perkara yang sebenar. Kerana Nabi Muhammad s.a.w. walaupun duduk ditengah-tengah masyarakat yang hancur akhlaknya, namun Nabi tidak pernah terpengaruh dengan kebejatan akhlak Arab jahiliyyah itu, ibarat ikan di laut yang hidup tanpa terpengaruh dengan air masin di sekelilingnya, dagingnya tidak menjadi masin walaupun sepanjang hayat berendam di dalam air masin.
Itulah hikmah Allah SWT melantik penyokong-penyokong Nabi s.a.w. yang pertama bukan dari kalangan orang-orang sekampung halaman dengannya di Makkah, sebaliknya sokongan datang dari orang-orang Arab Madinah. Hikmah di sebalik sokongan dari masyarakat Madinah ialah menunjukkan bahawa sokongan mereka adalah berasaskan kebenaran yang dibawa oleh Nabi. Jika orang Makkah sendiri menjadi penyokongnya, boleh jadi sokongan mereka bukan berasaskan kepada kebenaran yang dibawa oleh Nabi, sebaliknya kerana terpengaruh dengan orang kampung mereka sendiri.
Inilah dalil yang sebenar bahawa dakwah Nabi s.a.w. berjalan dengan baik meskipun sentiasa menghadapi rintangan, segalanya kerana 'tangan' Tuhan sentiasa menjaga Nabi dan Rasul-Nya demi kelangsungan agama aqidah di muka bumi ini.
Oleh TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT
Bookmark this post:
StumpleUpon Ma.gnolia DiggIt! Del.icio.us Blinklist Yahoo Furl Technorati Simpy Spurl Reddit Google


Followers

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Magazine 4 column themes by One 4 All