SENARAI ARTIKEL

Tuesday, March 30, 2010

Hijrah demi keselamatan aqidah


Hijrah demi keselamatan aqidah

ALLAH SWT meletakkan kesucian agama dan aqidah mengatasi segala-galanya di muka dunia ini. Meskipun Islam menggariskan banyak perkara penting yang mesti dijaga, seperti tanah air mesti dijaga dari sebarang pencerobohan musuh. Begitu juga rumah tempat tinggal, tidak boleh memasuki rumah orang lain sebelum mendapat izin. Termasuk jua harta kekayaan, kaum keluarga dan seumpamanya, semua mesti dijaga dari sebarang perbuatan khianat .
Namun dibanding dengan agama yang suci dan aqidah yang murni, kesemuanya menjadi tidak begitu penting sekiranya kesucian agama dan juga aqidah diancam untuk dihapuskan oleh musuh. Jika keadaan memaksa seseorang itu terpaksa berdepan antara ancaman yang akan menimpa aqidah, berbanding dengan ancaman terhadap keselamatan harta benda, maka perkara wajib yang mesti diambil ialah menyelamatkan agama dan aqidah dengan mengorbankan yang lainnya.
Hijrah Nabi s.a.w. dan para sahabat ke Madinah, bukan semata-mata hijrah menyelamatkan diri dari gangguan Quraisy. Sebaliknya setelah kesucian Islam dan aqidah dalam dada dan jiwa manusia terancam oleh musuh. Setelah pelbagai usaha untuk menyelamatkan agama dan juga aqidah menghadapi jalan buntu di Makkah, maka Allah SWT memerintahkan Rasulnya berhijrah.
Tidak ada di kalangan kaum muslimin yang berhasrat untuk duduk menetap di Makkah semata-mata disebabkan mereka hendak mempertahankan harta kekayaan, rumah, ladang dan segala kepentingan duniawi. Kerana Islam mengajar penganutnya mempertahankan agama suci dan aqidah, sekalipun terpaksa meninggalkan semua harta kekayaan.
Sesungguhnya manusia hanya bernilai di sisi Allah SWT sekiranya mereka berpegang teguh dengan aqidah yang benar dan agama Islam yang murni. Nabi s.a.w. dan juga para sahabat kesemuanya memiliki rumah dan harta benda di Makkah, sama ada banyak ataupun sedikit. Sahabat yang memiliki kekayaan harta sama saja dengan sahabat yang miskin dari segi menilai harta. Mereka tidak memberikan nilai yang tinggi kepada apa jenis kekayaan duniawi. Sebab itu demi agama dan aqidah, mereka tinggalkan seluruh harta duniawi untuk berhijrah ke Madinah. Sekadar membawa harta yang boleh dibeban di belakang unta sahaja.
Mereka tidak memikirkan apa akan terjadi kepada harta kekayaan yang ditinggalkan di Makkah, yang penting ialah agama dan aqidah mesti di selamatkan. Nabi s.a.w. mengajar umatnya supaya menyelamatkan aqidah dan agama yang suci, dan hati mereka tidak terpaut dengan apa jua kepentingan duniawi. Sesungguhnya agama yang suci dan aqidah yang murni bukan bandingan dengan kekayaan duniawi.
Inilah yang dimaksudkan dengan falsafah hijrah. Justeru itu Allah SWT mewajibkan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman supaya mengorbankan segala kepentingan diri dan kekayaan duniawi, demi mempertahan dan menyelamatkan agama yang suci dan aqidah yang murni. Memang Allah SWT jadikan segala harta kekayaan di muka bumi, sama ada di daratan, di
dasar laut atau diperut bumi, rumah dan ladang serta tanaman dan binatang ternakan, supaya dimanfaatkan oleh manusia di muka bumi ini. Islam menganjurkan supaya manusia menguasai semua kurnia Allah itu dan mesti menjaganya, sekiranya agama dan aqidah yang berada di dalam diri seseorang itu tidak tercabar.
Namun sekiranya agama dan aqidah telah terancam sehingga tidak mungkin manusia dapat menyelamatkan kedua-duanya sekali iaitu harta dan aqidah, maka manusia tidak mempunyai pilihan selain mempertahankan aqidah dan juga agama, meskipun mereka akan kehilangan harta kekayaan dan semua kepentingan duniawi.
Ini menunjukkan sama ada harta benda itu bernilai atau sebaliknya, adalah terletak sepenuhnya sama ada agama dan aqidah terkawal dengan selamat atau sebaliknya.
Tanahair wajib dijaga, kerana ia menjadi tempat tinggal manusia. Islam menganjurkan supaya manusia itu juga mesti di jaga, jangan dikhianati atau dibunuh, kerana agama yang turun darilangit, akan tersimpan kemas di dada dan jiwa manusia. Justeru itu manusia yang berkewajipan menjaga dan mempertahankan agama dari perbuatan khianat musuh-musuhnya.
Manusia yang hidup bersenang-lenang di muka bumi, tanpa menghiraukan persoalan agama Allah dan aqidah yang murni, maka taraf mereka sebanding dengan haiwan. Malah pada hakikatnya haiwan tidak lebih hina dari manusia seperti itu, kerana haiwan tidak akan menghadapi persoalan Mahsyar dan hari akhirat.
Tanahair serta kampung halaman mesti dijaga, supaya dapat dihuni manusia yang berperanan sebagai khalifah Allah di muka bumi. Allah SWT meletakkan tanggungjawab menjaga keselamatan tanah air kepada manusia, manusia makhluk paling sesuai bagi tujuan tersebut, kerana di dada manusia tersimpan kukuh agama dan aqidah yang tulen.
Manusia yang tidak diperteguh dengan agama Allah dan aqidah yang selamat, tidak mungkin mampu menjadikan permukaan dunia dan tanahair yang selamat. Sekalipun mereka memiliki senjata yang canggih, bagaimana hebat senjata yang dimiliki namun ia memerlukan tenaga manusia. Sedangkan manusia itu ada yang takut mati walaupun ditangan mereka ada senjata. Orang yang takut mati adalah dari kalangan manusia yang tidak percaya hari akhirat, mereka ingin hidup lama di dunia kerana tidak mempunyai harapan di akhirat.
Orang yang takut mati tidak mampu mempertahankan tanahair, kerana pada hakikatnya mereka hanya pentingkan diri dan nyawa sendiri. Mereka mengharapkan senjata canggih akan memusnahkan musuh dan mengharap tanah air mereka akan selamat. Sebab itu mereka suka membuka medan perang di negara orang, supaya kemusnahan hanya pada orang lain. Manusia yang takut mati adalah mereka yang hanya sayang kepada diri sendiri, melebihi sayang kepada segala-galanya. Mereka tidak akan berkorban untuk orang lain, tidak peduli apa yang akan berlaku pada orang asalkan diri sendiri selamat.
Tetapi manusia yang berpandukan agama Allah serta aqidah yang benar, tidak gentar menghadapi kematian. Jika mati, sememangnya mati syahid menjadi sebahagian dari cita-cita orang mukmin dan bertaqwa. Jika mereka hidup, bererti Tuhan masih memberi peluang kepadanya untuk melaksanakan segala perintah Allah SWT. Ini bermakna mereka masih berpeluang untuk melakukan kebajikan untuk diri dan juga orang lain.
Orang-orang yang semangat tidak tinggi dan akhlaknya kacau bilau, aqidahnya pula dalam keadaan meraba, maka kuasa kebendaan akan cepat runtuh dan hilang. Oleh kerana agama Allah dan aqidah yang murni adalah perkara yang paling berharga, maka Allah SWT mewajibkan prinsip yang jelas, iaitu sama ada harta benda atau tanah air mesti dijadikan alat untuk menjaga agama yang suci aqidah yang murni. Orang yang menjaga agama dengan betul, mereka sedar bahawa agama tidak akan selamat tanpa tanah air yang aman.
Apabila agama dan aqidah dijaga dengan baik, maka harta kekayaan turut bernilai. Nilai harta hanya yang dipilih dan diperolehi sesuai dengan arahan agama. Harta yang dimiliki di luar dari peraturan agama, sebanyak manapun yang mereka miliki tidak akan berguna di akhirat, malah ia akan menjadi timbunan beban yang akan menimpakan kesengsaraan di akhirat. Prinsipnya ialah jaga kehidupan dengan agama supaya semua harta milik akan mendatangkan manfaat. Korbankan harta banda dan segala yang dimiliki ketika agama menghendaki demikian, jika mereka bakhil pastilah kebakhilan itu akan memusnahkan diri.
Hijrah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat ke Madinah menggambarkan nilai sebenar aqidah dan agama Islam di sisi Allah. Seluruh kepentingan dikorbankan demi agama dan aqidah yang murni.
Bookmark this post:
StumpleUpon Ma.gnolia DiggIt! Del.icio.us Blinklist Yahoo Furl Technorati Simpy Spurl Reddit Google


Followers

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Magazine 4 column themes by One 4 All