Di dalam perjanjian Aqabah yang pertama antara Nabi s.a.w. dengan pemimpin Hazraj Madinah, sememangnya telah sempurna Islam para pemimpin-pemimpin Muslimin Madinah itu. Soalnya, bagaimanakah corak Islam pemimpin Madinah pada ketika itu, dan apa dia tanggungjawab yang dibebankan ke atas mereka oleh Islam. Tentang Islamnya para pemimpin Madinah bukanlah sekadar mengucap dua kalimah syahadah semata-mata, tetapi apa yang diucapkan itu mesti dikuti dengan keyakinan yang jazam di dalam hati. Mereka yakin bahawa tidak ada tuhan yang benar-benar layak untuk diabdikan diri dan dipatuhi segala perintah-Nya hanyalah Allah s.w.t , Tuhan yang mempunyai sifat-sifat Kesempurnaan dan Kemuliaan, Tuhan yang Maha Berkuasa menciptakan seluruh alam dan seisinya.
Demikian juga kesanggupan mereka untuk menjadi saksi bahawa Muhammad bin Abdullah s.a.w. itu adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya yang diasuh oleh Allah s.w.t dengan sempurna sejak dari zaman azali lagi. Para pemimpin Islam di Madinah iltizam dengan keyakinan terhadap Allah dan Rasul-Nya, komitmen itu tidak mudah digugat oleh apa jua cabaran dan rintangan, dalam keadaan bagaimana sekalipun mereka tetap bersama kebenaran yang telah mendarah daging itu.
Berasaskan prinsip bai'ah antara pemimpin umat Islam Madinah dengan Nabi s.a.w., menjadikan cara hidup mereka diwarnai dengan keIslaman yang tulen. Sama ada dari segi aqidah dan akhlaknya, segalanya bertunjangkan dengan syariat Allah s.w.t.
Perkara utama yang dibai'ahkan dengan Rasulullah s.a.w. ialah larangan mensyirikkan Allah s.w.t dengan sesuatu apa juapun, apabila seseorang itu syirik bererti kesetiaan terhadap Allah s.w.t telah berbelah bagi. Larangan syirik menjadi agenda utama Nabi kerana masyarakat Arab sebelum kedatangan Nabi s.a.w. telah lama bergelumang dengan syirik. Justeru Islam datang membawa ajaran tauhid, demi kesejahteraan aqidah tauhid maka sekecil manapun syirik di dalam hati seseorang mesti diperangi habis-habisan, supaya aqidah mereka sejahtera dari kemusnahan.
Selain dari larangan syirik, termasuk juga di dalam bai'ah itu ialah larangan mencuri, berzina, jangan bunuh anak perempuan. Tiga larangan selepas syirik merupakan kejahatan yang sangat lumrah di kalangan umat Arab Jahiliyyah. Mencuri dan berzina merupakan kesempatan yang sering diambil oleh masyarakat jahiliyyah tanpa memikirkan kesan yang dialami oleh pihak yang dimangsakan.
Begitu juga dengan amalan membunuh anak perempuan, ia adalah kesan dari cara berfikir kaum Arab jahiliyyah yang amat dangkal. Ia dilakukan berdasarkan bahawa memelihara anak perempuan tidak mendatangkan faedah, banyak masa dan harta kekayaan yang digunakan untuk menjaga anak perempuan, tetapi ia ibarat pelaburan yang mati. Pada pendapat mereka, apabila anak perempuan sudah remaja dan berkahwin dengan orang lain, yang tinggal hanya penat sahaja.
Untuk dijadikan pekerja, tenaga wanita tidak sekuat mana dan tidak akan memberikan pulangan yang baik. Jika berlaku peperangan tidak boleh dijadikan tentera, tenaga wanita tidak sepadan untuk berdepan dengan tentera musuh yang gagah perkasa, malah menjadi beban jika terpaksa berundur. Justeru itu mereka lebih senang membunuhnya ketika masih kecil, daripada memeliharanya tanpa mendatang sebarang keuntungan.
Demikian anggapan terhadap anak perempuan berdasarkan pemikiran jahiliyyah. Oleh kerana Islam telah mengangkat martabat wanita, maka pemikiran jahiliyyah itu mesti dihapuskan. Itulah sebabnya larangan membunuh anak perempuan termasuk dalam bai'ah antara Nabi dengan pemimpin Arab Madinah dari kalangan Hazraj, agar pemikiran songsang itu diganti dengan memuliakan kaum wanita sebagai isteri yang disayangi dan juga sebagai ibu dihormati. Antara ajaran Nabi yang menggambarkan kemuliaan kaum wanita ialah: "Syurga di bawah telapak kaki ibu". Jika anak perempuan dibunuh sejak kecil, akhirnya masyarakat manusia akan kehilangan calon-calon isteri dan juga calon ibu, akibatnya kaum lelaki juga akan menerima padahnya jika tanpa pasangan hidup.
Dalam bai'ah itu termasuk juga larangan melakukan perkara keji seperti menuduh dan memfitnah, dan jangan melakukan maksiat terhadap Nabi dalam perkara yang makruf. Melalui lima perkara larangan yang dimasukkan dalam bai'ah itu, menjadi isyarat betapa Nabi s.a.w. telah membuktikan kebijaksanaan dalam perkara mentadbir dan mengurus manusia. Kerana perkara yang terlarang di dalam Islam itu bukan hanya lima perkara itu sahaja, tetapi peringkat permulaan manusia mendekati Islam dan meninggalkan jahiliyyah, samada dengan hanya sekadar lima larangan yang asas itu dahulu. Setelah umat Islam meningkat kefahaman dan keyakinannya, maka boleh ditingkatkan lagi perkara-perkara larangan dan suruhan itu.
Inilah ciri ciri-ciri utama untuk menjadi orang Islam dan membina masyarakat Islam, maka lima perkara itu mesti diberi keutamaan. Perkara pokok terhadap kesetiaan kepada Allah s.w.t ialah jangan mensyirikkan-Nya, kerana syirik meruntuhkan aqidah. Masalah sesama manusia ialah jangan mencuri, kerana perbuatan itu akan musnahkan keharmonian dan kedamaian dalam masyarakat. Demikian juga larangan berzina, adalah untuk menjaga maruah dan keturunan manusia dari tercemar.
Dilarang melakukan suatu yang buruk terhadap Nabi s.a.w., kerana perbuatan itu disifatkan sebagai tidak menghargai rahmat Allah s.w.t yang telah mengutus Rasul yang telah menyelamatkan manusia dari kekufuran.
Lima perkara itu merupakan asas utama untuk pembentukan masyarakat, bukan tugas Nabi mengajar manusia sekadar mengucap dua kalimah syahadah tetapi membiarkan penyelewengan mereka, kejahatan dan kerosakan hasil dari kegiatan jahiliyyah mereka. Sebaliknya tugas Nabi ialah mengajak manusia beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mengajar manusia tentang kewajipan mematuhi perintah dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.
Memang betul seorang manusia boleh dipanggil Muslim apabila mengucap dua kalimah syahadah setelah itu dia menghalalkan perkara yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Tetapi satu perkara yang perlu difahami iaitu apabila seseorang itu mengucap dua kalimah syahadah, bererti mereka mesti mematuhi apa jua perintah-Nya kerana Allah s.w.t adalah `HAKIM'. Dan apa jua sabda Nabi Muhammad s.a.w. mesti dijunjung, kerana apa yang disabdakan itu bukan kemahuannya sendiri, sebaliknya ia adalah perkara yang diwahyukan oleh Allah.
Oleh TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT
Bookmark this post: |
0 comments:
[+/-]Click to Show or Hide Old Comments[+/-]Show or Hide Comments
Post a Comment