Media massa tempatan dan di luar negara tidak henti-henti menyiarkan rencana, pemberitaan dan komen-komen yang memburukkan Islam dan para penatarnya. Mereka menggunapakai istilah-istilah yang sengaja memalitkan Islam dengan perbuatan jenayah, ganas, bermuslihat dan sebagainya untuk menutup mata terhadap perlakuan ganas regim penjajah, Israel dan negara kuasa besar yang sering melakukan keganasan terhadap negara-negara kecil di dunia. Mereka mencipta musuh dan nama-nama baru tertentu untuk memungkin secara tersirat mereka mengganyang negara dan gerakan Islam yang kini sedang memulihkan kehadiran mereka dipentas politik dunia. Dalam masa yang sama mereka memperguna prasarana undang-undang antarabangsa dan insititusi antarabangsa untuk mengekang kebangkitan negara-negara Islam, negara-negara berkecuali dan negara-negara ketiga untuk bangun menyaingi mereka sebagai kuasa ekonomi, politik, teknologi dan ketenteraan.
• Cabaran Fahaman Sekularisme.
Fahaman sekularisme pula telah lama disebar dan dibajai dalam seluruh jentera negara . Fahaman ini yang dibawa oleh barat dan disenangi oleh nafsu amarah manusia sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitment kepada nilai-nilai agama. Sekiranya fahaman ini tidak dibendung dan tidak ditangani segera dengan berkesan maka akan terhakis dan runtuhlah jatidiri generasi tua dan muda umat Islam kini. Pegangan mereka kepada agama akan luntur bahkan semakin menipis dan larut. Gejala-gejala buruk pasti akan menular sepertimana yang sedang dirundung oleh umat Islam masa kini. Pastinya umat Islam akan terus berpecah-belah menurut fahaman yang berbagai ragam sehingga mereka menjadi alat untuk meruntuhkan agama mereka sendiri.
• Cabaran Kuasa Politik yang Semakin Undemocratic
Kekuasaaan yang dipegang oleh tampuk kepimpinan yang tidak demokratik, hidup memerah dan membolot kekeyaan untuk kroni mereka, menganggam kekuasaan sebagai hak mutlak peribadi dan bukan amanah Allah, enggan mengamalkan dan melaksanakan pemerintahan mengikut ajaran Islam pastinya akan menyebabkan matlamat dan hala tuju sesebuah negara kucar kacir. Institusi negara, dari kehakiman, kepolisian, penerangan, perbendahaaraan akan disalahgunakan untuk kepentingan parti. Akhirnya amalan politik akan hanya untuk kepentingan kumpulan kecil dan diri sendiri mengikut corak yang telah diajar oleh fahaman capitalist dan meterialist. Kemelut ini sudah tentu melahirkan iklim politik dan budaya sosial yang menyimpang jauh dari keluhuran, ketelusan dan nilai-nilai tamadun yang tinggi. Persempadan baru dan akta pilihanraya lebih bertujuan untuk menghimpit rakyat dan parti lawan. Kadar peruntukan bayaran tertentu dinaikkan untuk menafikan hak rakyat untuk mengadakan reformasi.
• Cabaran Undang-Undang dan Akta Draconian
Undang-undang yang adil adalah tuntutan segenap rakyat yang prihatin. Manakala ciri undang-undang yang adil ialah yang lahir dari tuhan yang maha adil. Dalam hal ini umat Islam berkeyakinan bahawa undang-undang yang saksama ialah undang-undang yang berlandaskan kepada ajaran Islam atau nilai-nilai kebaikan sejagat. Keengganan menurut lunas-lunas perundangan ini akan menyebabkan negara terjebak dalam kancah kemelut kezaliman, penipuan, fitnah, lucah dan amalan politik mafia. Amalan menangkap lawan atau musuh politik dengan tuduhan palsu bertopengkan alasan keselamatan negara memang lumrah di kalangan para pemerintah korup dan dictator. Selagi amalan amalan buruk dan zalim ini berleluasa dalam negara sukar untuk negara berkenaan untuk dilabelkan sebagai negara Islam. Dalam masa yang sama ketidakadilan dalam perundangan dan perlaksanaannya semakin berleluasa.
• Cabaran Kepimpinan dan Pemimpin yang korup.
Kepemimpinan bukan suatu kuasa untuk berleluasa, berbuat apa sahaja menurut kehendak hati. Ia adalah suatu amanah Allah dan masyarakat yang perlu dipikul dengan penuh hikmah dan bijaksana. Ia memerlukan rasa tanggungjawab yang tinggi menjaga muslihat agama, negara dan rakyat. Kepimpinan dalam Islam mesti berada dikalangan orang yang paling beriman, berilmu, bertakwa, mempunyai integriti, mampu berjihad dan layak. Kepemimpinan yang korup dan melanggar etika dalam kepemimpinan Islam tanpa dapat membezakan yang baik dan buruk serta enggan mengikut lunas Islam sudah pasti membawa musibah. Allah berfirman:
Golongan bangsa Thamud mendustakan ajaran Allah dengan sombong dan bongkak apabila tampil memimpin mereka orang yang paling celaka (dan jahat).
• Cabaran Media Massa yang Tidak Bertanggongjawab dan Kurang Beretika.
Media massa yang terlalu mengikut telunjuk dan bias terhadap sesuatu parti politik , biasanya hanya akan menyebarkan berita yang mampu menaikan dan menjatuhkan mana-mana parti yang menjadi ancaman,. Oleh itu, media massa tidak lagi menjadi satu institusi yang mencelikkan akal rakyat atau meningkatkan budi dan kewarasan mereka berfikir tapi sebagai alat propaganda yang lebih membunuh kebijaksanaan dan memperbodoh daya pemikiran mereka. Media massa seperti ini tidak malaksanakan tanggungjawab social; meningkatkan budaya berpolitik yang sihat dan demokratik, sebaliknya menjadi kuda tunggangan manusia bajingan yang bermuslihat untuk menjatuhkan sesama sendiri, atau terhadap parti lawan. Hak-hak untuk kebebasan bersuara dinafikan. Kebebasan akhbar tinggal dakwaan manis yang tidak pernah menjadi kenyataan. Imej ulama, mufti, Rasulullah, muslimat yang bertudung bahkan para pembimbing masyarakat yang ternama sering menjadi sasaran usaha pemudaran reputasi dan kredibeliti oleh media berkenaan.
• Cabaran Pendidikan Sekular
Pendidikan sekular yang telah diperkenalkan oleh penjajah kini semakin diperkasa. Aliran sekolah bahasa Inggeris yang dahulunya telah ditukar kepada aliran kebangsaan kini mahu dinobatkan semula. Semangat kemerdekaan dan keagamaan yang dahulunya diperjuang dan didaulatkan kini seolah-olah dilupakan bahkan aliran keagamaan sering dimomok dan dianggap sebagai pemacet kemajuan, penghalang pembangunan. Amalan-amalan ibadah khusus dianggap penghalang kejayaan dalam pembelajaran sains. Sebab itu kegiatan ibadah qiamullai, zikir, solat tahajjud dan sebagainya diremeh dan dipandang rendah oleh para pemimpin atasan tertentu. Ibubapa yang prihatin terhadap pendidikan agama anak-anak mereka dalam menghadapi kebanjiran bahan lucah dan gejala maksiat dan sumbang mahram di kalangan remaja diaggap sebagai penyebab kepada menurunnya prestasi bumiputra dalam lapangan pencapaian sains. Pengabaian dan tindakan meminimakan pendidikan agama sudah pasti akan menghasilkan satu generasi melayu muslim yang berkiblatkan nafsu atau budaya barat semata-mata .
• Budaya Barat.
Akibat dari berleluasanya perkembangan alat kemunikasi dan informasi modern maka pengaruh budaya Barat semakin menjarah masuk dan melunturkan faham keagamaan dalam masyarakat. Budaya asing yang inginkan keseronokkan dunia semata-mata kini semakin mendapat tempat dihati umat Islam. Sebab itu gejala Black Metal menulari golongan remaja. Pesta seks di mana hubungan seks di kalangan muda-mudi yang bukan mahram dan belum berkahwin menggempari masyarakat. Amalan khurafat kembali menjengah oleh golongan politikus yang ingin mendapatkan kerusi kekuasaan. Gejala gigolo pun heboh diperkatakan dalam masyarakat. Pekong dan wabak bernanah yang hanyir ini jika tidak dirawat segera akan menyebabkan rosaknyah umat Islam dan misi syaitan pasti akan berjaya.
• Teknologi Informasi dan Telekomunikasi.
Antara sebab kemunduran umat Islam adalah akibat dari kekurangan pengusaan terhadap teknologi yang semakin berkembang di negara barat. Teknologi ini memungkinkan mereka menyebarluaskan propaganda mereka dengan berkesan. Melalui filem, CD, VCD television stalite TV internet dan lain-lain mereka menyalurkan berjuta-juta patah perkataan imej, graphic dan diayah yang mempengaruhi umat Islam sehingga kehilangan jatidiri mereka. Dengan penguasaan yang canggih dalam bidang ini mereka dapat meneruskan penguasaan dan hegemony ke atas dunia Islam dan negara-negara Islam. Jentera prisikan mereka meredah masuk dalam berbagai jaringan sensitive pertahanan negara. Mereka mungkin lebih arif terhadap rahsia dalaman berbanding umat itu sendiri.
• Kuasa Penjajah dan Zionist
Perancangan dan kerjasama diantara masyarakat Kristian dan Yahudi yang ingin menghancurkan Islam telah menemui kejayaan dengan jatuhnya empayar Islam semasa Zaman Turki Uthmaniah. Strategi dan perancangan yang semakin rapi sedang direncanakan yang pastinya membawa cabaran yang lebih besar lagi terhadap umat Islam. Mereka ingin mengubah beberapa ayat al-Quran , mereka mahu membasmi hadith Nabi sebagai suatu kuasa palsu yang memundurkan umat. Mereka juga mahu umat Islam tidak lagi membangun negara dan politik Islam kerana ia adalah fenomena ekstrimisme, dan terrorisme. Mereka terus memantau perkembangan negara umat Islam agar Islam sebagai pola peradaban yang lengkap tidak akan dapat dibangunkan semula.
• Kristianisasi
Kristianisasi yang telah lama berlaku bukan merupakan perkara baru yang tidak diketahui oleh umat Islam. Namun, strategi yang dirancang terlalu halus dan memerangkap umat Islam yang leka dan lalai serta tidak mengikut ajaran Islam mengikut landasan yang betul.
Sebab itu terdapat beberapa golngan yang berjaya disesatkan sehigga mendewa-mendewakan ajaran kristian dan seterusnya masuk menjadi penganut agama itu samada kerana ingin berkahwin, atau ingin mendapat habuan kebendaan atau lari menjadi rakyat di negara berkenaan. Golongan pendita dan muballigh Kristian terus memainkan peranan mereka dengan dana kewangan yang besar dan prasrana diayah yang hebat dan canggih. Namun berkat kegigihan pendakwah kita, dan kewaspadaan umat telah dapat sedikit sebanyak membendung dan memelihara Umat Islam umumnya dari gejala Kristianisasi.
• Globalisasi.
Globalisasi merupakan satu proses menundukkan dunia dalam segenap sektor sama ada politik, ekonomi, sosial, budaya dan media dengan satu acuan kemanusiaan tertentu. Ia merupakan satu cara baru yang digunakan oleh Zionis atau Amerika Syarikat dalam berhadapan dengan Islam. Sikap negara-negara kuasa besar dan Eropah berlandaskan kepada pendekatan "pertembungan tamadun" yang meskipun mereka nafikan tetapi sebenarnya mereka gunakan untuk menghadapi kebangkitan Islam serta institusinya.
Globalisasi juga mewujudkan satu budaya yang mengikut telunjuk dan acuan Amerika serta menafikan nilai-nilai murni dan mulia serta budaya setempat. Semuanya akan bertukar kepada budaya yang bertuhankan material semata-mata. Globalisasi adalah istilah lunak mengantikan imprialisme dan penjajahan.
• Kuasa Agensi Agama yang disalahgunakan.
Di dalam negara umat Islam pula Agensi Agama yang telah dipolitikkan oleh golongan tertentu telah menjadi penghalang kepada berkembangnya kefahaman agama yang syumul dan beristiqamah. Badan-badan berkanun dan agensi-agensi pentadbiran agama digunakan untuk menghalang penyampaian agama dalam bentuknya yang merangkum kesedaran politik dan usaha reformasi umat. Dalam masa yang sama pihak berkuasa menghadkan kuasa agama dalam bidang tertentu sahaja supaya mereka mempunyai kuasa yang amat terbatas dan sukar untuk melaksanakan sesuatu tuntutan syariat.
• Kemiskinan dan Kepapaan.
Taraf hidup masyarakat Islam yang rendah menyebabkan mereka mudah diperkotak-katikkan dan dipergunakan untuk kepentingan penjajah asing atau agen-agen mereka yang melanjutkan pegangan terhadap fahaman yang salah dan keliru. Usaha-usaha memperalatkan pimpinan yang membawa kebaikan kepada barat giat dirancang bagi memastikan cengkaman ekonomi hanya dikuasai oleh Barat dan mewariskan kemiskinan dan pertelagahan kepada masyarakat jajahannya. Ini merupakan satu perancangan Yahudi dan kuasa raksaksa korporat Barat. Ekonomi negara diratah dan diperkotak-katikkan oleh penyangak mata wang antara bangsa. Manakala penyangak dalam negara pula membazirkan wang negara dalam projek mega yang mewah dan membolot kekayaan negara melalui tindakan menghisap keupayaan kewangan syarikat-syarikat awam yang diswastakan. Selepas syarikat yang diswastakan itu bangkrap mereka memulangkan semula kepada kerajaan untuk dibiayai semula oleh wang rakyat.
• Masyarakat Majmuk
Kepelbagaian kaum dan agama telah dijadikan alasan menyekat perlaksanaan hukum Islam kerana dikatakan hendak menghargai hak dan kebebasan beragama. Ugutan dan ancaman golongan sekular telah menakutkan orang-orang yang bukan Islam menerima penyelesaian Islam. Soal khitan, keganasan dan sebagainya telah dijadikan momok untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam untuk menyokong aliran Islam.
• Kepelbagaian wadah dan wahana dakwah yang belum diselaraskan dengan berkesan.
Kepelbagaian wadah gerakan Islam tidaklah mutlak buruk. Ia mungkin menambahkan lagi kerancakan dakwah di dalam negara kita. Namun pendekatan yang berbeza dan kurangnya penyelarasan mungkin membuka peluang kepada golongan tertentu untuk melaga-lagakan mereka untuk tujuan melemahkan kesan dakwah secara total. Sebab itu gejala ini adalah merupakan cabaran yang tersendiri kepada para pemimpin harakah tersebut. Mereka perlu merumuskan suatu penyelarasan dan perkongsian bijak yang akhirnya menguntungkan Islam.
• Kekurangan Tenaga Manusia yang terlatih.
Kekurangan tenaga pakar dari dunia Islam adalah hasil polisi pendidikan yang tidak sihat kesan dari penjajahan. Mereka tidak mahu melihat negara Islam lebih maju dari mereka. Sekatan terhadap para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran mereka serta kuota yang dilaksanakan sedikit sebanyak menjejaskan mutu tenaga mahir atau pakar yang akan merencatkan pertumbuhan sesebuah negara Islam.
Sebenarnya banyak lagi cabaran yang dihadapi oleh usaha dakwah masa kini kalau hendak direntang panjang satu persatu. Tapi ruang yang terbatas menyebabkan kita berpada dengan huraian di atas. Untuk membincangkan perkara yang lebih penting ialah dengan mencari jalan bagaimana kita boleh mengatasi dan menghadapi cabaran berkenaan. Antara langkah-langkah yang boleh dirumuskan di sini ialah:
LANGKAH-LANGKAH MENGHADAPI CABARAN
1. Seluruh Jentera informasi Islam Perlu Berperanan
Dalam menghadapi tindakan menimbulkan rasa phobia terhadap Islam maka seluruh umat Islam, jentera dakwah, media komuniksi dan informasi perlu menyanggah usaha untuk melabelkan kejahatan dan keganasan dengan label Islam. Tindakan ganas, jajah, aniaya, perang dan sebagainya telah dilakukan oleh penganut Kristian jauh lebih banyak dan berganda dari kalangan umat Islam. Namun kita tidak pernah melabelkan kejahatan dan keganasan itu dengan label Kristian untuk kita menindak dan menentang seluruh kegiatan dan pertubuhan Kristian.
2. Dedahkan Kebatilan Fahaman Sekularisme
Ciri-ciri fahaman sekularisme yang telah melanda umat Islam harus didedahkan supaya masyarakat Islam sedar akan bahaya fahaman sekularisme terhadap mereka. Langkah dan perancangan yang rapi harus diambil bagi menyedarkan umat Islam dan membawa mereka kepada iltizam akidah yang sebenarnya. Penegasan tentang Islam mencorakkan seluruh pegangan muslim dalam semua perkara dan isu perlu ditegaskan sehinga mereka tidak lagi menjadi penyokong faham dalam pelbagai bentuknya.
3. Memperkasa Perjuangan Melindungi amalan politik yang telus dan Demokratik
Iklim politik yang demokratik dan sihat perlu dilindungi oleh kesedaran dan kewarasan. Keinsafan bahawa peluang memerintah adalah amanah dan suatu yang boleh bertukar tangan tanpa menyebabkan dunia menjadi kiamat. Rasa akauntibiliti dan tanggungjawab perlu diperkasa dalam diri setiap politikus agar mereka tidak mengunakan muslihat kotor dan jahat hanya untuk menjaga kelangsungan kuasa dan bukannya kepentigan rakyat. Institusi yang menjamin ketelusan dan keadilan dalam pengagihan peluang antara parti pemerintah dan pembangkang harus diujudkan dengan berkesan agar jentera kepolisian, kehakiman, dan SPR tidak disalahgunakan untuk mencarik etika dan undang-undang perlembagaan yang menghargai kewujudan parti pembangkang.
4. Mempastikan Kesaksamaan Undang-Undang dan Akta-Akta
Undang-undang mustahak dipastikan sentiasa dibentuk atas dasar keluhuran. Ia bukan suatu lesen untuk menghalalkan kejahatan dan ketidakadilan. Ia adalah alat untuk merealisasi kesejahteraan, keadilan dan budaya hidup yang demokratik dan bertamadun. Apabila undang-undang digubal untuk muslihat parti yang memerintah dan kroni-kroninya itu bermakna ia suatu pencerobohan terhadap nilai-nilai demokrasi yang tulen. Ia adalah suatu pengkhianatan terhadap masyarakat dan negara.
4. Menyedia dan melantik Para Pemimpin yang Soleh bertakwa dan Amanah
Faktor pemimpin dan kepemimpinan yang baik amat menentukan kesejahteraan sesebuah negara atau bangsa. Kepimpinan teras mestilah terdiri dari golongan yang beriman dan amat beriltizam dengan nilai-nilai agama dan moral . Seandainya struktur kepemimpinan hanya dapat didaki oleh golongan yang korup dan bermuslihat sudah pasti nilai korup itu akan akan menjadi teras dan mewabak dalam keseluruhan jentera parti yang memerintah. Akibatnya struktur tersebut menjauhkan kalangan yang beriman, soleh dan beramanah. Ini memungkin kemusnahan dalam segenap susunlapis kepimpinan bawahan. Inilah yang dimaksudkan oleh al-Quran dengan istilah Inbia’th al-Asyqa atau ketampilan golongan yang celaka menjadi pemimpin.
5. Reformasi Media Massa
Media massa perlu memiliki falsafah penyiaran yang berteraskan al-Quran dan Hadith. Ia harus dipastikan multazim dengan dasar penyiaran Islam. Tujuan penyiaran sewajarnya untuk mendidik, meningkatkan kewarasan, menyelesaikan masalah, menyampaikan risalah dan saranan Allah kepada seluruh manusia, menghibur dalam batas yang halal dan kadar yang munasabah, membela golongan yang tertindas dan teraniaya, mempertahankan kebenaran dan keadilan. Para penjawat jawatan dalam lapangan ini hendaklah dipastikan dari kalangan golongan yang berilmu yang menegakkan kesaksamaan dalam dirinya dan dalam isu di luar lingkungan dirinya.
Mereka mesti melalui kursus profesionalisme kewartawanan yang menekankan penghayatan terhadap etika kewartawanan, tanggungjawab sosial, dan matlamat penulisan kerana Allah dan bukan kerana muslihat diri atau kroni. Para wartawan yang menghina Allah, Rasul, Para Sahabat, Perjuangan Islam, alim Ulama, dan golongan muslim dan muslimah yang komited perlu disingkirkan dan dipulihkan dalam pusat pemulihan khusus. Jika tidak mereka mungkin akan menjadi agen orientalis, imprialis dan Zionis yang menyesatkan khalayak pembaca dan umat .
6. Memantap dan Meningkatkan Mutu Pendidikan Berteraskan Islam
Pendidikan adalah jentera yang mencorakkan masa depan generasi baru dan individu umat. Ia perlu dilandaskan kepada dasar tauhid, akhlak, dan tradisi keilmuan yang mantap dan unggul. Dasar pendidikan sekular akan mencairkan asas-asas ini. Sebab itu pendidikan mustahak dibina atas landasan falsafah dan Sistem Pendidikan Islam. Aspek sukatan, pentadbiran, pengurusan, latihan guru, buku teks, kegiatan ko-kurikulum dan sebagainya perlu dilaksanakan dengan betul menurut dasar-dasar yang telah ditetapkan. Usaha meningkatkan penghayatan Islam di sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi dengan melantik para guru dan pensyarah yang baik, komited dengan agama adalah sama mustahaknya dengan dasar yang telah disebutkan. Dengan itu akan lahirlah generasi pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara yang benar-benar menepati ajaran Allah. Jika tidak akan keluar dari institusi pendidikan kita manusia durjana, berilmu tapi tidak beradab, cerdik tetapi jahat dan haprak. Hidup mentingkan diri, berkhidmat kerana perut dan bukan kerana kebenaran dan keluhuran. Allah berfirman: Orang-orang yang beriman harus khuatir kalau-kalau mereka meninggalkan generasi selepas mereka yang serba lemah yang mereka bimbang terhadap nasib mereka. Oleh itu mereka hendaklah bertakwa kepada Allah dan berkata benar dan jujur.
7. Membentuk dan Mengamalkan Dasar Budaya yang Sihat
Dasar kebudayaan dan amalan membentuk budaya mesti menurut lunas-lunas Islam dan moral. Masyarakat tidak boleh dibiarkan hanyut dengan budaya memuja kebendaan. Institusi Budaya perlu mengukuhkan budaya yang mulia seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Filem-filem yang ditayangkan di pawagam atau di kaca TV mestilah mempunyai tujuan positif; baik untuk mendidik, mahupun untuk menghibur atau menambah ilmu. Semakin banyak ditayangkan filem-filem yang mempunyai mesej pendidikan, kemanusiaan, perjuangan dan sebagainya lebih baik dari filem-filem yang membibitkan keghairahan meniru gaya hidup Barat yang serba boleh menginjak batasan tradisi dan morality.
8. Meningkatkan Penguasan Teknologi Informasi, komunikasi dan lain-lain.
Umat Islam harus menebus kemunduran mereka dalam bidang ini dengan tangkas dan gigih. Persaingan dan pertembungan memerlukan keilmuan yang tinggi dan teknologi yang terkini. Kita tidak akan menjadi khaira ummah dengan sifat lembam, mundur dan sekadar menjadi pengguna teknologi orang lain. Kita perlu memiliki cokmar rahsia kejayaan orang lain. Kita mesti menyaingi dan mendahului mereka sepertimana para leluhur Islam yang telah membina peradaban Islam dalam era kegemilangannya. Teknologi terkini mesti dikuasai, dikembangkan dan menjadi darah daging kita. Baik dalam bidang penyiaran, perhubungan, persenjataan, pemakanan, perkhidmatan dan lain-lain.
9. Mengenalpasti Perencanaan dan Tipudaya Penjajah dan Zionist.
Gandingan yang semakin mantap antara negara-negara bekas penjajah dengan regim zionist dalam mambantai, memantau dan menguasai negara-negara umat Islam semakin ketara. Negara seperti Afghanistan, Palestin, Chechnya, Bosnia dan lain-lain mendedahkan hakikat dan kegelojohan mereka. Konspirasi mereka menyebabkan seluruh umat Islam dan gerakan kemerdekaan dan kemanusiaan Islam dilihat dengan penuh curiga dan dihubungkaitkan dengan terrorisme. Kalau globalisasi dianggap trend untuk melahirkan penjajahan bentuk baru maka kempen memerangi terrorisme pula adalah mekanisme yang paling berkesan untuk merealisasi secara kekerasan tujuan penjajahan dalam bentuk dan era baru. Allah berfirman :
Mereka akan berterusan memerangi kamu sehinggalah mereka berjaya menyimpangkan kamu dari agama kamu sedaya yang boleh. Pada hal yang mengamalkan kejahatan, penindasan dan keganasan adalah negara penjajah dan Zionist Israel.
10.Mengukuhkan Jentera dan Agenda Dakwah Islam Menentang Diayah Kristianisasi.
Seruan dan diayah mereka sebenarnya adalah seruan ke arah kesesatan dan penyimpangan. Mereka boleh menambahkan pengikut dalam keadaan jentera dakwah Islam lemah dan tertekan.
Oleh sebab itu usaha hendaklah digandakan untuk meningkatkan kefahaman Islam dan penghayatan ibadah dan nilai-nilai agama dalam masyarakat agar tidak ada di antara anak-anak orang Islam yang boleh terjerumus dalam kemurtadan dan bertukar agama menjadi pengikut faham kekufuran. Selain dari kejahilan kemiskinan juga antara penyebab mengapa segelintir umat Islam bertukar agama. Oleh itu usaha untuk membenteras kemiskinan dan kefakiran mesti ditingkatkan. Dana-dana membantu orang miskin perlu dimanfaatkan untuk mengurangkan kadar kemiskinan yang semakin meningkat hasil dari kaadaan ekonomi yang merudum. Pengaruh budaya Barat dikatakan ikut menyebabkan orang Melayu menukar nama dan masuk agama Kristian, terikut-ikut menjadi pengamal budaya kufr. Pihak yang bertanggungjawab menjaga kepentingan agama perlu peka dan melonjakkan usaha dakwah agar kekebalan dalaman di kalagan umat Islam dapat menjadi benteng akidah Islam yang ampuh menghadapi serangan Kristian dan Judaism.
11. Bersama Menghadapi Dampak Positif dan Negatif Globalisasi
Meskipun memang terdapat kesan positif dari trend globalisasi khasnya dalam bidang ilmu, komunikasi, informasi, ekonomi dan sebagainya, tapi dampak negatifnya jauh lebih menonjol. Umat dan negara umat Islam mesti membentuk Blok atau kesatuan dalam menghadapi bahaya dan ancaman globalisasi; baik dalam menjaga nilai asas budaya seagama, maupun melindungi ekonomi dan sumber kewangan mereka dari dibolosi dan dibekukan oleh golongan penyangak samaada negara atau individu koprat antarabangsa. Nilai-nilai kehakiman sejagat yang dimonopoli oleh kehendak negara-negara super power perlu dicairkan sehingga ia benar-benar merupakan nilai keadilan sejagat yang melindungi negara-negara miskin dan tertindas. Sistem pendidikan Islam yang dilabelkan oleh kuasa besar sebagai penjana terrorisme dan terrorist perlu dipertahankan. Tindakan menutup sekolah-sekolah agama dan Tadika Islam atas alasan yang sama perlu ditentang. Usaha untuk meminda ayat al-Quran; khasnya ayat yang mengutuk golongan Yahudi perlu ditentang. Tindakan menceroboh dan menganggap negara Islam sebagai negara paksi kejahatan oleh regim pemerintah Amerika dan sekutunya perlu ditentang secara kolektif oleh OIC dan NGO Islam yang lain.
12. Reformasi Institusi dan Agensi Islam Kerajaan
Agensi-agensi tersebut perlu dijadikan telus berkhidmat untuk Islam dan umat dan bukan untuk mengukuhkan jentera parti sekular yang memerintah. Petugas-petugasnya yang mendapat gaji dari rakyat mustahak bertugas untuk mendaulatkan Islam dan kuasa rakyat. Dengan demikian mereka akan dilihat sebagai ikhlas bertindak menguatkuasakan undang-undang yang memperkasa penghayatan dan dasar-dasar Islam dalam negara. Sebab itu mereka perlu peka dan aktif menangani gejala penyimpangan golongan wartawan, politikus, budayawan dan activist NGO yang berkiblatkan Barat. Kalau mereka tidak melaksanakan tugas murni melindungi agama sebaliknya melindungi kepentingan politik Dato’ dan YB serta parti sekular mereka dengan penuh emosi maka umat akan melihat mereka dengan penuh jijik dan meluat. Apatah lagi jika agensi itu hanya bertaring untuk menindas kebangkitan Islam dan activist Islam baik dalam lapangan politik mahupun dalam kegiatan sukarela.
13. Meningkatkan Kesentosaan, Membasmi kemiskinan dan Mengwujudkan Peluang Pekerjaan.
Kemiskinan adalah antara alat untuk memerah dan memeras-ugut rakyat dan para pemimpin mereka. Sebab itu para penguasa, pemerintah dan individu muslim perlu membebaskan diri dari cengkaman belenggu kemiskinan ini. Amalan pembaziran wang rakyat perlu dihentikan. Perancangan projek yang menguntungkan rakyat marhain mesti diutamakan dari yang lain. Pendapatan yang melebihi paras cukup sebaliknya mencapai tahap selesa perlu direalisasi sehingga individu umat bebas dari kaadaan hidup serba terdesak. Tindakan memeras undi kerana kemiskinan rakyat perlu ditamatkan. Gejala pengangguran perlu dikurangkan dan dibasmi samasekali sehingga tidak ada golongan yang merempat dan terdorong melakukan jenayah kerana ketiadaan sumber pendapatan dan sebagainya.
14. Memanfaatkan Aspek Positif Masyarakat Berbilang Kaum.
Kepelbagaian agama dan budaya serta kekayaan kemahiran yang merujuk kepada latar belakang etnik, bangsa dan pengalaman mungkin boleh dimanfaatkan untuk menambahkan tarikan pelancongan, peluang perniagaan dan perkongsian pintar yang serba menguntungkan semua warga negara Hal ini juga memberi peluang untuk kalangan tertentu menimba pengalaman berdakwah kepada berbagai bangsa dan kelompok budaya. Oleh itu selain dari hal ini merupakan cabaran ia juga merupakan peluang untuk menimba pengalaman dalam menyebarkan agama Allah. Umat Islam harus bijak memanfaatkan situasi ini untuk menjana faedah dan aspek-aspek positif dari kedudukan seperti ini. Rasulullah bersabda ; Orang mukmin itu bijaksana, pintar teliti, cermat , berhati-hati , mantap ,alim, wara’ dan tidak gopoh.
Masyarakat majmuk tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang perlaksanaan Islam, nilai dan perundangannya, justeru Rasulullah suatu masa dahulu juga melaksanakan nilai ini dalam masyarakat yang majmuk. Akan tetapi apa yang diperlukan ialah keyakinan , kemahuan yang benar, keikhlasan perlaksanaan dan kesatuan umat Islam sebenarnya dalam isu ini.
15. Penyelarasan Kuasa NGO Islam
Seandainya kesatuan di kalangan badan-badan dakwah barangkali masih terlalu jauh untuk dicapai maka sekurang-kurang penggabungan tenaga dapat diraih untuk meningkatkan kuasa desak dalam pertarungan menghadapi kebatilan. Gerakan dakwah dalam berbagai bentuk perlu bergabung atau selaras dalam menangani isu-isu besar seperti perlaksanaan undang-undang Islam, pembelaan terhadap Pendidikan Islam, ekonomi umat dan nilai-nilai positif amalan demokrasi. Dengan demikian prestasi dakwah akan dapat ditingkatkan.
16. Mengwujudkan Pusat Latihan Kepakaran dan Kepimpinan Islam yang Canggih .
Badan-badan Dakwah Islam sukarela perlu bergabung tenaga untuk mengwujudkan pusat latihan kepakaran dakwah dan kepimpinan yang mutakhir dengan sukatan pendidikan yang lengkap, mantap dan serba canggih untuk melahirkan kadar kepimpinan yang cekap, berketerampilan dan menguasai teknologi terkini. Mereka juga harus dilatih dalam amalan rohaniah yang tinggi dan keupayaan retorik yang jitu serta keperluan-keperluan jihad yang lain.
Bookmark this post: |
0 comments:
[+/-]Click to Show or Hide Old Comments[+/-]Show or Hide Comments
Post a Comment