SENARAI ARTIKEL

Tuesday, March 30, 2010

Hikmah Nabi Diisrakkan Ke Baitul Maqdis


Hikmah Nabi Diisrakkan Ke Baitul Maqdis
Mungkin ada pihak bertanya, Apakah hikmah Allah SWT tidak mikrajkan Nabi s.a.w. dari Masjid al-Haram di Makkah terus ke langit, tanpa melalui Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis? Sesungguhnya Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis itu mempunyai nilai yang sangat tinggi di sisi Allah SWT, andainya Nabi s.a.w. dimikrajkan terus dari Masjidil Haram di Makkah tanpa singgah di Masjid al-Aqsa, maka sukar bagi umat Muhammad untuk memahami sejauh mana kelebihan masjid tersebut. Apabila ia dikaitkan dengan peristiwa israk mikraj dan Nabi s.a.w. mendirikan solat di masjid Al-Aqsa bersama para nabi yang lain, maka umat muslimin boleh merasai kehebatan dan kelebihannya melalui peristiwa tersebut.
Hikmah kedua Nabi s.a.w. diisrakkan ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis ialah untuk menjelaskan tentang hubungan antara Nabi Isa a.s. seorang Nabi dan Rasul Allah mempunyai hubungan rapat dengan masjid tersebut, antara perkara yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai hubungan rapat dengan Nabi Isa a.s..
Berasaskan hubungan rapat antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan Nabi Isa a.s. bahawa kedua rasul itu membawa ajaran yang satu iaitu Islam yang berasaskan aqidah keTuhanan yang Esa. Dengan hujah dan dalil itu menunjukkan bahawa kedua-dua umat Nabi Muhammad s.a.w. dan Nabi Isa a.s. adalah dari rumpun aqidah yang sama. Sewajarnya mereka tetap bersatu mendokong ajaran tauhid yang sama. Kerana Tuhan yang menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w., maka Tuhan itu juga yang menurunkan wahyu kepada Nabi Isa a.s.. Dan sewajarnya juga mereka menolak aqidah treniti hasil penyelewengan para paderi yang berkepentingan.
Sebab itu dalam peristiwa israk mikraj itu Nabi diperintah singgah mendirikan solat di Masjid Al-Aqsa, seolah-olah Nabi s.a.w. singgah ke rumah saudaranya Nabi Isa a.s., maka sudah sewajarnya ummat kedua-dua Nabi dan Rasul berkenaan tidak bercanggah pendapat dan jauh sekali dari sifat permusuhan. Hakikatnya bukan saja hubungan rapat antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan Nabi Isa a.s. sahaja, bahkan Nabi Muhammad rapat dengan semua nabi-nabi dan rasul. Kerana peristiwa israk mikraj itu juga telah menemukan Nabi Muhammad dengan nabi-nabi dan rasul terdahulu. Justeru itu umat para nabi-nabi dan rasul itu tidak patut mereka berperang sesama sendiri, memandangkan bahawa nabi-nabi dan rasul mereka begitu baik hubungan dengan Nabi Muhammad s.a.w.. Jika para nabi itu bersatu mendokong aqidah tauhid, maka tiada alasan umat para nabi itu berpecah dari segi aqidah.
Mereka mesti bersatu dalam aqidah tauhid, sebaliknya menolak semua fahaman karut ciptaan para paderi. Dengan demikian juga menjadi dalil tentang bagaimana perlunya umat Islam berfahaman begitu di setiap masa, iaitu wajib menjaga bumi suci Baitul Maqdis dan mengawal dari gangguan pihak-pihak yang tamak dan juga puak-puak musuh agama Allah iaitu agama tauhid. Seolah-olah Allah SWT memberi isyarat kepada umat yang berpegang dengan ajaran Islam dan aqidah yang murni itu, supaya jangan merasa lemah, takut dan bacul di depan Yahudi yang bertekad untuk terus menguasai Baitul Maqdis dan bumi Palestin, kerana ia adalah bumi para anbiya.
Seluruh umat para nabi khususnya umat nabi yang terbabit dalam peristiwa israk mikraj mestilah menaruh azam untuk merampas kembali bumi Baitul Maqdis dan Palestin, untuk diserahkan kembali kepada rakyat Palestin yang beriman. Mengapakah suatu ketika dahulu "Salahuddin Al-Ayubi" bersama tentera Islam bermati-matian mempertahankan Baitul Maqdis , ketika diserang oleh tentera Salibiah Eropah.
Sedangkan Salahuddin Al-Ayubi bukan rakyat Arab Palestin, beliau adalah dari keturunan Kurdi, satu bangsa yang mendiami utara Iraq yang bersepadan dengan Turki. Beliau berjaya menumpaskan serangan tersebut, malah berjaya menghalau saki baki tentera kristian itu dari bumi Palestin. Apakah yang mendorong beliau bertindak demikian, dan tidak menyerahkan urusan mempertahan kota Baitul Maqdis itu kepada rakyat Palestin untuk mempertahankan tanah air mereka sendiri? Sebaliknya Salahuddin Al-Ayubi ketika dipenghujung hayatnya telah berpesan supaya segala pakaian penuh berdebu yang digunakan semasa berperang, agar dimasukkan di dalam liang kubur dan ditanam bersama jenazahnya.
Dengan tujuan supaya menjadi saksi bahawa beliau telah menghabis segala tenaga dan fikiran untuk mengetuai tentera Islam bagi mempertahankan Baitul Maqdis dari serangan tentera Kristian Eropah. Sesungguhnya yang mendorong Salahuddin Al-Ayubi bertindak demikian ialah kerana didorong kesedaran yang tinggi untuk mempertahan kota suci iaitu kota yang telah menemukan Nabi Muhammad s.a.w. dengan para anbiya yang lain, khususnya dalam peristiwa Israk mikraj. Sebagai seorang Islam beliau berkeyakinan bahawa apabila bumi suci Baitul Maqdis itu diganggu oleh golongan kuffar, adalah menjadi kewajipan kepadanya dan juga umat Islam seluruhnya bangun untuk mempertahankan atau membebaskan bumi tersebut dari cengkaman musuh Allah SWT itu, tidak kira sama ada mereka orang Palestin ataupun bukan.
Empat puluh tahun selepas peristiwa itu, Lord Olenby yang mengetuai pasukan salibiah berjaya memasuki semula kota Baitul Maqdis, dia pergi ke kubur Salahuddin Al-Ayubi dan menginjakkan kakinya ke atas kubur Salahuddin sambil berkata: "Sekarang aku datang semula ke sini." alangkah baculnya ketua tentera salibiah itu, dia hanya berani berdepan dengan Salahuddin yang telah mati, dengan mesej bahawa pihak salibiah sentiasa menyimpan dendam terhadap Islam. Bagi Salahuddin Al-Ayubi, beliau telah melaksanakan tanggungjawabnya mempertahankan kota suci terletaknya Masjid al-Aqsa yang mulia, tempat Nabi Muhammad s.a.w. mendirikan solat dua rakaat dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Di Baitul Maqdis itu juga Nabi s.a.w. melepasi satu ujian, ketika Jibril menghidangkan dua bejana, satu berisi arak dan satu lagi berisi susu. Nabi s.a.w. mengambil bejana berisi susu dan meminumnya. Ketika itu Jibril berkata: "Sesungguhnya engkau telah membuat pemilihan yang menepati fitrah manusia."Susu adalah minuman yang bersifat fitrah amat serasi dengan kehendak naluri manusia, secara fitrah manusia bukan makhluk yang memerlukan minuman arak yang memabukkan itu.
Apabila Nabi s.a.w. memilih susu sebagai minuman yang serasi dengan fitrah manusia, maka demikian pula kedudukan Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w. adalah ajaran agama yang memenuhi keperluan fitrah manusia. Tidak terdapat dalam Islam satu perkara pun yang bercanggah dengan naluri dan tabi'e manusia.
Semua peraturan yang terdapat dalam Islam, sama ada peraturan ibadat yang menghubungkan manusia dengan Tuhan, peraturan muamalat yang membabitkan urusan ekonomi, peraturan munakahat yang mengatur urusan nikah dan kekeluargaan, peraturan jenayat yang melibatkan undang-undang hudud, qishash dan seumpamanya. Apa jua yang dikehendaki oleh Islam semuanya sesuai dengan naluri dan kemahuan manusia. Sekiranya fitrah yang ada pada hati dan naluri manusia itu ibarat manusia, maka Islamlah pakaian bagi manusia itu yang benar-benar memenuhi saiz ukuran dan keperluan.
Agama selain dari Islam bukan pakaian manusia, kerana ada peraturan dalam agama tersebut yang bercanggah dengan naluri dan kehendak manusia. Contoh, ada agama yang melarang paderi atau sami mereka berkahwin, sedangkan kahwin adalah naluri manusia. Naluri ingin kahwin tidak dapat dibendung di kalangan paderi dan sami, lantaran itu golongan tersebut terpaksa melakukan zina disebabkan kononnya peraturan melarang mereka berkahwin. Ada agama yang mengharamkan riba di kalangan mereka, tetapi menghalalkan amalan riba kepada penganut agama lain.
Amalan ini tidak sesuai dengan naluri manusia lantaran ia bercanggah dengan konsep keadilan, kerana manusia secara kehendak semula jadi ingin dilayan dengan adil. Allah SWT menganugerahi agama Islam kepada manusia kerana ia adalah suatu keperluan rohani dan jasmani manusia, menolak Islam sama ertinya membiarkan roh dan jasad dalam kebuluran, pada hal roh dan jasad membenci kebuluran.
Oleh TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT
Bookmark this post:
StumpleUpon Ma.gnolia DiggIt! Del.icio.us Blinklist Yahoo Furl Technorati Simpy Spurl Reddit Google


Followers

 

Copyright 2009 All Rights Reserved Magazine 4 column themes by One 4 All